The Malaysian Insider :: Bahasa |
Najib: Kata-kata kesat tak ganggu tidur saya Posted: 10 May 2011 12:42 AM PDT PUTRAJAYA, 10 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kata-kata kesat yang dilemparkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas dirinya tidak menjejaskan waktu tidur beliau. "Ini tak menyebabkan saya tak tidur jendera (lena) waktu malam kerana dia (Anwar) buat sebutan sebegitu sebab saya yakin rakyat boleh menilai perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin sepertinya," katanya dipetik Bernama Online. Najib menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai sudah terjebak mengamalkan politik tidak beretika dan yakin rakyat boleh menilai sikap sebenar Anwar. Tegas beliau lagi, perbezaan pendapat boleh diterima di dalam politik tetapi seharusnya tertumpu kepada soal dasar dan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan bukannya dengan menyerang peribadi orang lain. "Tetapi untuk serang peribadi orang lain, itu sudah terjebak dalam kancah politik yang tidak beretika. "Saya percaya rakyat sendiri boleh menilai mana-mana orang politik berbuat sedemikian. Saya tak perlu membuat ulasan lebih lanjut daripada itu," katan beliau selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Belanjawan 2012 di Kementerian Kewangan di sini hari ini. Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan memberikan reaksi demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar yang menyerang beliau dengan gelaran tidak sepatutnya. Anwar dalam ceramah dengan masyarakat India di Dewan Hamzah, Klang, Selangor Sabtu lalu didakwa menggunakan perkataan kesat dalam bahasa Tamil ke atas Perdana Menteri iaitu pandi kutty yang bermaksud anak babi dalam bahasa Melayu. Perbuatan Anwar itu mendapat kecaman pelbagai pihak dengan menyifatkannya sebagai sudah panik kerana rakyat semakin bijak menilai peribadinya dan semakin menolak kepimpinan beliau yang jelas tidak mempunyai prinsip dan hala tuju. Ketika diminta mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya penubuhan Briged Setia Negara oleh Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) sebagai cubaan melatih kumpulan militan di negara ini, Najib berkata keharmonian dan keamanan dalam negara harus diutamakan. "Apa-apa pun kita jangan keruhkan suasana. Saya tidak kata ia baik atau tak baik yang penting sekarang ini kita mesti jaga keharmonian dan keamanan dalam negara kita." "Kita telah mengalami keadaan di Malaysia yang begitu tenteram dan aman sekian lama. Kita tidak boleh melakukan apa saja yang boleh mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan negara." Kerajaan, tegasnya, tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang cuba menggugat keamanan, keharmonian dan keselamatan negara. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Kes tuntutan royalti Anuar Zain 19 Mei Posted: 10 May 2011 12:38 AM PDT KUALA LUMPUR, 10 Mei — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Mei untuk mendengar hujahan kes tuntutan royalti oleh penyanyi popular Anuar Zain terhadap syarikat rakaman Syncrosound Records Label Music Sdn Bhd (Syncrosound). Penolong Kanan Pendaftar Nurul Nadzia Abdul Aziz membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Aizul Rohan yang mewakili Anuar dan S. Malar dari Syncrosound. Hari ini, seorang akauntan dari syarikat rakaman tersebut K. Kaan Deepan memberi keterangan. Ketika ditemui pemberita Aizul Rohan berkata pada tarikh tersebut dua perkara akan dibangkitkan iaitu mengenai penambahan muka surat dalam dokumen yang difailkan Syncrosound dan sama ada syarikat tersebut berhak membuat penolakan kos. Pada 14 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain, 40, berhak mendapatkan royalti daripada Syncrosound. Sebelum ini, Syncrosound memfailkan saman terhadap Anuar kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga album lagi dengan syarikat itu. Dalam tuntutan balas terhadap syarikat rakaman itu, penyanyi tersebut memohon diberikan butiran atau penyata mengenai penjualan kesemua album yang diterbitkan Syncrosound, dan bayaran royalti seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan