Sabtu, 14 Mei 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Petronas bangunkan RAPID RM60b

Posted:

Petronas bangunkan RAPID RM60b

Petronas bangunkan RAPID RM60b

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak ketika berucap membuat pengumuman mengenai projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 13 Mei – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan membangunkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion).

Projek yang dibangunkan di Pengerang, Johor dan dijadual siap pada 2016 itu bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek tersebut membabitkan pembinaan loji penapisan minyak mentah dengan kapasiti 300,000 tong sehari untuk menghasilkan gasolin, minyak jet dan diesel serta menawarkan peluang eksport diesel spesifikasi Euro-4 dan Euro-5.

Kilang itu juga mempunyai peretak naphtha (pecahan komponen) dengan kapasiti pengeluaran tiga juta tan ethylene, propylene, selain olefin C4 dan C5.

Menurut beliau, RAPID juga membabitkan pembangunan petrokimia bersama dengan syarikat kimia bertaraf dunia.

Najib berkata, projek itu bakal menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan swasta dalam jumlah yang besar serta memperluaskan lagi akses negara kepada teknologi bertaraf dunia.

''Komitmen ini merupakan satu pengembangan Petronas dalam keupayaan pengeluaran hiliran menunjukkan keupayaan syarikat ini untuk meneroka peluang dalam pasaran kimia dan tenaga yang dinamik.

''Saya gembira usaha ini akan mengukuhkan dan membantu keupayaan kepelbagaian eksport negara,'' katanya ketika membuat pengumuman projek itu di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Perdana Menteri berkata, pengeluaran produk minyak dan gas yang akan dihasilkan di RAPID akan mengatasi pengeluaran di Melaka dan Kerteh.

Malah, pembangunan petrokimianya pula lebih tinggi berbanding di Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng dan Kerteh.

Sambil melahirkan rasa bangga terhadap projek itu, Najib berkata, pembangunan RAPID bukan sahaja mencipta satu lagi sejarah bagi Petronas tetapi pembangunan industri di Malaysia.

Najib menambah, RAPID juga akan membuka sebanyak 4,000 peluang pekerjaan bagi profesional dan pekerja berkemahiran tinggi khusus dalam bidang minyak dan gas.

''Di samping itu, sebanyak 20,000 lagi peluang pekerjaan akan tersedia sepanjang proses pembinaan projek ini, tidak termasuk impak-impak ekonomi lain daripada projek berkenaan," kata beliau.

Najib berkata, Petronas juga akan menilai kajian kebolehlaksanaan Terminal Pengasan Semula dan Penerimaan Gas Asli Cecair (LNG) bagi melengkapi keperluan tenaga bagi RAPID.

Menurut beliau, sekiranya terminal itu sesuai dibangunkan, ia akan menjadi terminal kedua seumpamanya di negara ini, selepas Melaka, sekali gus dijangka mampu meningkatkan jaminan bekalan gas di Semenanjung Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Isu Kristian: Ada asas kebenaran dalam laporan Utusan

Posted:

Isu Kristian: Ada asas kebenaran dalam laporan Utusan

Isu Kristian: Ada asas kebenaran dalam laporan Utusan

KUALA LUMPUR 13 Mei - Laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai usaha pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan Sabtu lalu seperti dipetik daripada dua blog adalah berasas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, asas pada pemberitaan tersebut mungkin boleh dijelaskan melalui sebuah laporan polis hari ini yang dibuat oleh seorang individu yang turut berada dalam majlis dimaksudkan di Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan telah tampil menjelaskan mengenai asas laporan muka depan akhbar berkenaan sewaktu memberi keterangan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, semalam.

"Jadi inilah yang saya tekankan hari itu, jangan kita beremosi tentang perkara berhubung kait agama, kaum, biar pihak berkuasa (iaitu) polis khususnya untuk jalankan tugas mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Rawatan dan Prihatin (CCSC) Chow Kit di sini hari ini.

Laporan muka depan akhbar ini Sabtu lalu yang bertajuk Kristian Agama Rasmi? seperti dipetik daripada pendedahan dua blog tempatan iaitu Bigdog dan Marahku bagaimanapun turut menyiarkan penafian Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dari DAP yang turut hadir pada majlis itu.

Bagaimanapun di Pulau Pinang hari ini, seorang ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman, 42, yang hadir pada majlis kesyukuran tertutup paderi-paderi berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menceritakan insiden sebenar.

Hishammuddin menambah, kementerian tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap pelbagai pihak termasuk Utusan mengenai hal itu kerana perkara berkenaan masih disiasat polis.

"Jangan tumpukan kepada Utusan, siasatan ini bukan untuk mencari salah siapa, ia lebih kepada mencari kebenaran sama ada perkara itu (ikrar menukar Kristian sebagai agama Persekutuan) benar berlaku," tegasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perdana Menteri mulakan lawatan ke Qatar

Posted:

Perdana Menteri mulakan lawatan ke Qatar

Perdana Menteri mulakan lawatan ke Qatar

Oleh Zulkiflee Bakar

DOHA 13 Mei – Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Qatar selama dua hari mulai esok akan mampu meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan dua hala antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd. Johar berkata, lawatan Perdana Menteri juga akan membantu meningkatkan lagi peluang dan kemudahan supaya ahli-ahli perniagaan dari Qatar berinteraksi dan bekerjasama dengan peniaga serta pelabur Malaysia

''Kita melihat Qatar sebagai sebuah negara yang mempunyai prospek sangat tinggi untuk bekerjasama baik dengan Malaysia.

''Oleh itu kita ingin mengambil peluang ini supaya dapat meningkatkan hubungan akrab yang sedia ada dan membawanya ke tahap yang lebih baik serta mewujudkan hubungan ekonomi lebih besar untuk dimanfaatkan oleh kedua-dua negara," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut beliau, lawatan Najib juga dianggap istimewa apabila Perdana Menteri akan menemui Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassim bin Jabr Al-Thani dan Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al-Thani di kediaman kedua-dua pemimpin tersebut.

''Pertemuan di kediaman Perdana Menteri Qatar adalah sangat istimewa kerana bukan semua pembesar yang mengunjungi Qatar diundang ke rumah beliau, begitu juga Emir Qatar, beliau sangat menerima dengan baik dan menyanjung tinggi segala polisi-polisi yang Malaysia ketengahkan di dunia," katanya.

Selain itu, kata Ahmad Jazri, Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan turut menghadiri majlis makan malam bersama Perdana Menteri Qatar.

''Majlis ini amat istimewa kerana ia hanya dihadiri oleh kedua-dua Perdana Menteri dan isteri masing-masing di bilik khas. Ini adalah satu penghargaan dan petanda baik disebabkan ia akan memberi peluang mereka berbincang secara lebih dekat serta akrab apa yang hendak dilakukan oleh kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, Qatar ingin melihat hubungan pelaburan antara pelabur Qatar dan Malaysia di kedua-dua negara dan dunia ketiga dipertingkatkan.

''Qatar juga ingin bekerjasama supaya mereka dapat memanfaatkan kepakaran yang ada dari Malaysia dan keupayaan melabur di pihak mereka," katanya.

Menurut Ahmad Jazri, pada masa ini terdapat beberapa buah syarikat dari Malaysia yang menjalankan aktiviti perniagaan, pelaburan, pembinaan dan kejuruteraan di Qatar.

''Kehadiran mereka sangat diterima baik oleh rakyat Qatar malahan masyarakat perdagangan Qatar menyanjungi kemampuan pelabur dan rakyat Malaysia yang bekerja di sini," katanya.

Pada tahun lalu jumlah perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Qatar berjumlah RM1.3 bilion. – UTUSAN

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan