Isnin, 16 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Makan dan bayar secara ikhlas

Posted:

Makan dan bayar secara ikhlas

Makan dan bayar secara ikhlas

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my



BERMACAM-MACAM pemahaman orang tentang Hari Wesak. Paling ketara apabila menyebut tentang amalan penganut agama Buddha adalah idea yang mengaitkannya dengan restoran makanan sayur-sayuran.

Ramai percaya, penganutan agama itu amat berkait rapat dengan amalan pemakanan sayuran sahaja atau vegetarian, sama seperti agama Hindu.

Hakikatnya, amalan pemakanan vegetarian bukanlah satu amalan wajib. Namun, penganut-penganut digesa supaya mengikut ajaran Siddharta Gautama iaitu pengasas ajaran Buddha yang mengesyorkan penganutnya agar tidak membunuh, mencederakan atau meminta ditawarkan dengan makanan berasaskan hidupan seperti haiwan.

Sebagai mengikuti amalan ajaran Buddha itu, seorang pegawai kerajaan, Jevaratnam Baby, 29, cuba sedaya upaya untuk berbuat demikian. Dalam menikmati makanan vegetarian kegemaran, Jevaratnam atau lebih mesra dengan panggilan Jeva juga mempunyai restoran pilihannya sendiri iaitu Restoran Annalakshmi di Temple Of Fine Arts di Brickfileds.

"Sebagai seorang yang mengamalkan agama Hindu tetapi turut menganuti ajaran Buddha, saya dilatih oleh keluarga untuk mengamalkan amalan vegetarian pada hari-hari tertentu. Khususnya pada hari kebesaran, termasuk Hari Wesak. Kami sekeluarga hanya akan makan menu sayuran sehari sebelum dan pada hari Wesak," katanya yang ditemui di Restoran Annalakhsmi bersama-sama ibu, nenek dan adiknya.

Walaupun ramai yang menganggap pemakanan vegetarian sebagai satu amalan yang sukar, Jeva pula berpendapat sebaliknya. Pengunjung sebenarnya mempunyai banyak pilihan makanan vegetarian di restoran India, selain restoran yang khusus untuk vegetarian.

"Di sini, kita dapat menjamu pelbagai menu sayuran dalam keselesaan sebuah restoran mewah iaitu lengkap dengan kemudahan hawa dingin, bersih, dekorasi klasik dan diiringi muzik latar tradisional," ujar Jeva.

Lebih istimewa, tiada bayaran khusus yang dikenakan kepada pelanggan! Restoran Annalakshmi yang beroperasi sebagai satu organisasi di bawah penyeliaan Temple Of Fine Arts itu tidak menyertakan bil malah, pengunjung boleh membayar sebarang amaun secara ikhlas.

Manfaatkan sumbangan


SUKARELAWAN yang sedia mempelawa pengunjung ke Restoran Annalakshmi.


"Lazimnya, kami akan gunakan sumbangan ini untuk menjalankan operasi restoran dan aktiviti lain. Sumbangan itu juga bagi menampung keperluan operasi klinik percuma yang terletak berdekatan dengan restoran ini," kata C. Sivadas, 40, salah seorang sukarelawan di restoran yang terletak di Jalan Berhala, Brickfields itu.

Restoran Annalakshmi beroperasi dengan bantuan kira-kira 50 orang sukarelawan yang mengambil giliran harian selain dibantu 10 orang kakitangan berbayar.

Bekerja di bandar raya yang sibuk, ramai orang tidak berpeluang menikmati makanan yang benar-benar sihat, lebih-lebih lagi masakan vegetarian ala fine dining. Oleh itu, pengasasnya, Swami Shantananda Saraswati membuka restoran itu sejak tahun 1981.

Semasa sibuk menemubual Sivadas, beberapa orang sami dari kuil Buddha berdekatan dilihat menjamu selera di restoran tersebut.

"Kami menerima kunjungan daripada sami-sami Buddha kerana kebanyakan persediaan makanan ini mengikut standard Buddhism. Hampir kebanyakan makanan tidak menggunakan bawang putih dan bawang merah. Jika ada makanan dengan kandungan herba itu, kami akan nyatakan pada label makanan supaya ia dapat dielakkan para sami," ujar Sivadas.

Annalakshmi selalu menerima kunjungan sami Buddha selain pengunjung Tamil, Cina, pelancong asing dari India, Eropah, Korea, Jepun dan juga pengunjung Melayu.

Disukai pelancong

"Kami sekeluarga datang bercuti di sini dari Hyderabad, India. Sepanjang berada di sini, iaitu sejak tiga hari yang lalu, saya makan malam di sini. Anak-anak kami amat menyukai makanan vegetarian kerana ia seperti masakan di rumah," kata V. Ganesh, 46.

Beliau yang ditemani isterinya, Viji Ganesh pula memberitahu, amalan pemakanan di Annalakshmi sebagai satu usaha yang perlu disokong.

"Mereka memberikan khidmat pelanggan yang terbaik. Kami akan datang ke sini setiap malam sehingga pulang ke India," katanya.

Sementara itu bagi seorang pelanggan dari Kuala Lumpur, Lee Leng Leng, 46, beliau sentiasa berasa tenang di Annalakshmi.

"Memandangkan saya bekerja di sekitar kawasan ini, saya merasakan adalah baik jika saya menghabiskan makan malam di restoran ini sebelum pulang ke rumah," katanya.


KELUARGA Jeva yang seronok menikmati makanan vegetarian.


Leng Leng yang meminati makanan India berkata, persekitaran yang kondusif membuatkan dirinya terpanggil untuk selalu menjamu selera di situ. Baru setahun mengunjungi Annalakshmi, Leng Leng berkata, dia akan cuba membayar sebanyak mungkin atau seiring dengan saiz hidangan yang diambilnya.

"Saya percaya ramai yang membayar amaun yang baik kerana ia bertujuan menderma. Jika mampu saya akan berbuat demikian," katanya.

Walaupun begitu, Sivadas mengakui pihaknya banyak menerima kunjungan pengunjung yang tidak membayar atau bayar dengan nilai wang yang sangat sedikit.

"Kami tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka datang makan dan beredar begitu sahaja. Ada pula yang membayar beberapa sen hingga seringgit dua.

"Kami juga kesal dan sangat kecewa apabila sesetengah pengunjung bersikap tamak dengan mengambil makanan yang banyak dan kemudian membazirkannya. Itu bukan tujuan kami menjalankan restoran ini. Kami menggesa supaya pengunjung mengambil makanan yang perlu sahaja. Kalau mahu lebih, boleh tambah semula," pesannya.

Jeva yang ditemui di restoran itu juga membawa mesej yang sama kepada pengunjung sepertinya.

"Saya tidak akan merugikan makanan di sini kerana saya percaya ia wajar dikongsi dengan baik. Kita bayar mengikut suka, jadi janganlah menyalahgunakan kelebihan itu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan