Utusan Online - Mahkamah |
Pemandu teksi tidak mengaku larikan penganggur Posted: Pemandu teksi tidak mengaku larikan penganggur
KUALA LUMPUR 6 Mei - Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini atas tuduhan melarikan seorang penganggur yang 10 batang jarinya ditemui di tepi landasan kereta api berhampiran Stesen Kereta Api Kuang di Rawang, hujung bulan lalu. Tertuduh, M. Murugan, 27, didakwa melarikan K. Munispara, 29, dengan niat hendak mengurung lelaki itu secara salah kira-kira pukul 12 tengah malam, 24 April lalu di jalan besar Batu 16, Rawang, dekat sini. Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ching Kian Chung mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. Majistret Nurul Hafizah Kamaludin membenarkan tertuduh yang diwakili peguam bela K. Theivaendran, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 3 Jun ini. Pemandu teksi tersebut hanya didakwa atas tuduhan melarikan mangsa kerana dipercayai orang lain yang memotong jari lelaki berkenaan. Pada 25 April lalu, beberapa petugas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Kereta Api Kuang menemui bungkusan plastik mengandungi 10 batang jari manusia di tepi landasan kira-kira satu kilometer dari stesen kereta api berkenaan. Semua jari itu dimasukkan ke dalam plastik berwarna putih bersama tali dan pita pelekat berwarna hitam ditemui di tepi landasan di Kilometer 363 arah Butterworth, Pulau Pinang menghala ke Kuala Lumpur. Siasatan pihak polis berjaya mengenal pasti identiti mangsa iaitu seorang lelaki tempatan manakala media difahamkan motif kejadian ekoran cemburu. | ||
Pelakon Mokhtaruddin didakwa cabul remaja Posted: Pelakon Mokhtaruddin didakwa cabul remajaKUALA LUMPUR 6 Mei - ''Dituduh cium! Dituduh cium! Dituduh cium!''. Itu merupakan satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pelakon popular era 70-an dan 80-an, Mokhtaruddin Mohd. Saaid, 56, hari ini sambil bergaya dan tersenyum di hadapan jurugambar apabila menyedari kehadiran pihak media sebaik saja dia turun dari trak polis. Pelakon yang pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi filem Pasung Puaka dan Pertentangan pada 1980 dan 1984 terus mengulangi kata-kata tersebut sehingga dibawa masuk ke dalam lokap Kompleks Mahkamah Selayang, dekat sini. Kira-kira 15 minit selepas itu, Mokhtaruddin yang hilang penglihatan akibat katarak sejak hampir sembilan tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun 11 bulan dengan cara mencium pipi dan memeluk pinggang mangsa. Dia yang tidak diwakili peguam bela didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2.30 petang, 1 Mei lalu di Asrama Raudhah, Batu 11 Gombak, dekat sini. Mangsa merupakan salah seorang penghuni Pondok Penyayang Raudhah yang mana tertuduh merupakan pengasas kepada rumah perlindungan remaja bermasalah itu. Pertuduhan terhadap bekas jurulatih silat itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut. Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 sementara anak sulung pelakon itu, Datuk Mohd. Bismi Adira memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan dia hanya membawa RM3,000 pada ketika itu. Majistret Muhammad Najib Ismail kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 17 Julai ini. Anak lelaki Mokhtaruddin itu yang diberi pelepasan oleh Hospital Ampang Puteri selepas dimasukkan ke wad semalam kerana penyakit gastrik, membayar wang jaminan kira-kira pukul 11.45 pagi ini sebelum kesemua mereka dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan