Jumaat, 13 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Menghidupkan tradisi Kesultanan Melayu

Posted:

Menghidupkan tradisi Kesultanan Melayu

Menghidupkan tradisi Kesultanan Melayu

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my



SEAWAL usia empat tahun, Mohd. Khoharullah Datuk Raja Abdul Majid, 28, sudah dilatih dengan gerak silat bak pahlawan Melayu yang diwarisi daripada bapanya. Bapanya merupakan Pengasas dan juga Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Biarpun didedahkan dengan dunia persilatan pada usia muda, Mohd. Khoharullah tidak pernah berasa jemu malah menganggapnya sebagai satu anugerah yang tidak ternilai.

Beliau yang merupakan gurulatih kanan PSSPGM berkata, silat seni gayong pusaka sememangnya memerlukan satu pergerakan yang kasar sebagai pertahanan diri apabila diserang musuh.

"Tetapi di sebalik pergerakannya yang kasar, ia banyak mengajar pesilat berdisiplin, taat pada guru dan mematuhi segala ajaran Islam," kata Mohd. Khoharullah yang ditemui pada rakaman program dokumentari realiti televisyen PSSPGM di Gelanggang Pusat di Kampung Guar Nenas, Gurun, Kedah baru-baru ini.

Katanya, silat seni gayong pusaka bukan sahaja melengkapkan dirinya dengan seni bela diri untuk mempertahankan diri tetapi juga mengelakkan daripada terjebak dengan gejala tidak sihat.

"Sebagai pesilat kami diwajibkan menjaga solat lima waktu dan meninggalkan apa yang ditegah dalam Islam selain perlu mengamalkan surah-surah tertentu dalam al-Quran untuk sampai ke tahap tertinggi," ujarnya.

Menurut beliau, program dokumentari realiti televisyen tentang dunia persilatan yang bakal ditayangkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 Ogos ini bertujuan menarik minat orang ramai terutama golongan muda menyertai silat.


JAK (dua kiri) bersama kru produksi membuat penggambaran di Gelanggang Pusat Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia di Gurun, Kedah baru-baru ini.


"Ini merupakan antara cara yang lebih santai untuk mengajak orang ramai menyertai silat terutamanya seni silat gayong pusaka sebagai salah satu aktiviti sihat dalam kehidupan mereka," ujarnya.

Menceritakan tentang perjalanan pesilat seni silat gayong pusaka sebelum mencapai tahap tertinggi iaitu bengkung hitam dengan seni belian yang melibatkan ilmu kebatinan, kata beliau, ia bergantung kepada kemampuan seseorang itu untuk melepasi setiap tahap yang ditetapkan.

Kata Mohd. Khoharullah, tahap pertama adalah awan hitam. Pada tahap itu, pesilat layak memakai bengkung (tali pinggang) hitam tanpa cula (garisan pada bengkung) dan selepas kira-kira enam bulan pesilat akan belajar tentang mata pelajaran silat untuk ke tahap seterusnya.

Bengkung seterusnya adalah bengkung putih yang juga dipanggil awan putih. Pesilat pada tahap ini akan dinilai kemampuannya menerusi cula pada bengkungnya dan paling banyak mempunyai tujuh cula.

Enam bulan selepas itu, mata pelajaran silat akan ditambah beserta ujian ketangkasan. Jika pesilat lulus, mereka akan naik ke tahap awan hijau dengan bengkung hijau.

"Keempat-empat tahap ini melibatkan permainan silat tangan kosong iaitu tanpa menggunakan sebarang senjata," katanya.

Selepas tahap awan hijau, pesilat akan diajar berlawan menggunakan senjata seperti pisau dan rotan pada tahap pramerah.


SENI silat mempertahankan diri bukan saja mendisiplinkan seseorang bahkan mengelakkan seseorang daripada terjebak ke dalam gejala kurang sihat.


"Pesilat pada tahap pramerah akan diajar tentang asas-asas berlawan menggunakan senjata dan pada tahap ini pesilat digelar sebagai pembantu gurulatih," jelasnya.

Tahap lebih tinggi selepas itu adalah bengkung merah yang memerlukan pesilat melengkapkan diri dengan permainan silat bersenjata. Pada tahap ini pembantu gurulatih dinaikkan kepada gurulatih.

Seterusnya tahap kedua tinggi iaitu bengkung kuning juga memerlukan permainan senjata sebelum boleh ke tahap tertinggi iaitu pelangi hitam dengan cula sehingga tujuh.

"Pada tahap ini, pesilat perlu mengamalkan surah al-Ikhlas sebanyak 70,000 kali bagi mencapai seni belian iaitu satu ilmu kebatinan.

"Jika diizinkan Allah, pesilat boleh menguasai ilmu kebal dalam silat seni gayong ini," katanya.

Sementara itu, bekas juara Kejohanan Silat Kebangsaan mewakili PSSPGM, Khairol Fais Ahmad memberitahu, minatnya dalam dunia persilatan berputik sebaik melihat seorang pesilat beraksi ketika umurnya lapan tahun.

"Saya pernah cuba masuk tomoi tetapi hanya bertahan selama dua tahun sahaja mungkin kerana tidak serasi," katanya.

Menurutnya, seni silat gayong pusaka mengajar seseorang itu mempertahankan diri dengan gerak silat yang tangkas dan kuat.

"Silat seni gayong pusaka ini bukanlah silat untuk membuat serangan tetapi bertujuan mempertahankan diri dan ia memerlukan ketangkasan," jelasnya.

Seorang lagi pesilat PSSPGM, Mohamad Wahab, 38, berkata, seni silat mengajar tentang erti taat dan hormat kepada orang tua terutamanya guru.

"Sikap saling menghormati sesama pesilat dan menghormati guru secara tidak langsung menerapkan nilai-nilai murni kepada pesilat," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PSSPGM, Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa, 72, berkata, selepas 55 tahun mengabdikan diri dalam dunia persilatan silat seni gayong pusaka, beliau meneruskan misi untuk menarik minat orang ramai terutama golongan muda menyertai PSSPGM.


DOKUMENTARI seni silat bertujuan menghidupkan semula tradisi Kesultanan Melayu.


"PSSPGM melakukan banyak cara untuk menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda dengan mengadakan persembahan di sekolah-sekolah, universiti dan majlis-majlis tertentu.

"Dengan pendedahan melalui program dokumentari realiti televisyen mengenai dunia persilatan Melayu, saya kira lebih ramai yang akan tertarik dengan silat," katanya.

Menurut beliau, ahli PSSPGM kini melebihi 500,000 orang di seluruh negara dan ia dijangka meningkat dari tahun ke tahun sejak ditubuhkan pada 22 Oktober 1963.

Setiap tahun, ahli-ahli PSSPGM menganjurkan pertemuan di Gelanggang Pusat di Kampung Guar Nenas yang merupakan gelanggang silat pertama PSSPM.

"Gelanggang inilah menjadi tempat lahirnya pesilat-pesilat silat seni gayong pusaka yang hebat-hebat sejak ia dibina kira-kira 48 tahun lalu," katanya.

Kata Raja Abdul Majid, gelanggang tersebut dahulunya terdiri daripada batang pokok kelapa yang dipacakkan di sekeliling kawasan silat dan ia dinaik taraf kepada pembinaan gelanggang sebenar dengan peruntukan RM30,000.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Terbangkan pesawat vintaj

Posted:

Terbangkan pesawat vintaj

Terbangkan pesawat vintaj


Revy dan pasukannya boleh berbangga dengan kemampuan mereka menghasilkan pesawat mengikut spesifikasi asal.


KETIKA banyak syarikat pengeluar pesawat dan teknologi aviasi di dunia hari ini berlumba-lumba menghasilkan kapal terbang canggih untuk kegunaan komersial dan juga ketenteraan, lain pula halnya dengan sekumpulan jurutera penerbangan di Hungary.

Mereka seolah-olah terkebelakang apabila sibuk mencurahkan idea, masa dan tenaga untuk membina semula sebuah model pesawat lama mengikut spesifikasi asalnya.

Seorang pakar penerbangan di negara beriklim Mediterranean itu, Laszlo Revy, bersama sepasukan mekanik bertungkus-lumus menyiapkan proses akhir replika enjin pesawat Anzani tiga silinder dengan kuasa kuda 4,000cc. Pembinaan kapal terbang vintaj yang diberi nama Kvasz No. 1 itu mengambil masa selama lima tahun.

Ia dibina dalam sebuah gedung di Lapangan Udara Budapest-Farkashegy di bawah penyeliaan penuh oleh Revy dan ketua mekanik, Laszlo Ungar.


KUASA enjin dijana dengan enjin asimetrik buatan khas.


Mereka berusaha 'menghidupkan' semula reka bentuk pesawat lama sama seperti rekaan perintis industri aviasi Hungary, Andras Kvasz. Pesawat asal tersebut telah dibina pada tahun 1911 dan berjaya membuat penerbangan awalnya di Rakos Field dekat Budapest.

Pembinaan semula model ciptaan Kvasz yang mempunyai struktur kemasan rangka kayu dan bersayap kanvas tersebut dikuasakan dengan enjin asimetrik buatan khas. Ia kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Penerbangan Hungary untuk memberi izin penerbangan sulungnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bidikan lensa Jodi Bieber

Posted:

Bidikan lensa Jodi Bieber

Bidikan lensa Jodi Bieber

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



DESIRAN angin di padang pasir wilayah Oruzgan telah menenggelamkan lolongan Bibi Aisha. Semahu-mahunya wanita kelahiran Afghanistan yang bertubuh kecil itu meraung dan meronta-ronta meminta belas kasihan.

Lelaki yang juga sang suaminya seolah-olah tidak mampu lagi mengawal amarahnya. Isterinya terus diheret meskipun dia menyedari burqa yang menyaluti tubuh isterinya telah koyak-rabak.

Wanita yang berusia 18 tahun ketika itu tertanya-tanya ke mana hilangnya keimanan suaminya? Bibi Aisha sedar, cinta antara mereka tidak pernah bercambah. Namun, atas dasar kemanusiaan, dia mahu dirinya dibebaskan.

Bagi keluarga mertuanya yang berbangsa Pashtun, perbuatan Bibi Aisha atau biasa dengan panggilan Aisha melarikan diri dari rumah suaminya dianggap memalukan. Sebagai mematuhi prinsip kaum, tindak-tanduk Aisha itu perlu dihukum.

Tiba di satu sudut, bapa mertuanya telah mengacukan senjata api di kepala Aisha. Aisha pada ketika itu dalam ketakutan dan tanpa sebarang isyarat, hidungnya dihiris dan kedua-dua belah cuping telinganya dipotong.

Sebagaimana derasnya darah yang memancut daripada organ-organ yang dilukakan, begitu juga dengan kesakitan yang alaminya. Hembusan nafas Aisha tersekat-sekat. Namun, bibir mungilnya tidak henti-henti daripada menitipkan doa. Lamunan Aishah ketika itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah kematian. Kemudian, dia rebah serta-merta.

Sudah tertulis di Luh Mahfuz, takdir seorang manusia di tangan Tuhan. Dengan keajaiban-Nya, wanita yang sudah hilang pesonanya terjaga keseorangan di sebuah kawasan pergunungan.

Tangannya terketar-ketar menyentuh hidungnya yang telah rompong. Pendengarannya juga tidak jelas. Apabila detik-detik ngeri itu kembali menerawang di benaknya, Aisha tidak menangisi takdir hidupnya, bahkan dia bersujud syukur kerana masih bernyawa.

Ujar wanita itu kepada wartawan CNN "Bila mereka potong hidung dan telinga saya, saya pengsan serta- merta dan apabila terjaga pada waktu tengah malam, saya berasa ada air sejuk dalam hidung saya.

"Saya cuba membuka mata tapi penglihatan saya kelam kerana darah memenuhi mata."

Wanita itu mengerah seluruh tenaga yang ada dengan merangkak berdikit-dikit. Dia berdoa agar dapat tiba ke kediaman datuknya walaupun termometer alam pada malam itu begitu dingin.

Diselamatkan


TERHARU. Bieber meraikan kemenangannya bersama Putera Constantijn (kiri) di Amsterdam baru-baru ini.


Sesungguhnya, Aisha berasa takjub apabila Allah menemukannya dengan individu yang baik hati. Sekumpulan petugas kontraktor sebuah firma Amerika Syarikat (AS) ternampak kelibatnya. Dia diberi rawatan selama lapan bulan dan kemudiannya diberi perlindungan secara rahsia di sebuah lokasi di Kabul.

Sejurus selepas itu, sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Grossman Burn Foundation telah menaja pembedahan rekonstruktif hidung Aisha. Dia jua diberi kaunseling bagi menyahkan trauma yang menguasai Aisha.

Kehilangan kedua-dua belah telinga dan hidung mancungnya, tidak bermakna Aisha hilang kata-kata. Dia bercerita mengapa dia diperlakukan sekejam rupa.

Pada usia 12 tahun, dia dan adiknya telah diserahkan oleh keluarga kepada pejuang Taliban untuk melunaskan hutang-hutang keluarga. Justeru, Aisha tidak pernah berkesempatan untuk ke sekolah. Dia seorang buta huruf.

Aishah kemudiannya berkahwin. Sejak itu, nasibnya lebih malang. Tidak cukup diseksa dan didera, adakalanya dia dipaksa tidur di kandang ternakan. Akhirnya, Aisha mengambil keputusan melarikan diri daripada cengkaman suaminya yang berhati binatang.

Kini, Aisha berusia 20 tahun. Bersama jutaan orang lain menaiki tren di kota New York, dia yang memakai jean biru dan berjaket dengan yakin melemparkan senyuman.

Aisha kini hidup semula dengan seraut wajah yang memukau. Dia mengenakan hidung palsu atau hidung prostetik. Namun, bagaimanakah seorang Muslim berasal dari Afghanistan meraih perhatian luar biasa daripada masyarakat AS?

Jurufoto jadi penyelamat

Ketika dibawa ke kem pelarian di Kabul oleh penyelamat, Aisha telah ditemukan dengan seorang jurufoto kelahiran Afrika Selatan, Jodi Bieber, 44.

Bidikan lensa Bieber yang merakam wajah dramatik wanita Afghanistan itu yang kehilangan hidung dan telinga, sesungguhnya telah memberi impak besar kepada kehidupan Aisha.

Gambar itu telah menjadi muka depan majalah Time pada Ogos tahun lalu dengan tajuk, Apa Yang Akan Berlaku Apabila Kita Tinggalkan Afghanistan. Foto itu telah mencetuskan satu fenomena luar biasa dan menghidupkan pelbagai emosi.


PAPARAN potret Aisha di majalah Time telah memberi tamparan hebat kepada kerajaan Afghanistan.


Apakah reaksi Bieber ketika pertama kali bertemu dengan wanita berwajah pelik itu? Dia hanya diberi tiga jam untuk meyakinkan Aisha yang masih murung itu bahawa rakaman foto itu bukan satu eksploitasi.

Katanya kepada Sunday Times : "Saya bersama seorang penterjemah dan pekerja sosial memasuki sebuah bilik kecil, cuma ada kusyen, sehelai permaidani dan sebuah kipas.

"Saya tak tahu bagaimana nak jelaskannya (perasaan), saya juga tidak tahu gambar yang macam mana dapat saya rakamkan. Jadi saya letakkan kamera dan berbual dengannya.

"Kemudian saya kata, betapa jelitanya dia dan ingin cuba merakam kecantikan dalamannya serta kekuatan dirinya."

Tambah Bieber yang pernah bekerja di majalah New York Times, dia bukan saja mengambil gambar wanita itu, dia merakam dan menterjemahkan jiwa lara Aisha pada sekeping gambar.

Pertemuan dengan wanita Muslim itu merupakan satu pengalaman hebat baginya.

Ujarnya dengan penuh emosi : "Saya banyak belajar dan saya tidak menerima satu dua respons. Ada yang menyelar tindakan saya kerana mengambil gambarnya.

"Tapi ingin saya katakan bahawa pada saat mereka semua sedang bersenang-lenang, Aisha tidak ada hidung dan telinga. Adakah saya hendak biarkan dia menangis sekali lagi tanpa hidung? Sekurang-kurang saya telah berbuat sesuatu untuk Aisha." Sesungguhnya, tiada harga bagi sebuah keikhlasan. Populariti foto Aisha bukan saja menaruh simpati dunia untuk membantunya tetapi pada masa sama, telah mendatangkan tuah kepada Bieber.

Potret Aisha telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Foto Terbaik Dunia (WPP) 2010 di Amsterdam baru-baru ini. Bieber berjaya menewaskan 108,059 keping gambar yang dihantar oleh 5,846 jurugambar dari 125 buah negara.

Diselubungi kontroversi


WAJAH BAHARU. Aisha dengan hidung palsu dan memilih untuk menetap di New York.


Dalam reaksi spontannya ketika diumumkan sebagai pemenang, Bieber menjerit sambil berkata "Apa? Kamu bergurau, adakah kamu serius, saya tidak percaya, saya rasa berjuta tahun sekali pun juri tak akan memilih gambar ini."

Sentuhan wanita yang gemar mengembara itu akan dipamerkan di lebih 100 buah bandar di 45 buah negara dan dicetak dalam buku yang diterjemahkan ke dalam enam bahasa.

Bagaimanapun, kemenangan Bieber diselubungi dengan pelbagai kontroversi sehingga timbul fenomena yang dinamakan Sensasi Bieber dalam laman web terkemuka.

Kerajaan Afghanistan berkata, kemenangan yang membawa populariti kepada gambar itu tidak lain tidak bukan hanya satu propaganda AS. Mereka juga marah apabila gambar itu telah menjadi simbol global kepada keganasan Taliban terhadap kaum Hawa.

Sementara agensi berita Xinhua melaporkan, gambar yang dirakam menerusi teknik klasik memang mengagumkan, tetapi kehilangan hidung Aishah telah menjadikan gambar itu sesuatu yang mengejutkan dan mengerikan.

Bieber juga dikritik kerana dianggap mahu memanipulasi insan lemah. Rakaman tekniknya yang dianggap tersasar daripada tradisi stail kewartawanan foto turut menjadi perdebatan.

Meredakan spekulasi yang hebat bertebaran, pengasas anugerah itu David Burnett berkata, tiada unsur politik semasa juri memilih foto itu.

"Pada peringkat awal, foto Bieber bukanlah menjadi pilihan utama, tetapi apabila diperhalusi, terdapat tarikan luar biasa dan kekuatan pada foto ini," katanya.

Ketika dirinya dihentam, Bieber tidak melenting. Sebaliknya, wanita itu dengan tenang berkata: "Saya hanya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa dia seorang wanita kental. Jika saya biarkan Aisha, deritanya akan berlarutan."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan