Ahad, 8 Mei 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Tabib Cina turun ilmu

Posted: 07 May 2011 11:11 AM PDT

LEDANG: "Isteri berterima kasih kepada saya selepas kami bersama," kata Abdul Rahim Abu Bakar, 45, menceritakan khasiat memakan hidup-hidup ratu anai-anai yang didakwanya boleh merapatkan hubungan suami isteri.

Dia yang menjalankan perniagaan mengawal serangga perosak mendakwa khasiat ratu anai-anai umpama Viagra yang membolehkan pasangan bertahan lama di ranjang.

Menurutnya, dia mengetahui kehebatan memakan ratu anai-anai daripada seorang tabib Cina di bandar ini kira-kira tujuh tahun lalu sebelum mengamalkannya hingga kini.

"Seelok-eloknya ia dimakan kira-kira 15 minit sebelum bersama dan selewat-lewatnya tiga hari selepas ratu anai-anai dikeluarkan daripada busut untuk mengekalkan khasiatnya.


"Kehebatannya umpama kita berlari maraton tanpa henti. Malah tabib Cina percaya khasiat ratu anai-anai lebih hebat berbanding cicak tokek," katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Serom 1, di sini, baru-baru ini.


Dia berkata, ratu anai-anai hanya boleh hidup sekitar tiga hari selepas diambil daripada sarangnya.

Bagi lelaki, dakwa Abdul Rahim, memakan ratu anai-anai dapat membantu memulihkan penyakit mati pucuk dan merawat masalah tenaga batin.

Wanita yang memakannya pula dikatakan dapat menambahkan kesuburan seperti fungsi ratu anai-anai itu sendiri yang menghasilkan ribuan telur.

Selain itu, ratu anai-anai dipercayai sangat berkhasiat dalam membantu memulihkan beberapa jenis penyakit, termasuk penyakit buah pinggang, lenguh badan, cepat letih, menerangkan penglihatan dan kencing manis bagi peringkat awal.

Abdul Rahim berkata, disebabkan khasiat dan kesukaran mendapatkannya, seekor ratu anai-anai dijual antara RM1,500 hingga RM2,500 kepada orang tengah dan boleh mencecah RM5,000 di kedai.

"Harga ratu anai-anai bergantung kepada saiz dan warnanya. Yang kecil biasanya berwarna hitam pucat manakala ratu anai-anai besar berwarna kekuningan seperti ulat sagu. Lagi besar, khasiatnya lagi bagus.

"Saya pernah memperoleh RM7,000 hasil penjualan tiga ekor ratu anai-anai. Bagaimanapun, ia bukan selalu kerana memang sukar mendapatkan ratu anai-anai," kata bapa kepada lima anak berusia enam hingga 15 tahun itu.

Menyedari harganya lumayan, Abdul Rahim menjadikan kerja mencari ratu anai-anai sebagai pendapatan sampingan selain perniagaan mengawal serangga perosak.

"Sepanjang menjalankan pekerjaan mengawal haiwan perosak seperti anai-anai, saya jarang menggunakan racun, sebaliknya memakan ratu serangga berkenaan atau menjualnya kepada pihak berminat.

"Walaupun pelik, ia berkesan, malah ratu anai-anai turut mendapat permintaan tinggi kerana khasiatnya diakui di negara Asia seperti China, Jepun dan Singapura," katanya yang mencari busut di sekitar kampung, terutama di dusun, ladang kelapa sawit dan getah untuk mengesan ratu anai-anai.

Dia mengambil masa kira-kira 10 sehingga 20 minit untuk menemui 'rumah' ratu anai-anai dan kadangkala lubang pertama digalinya membawa kepada penemuan tempat terbabit.

Katanya, cara memakan ratu anai-anai sangat mudah kerana pemakan hanya perlu menanggalkan kepala makhluk perosak terbabit lalu menelannya dengan segera.

"Sebaik menemui ratu anai-anai, kita perlu tanggalkan kepalanya sebelum meminum sedikit air untuk memudahkan ia ditelan," katanya sambil menunjukkan cara terbabit kepada wartawan Metro Ahad.

Rahim turut memberi petua iaitu ratu anai-anai perlu dimakan segera untuk mengekalkan kesegaran serta khasiatnya kerana ia hanya mampu bertahan tiga hari selepas dikeluar dari sarangnya.

Bahkan, dia mendakwa selepas memakan ratu anai-anai, ia memberi kesan yang sungguh baik serta lebih bertenaga walaupun membuat kerja berat setiap hari.

Sementara itu, usaha menemui seorang lagi pemburu ratu anai-anai yang hanya dikenali sebagai Pak Aki, 70, di Segamat menemui kegagalan kerana dia meninggal dunia baru-baru ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Simpan duit urus jenazah adik

Posted: 07 May 2011 11:09 AM PDT

SEREMBAN: "Dua tiga hari ini saya rasa tidak sedap hati, malah terasa ingin simpan duit lebih, seolah-olah sesuatu yang buruk bakal terjadi," kata Mohd Zulkhairi Ismail, 26, abang kepada seorang daripada tiga anggota tentera yang maut dalam nahas di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban, di sini, awal pagi semalam.

Menurut Mohd Zulkhairi, kali terakhir dia bertemu adiknya Zulhelmi, 24, pada Mac lalu iaitu ketika kenduri kahwinnya di Gurun, Kedah.

"Tidak sangka keinginan saya untuk menyimpan duit lebih bulan ini adalah petanda ia akan digunakan untuk pengurusan jenazah adik.

"Ketika itu Angah (Zulhelmi) kelihatan sangat gembira. Malah selepas kenduri kahwin saya itu, dia balik semula ke kampung di Jeniang, Gurun, Kedah untuk bertemu ibu," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, selain Zulhelmi, dua lagi anggota tentera, Izzat Badry Badaruddin, 22, dan Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, maut akibat cedera parah di kepala serta badan manakala rakan wanita mereka dikenali sebagai Nik Norhashimah Abu Kassim, 19, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HTJS.


Kemalangan dipercayai berlaku selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki.

Mohd Zulkhairi berkata, adiknya pernah meluahkan hasrat ingin bertunang dengan seorang jururawat di Baling, Kedah dalam masa terdekat ini, namun tidak sangka hasrat itu tidak tercapai.

"Tidak sangka Angah pergi dulu dan masih terngiang-ngiang dia bersembang dengan saya, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya yang juga anggota tentera dari Kem Batu Cantonment, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Zulhemli kini menjalani kursus setahun di Institut Kejuruteraan Elektrik Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dan bakal menamatkan pengajiannya Ogos depan.

"Angah mengikuti Kursus Mekanik Kereta di IJED dan setahu saya, sudah lima tahun dia menjadi anggota tentera. Kursus ini bagi kenaikan pangkat pegawai," katanya.

Ditanya bagaimana dia mengetahui kejadian itu, Mohd Zulkhairi berkata, dia dihubungi ibunya yang memaklumkan mengenai nahas itu kira-kira jam 6.30 pagi.

"Saya seolah-olah tidak percaya, namun sebaik datang ke hospital dan doktor mengesahkan mayat adik saya, hancur luluh hati ini, namun tiada siapa mampu menolak takdir.

"Ayah juga berkali-kali menghubungi saya bertanya sama ada kejadian itu betul atau tidak," katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada Izzat Badry, Azlita Abd Aziz, 45, berkata kali terakhir mereka bertemu pada Aidlifitri lalu ketika anak saudaranya bercuti.

"Saya mewakili ibunya yang berada di Klang kerana dia tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan dan hanya menunggu jasad anaknya di rumah.

"Mungkin terkejut hingga kakak saya (ibu Izzat) jatuh pengsan banyak kali, namun kami sekeluarga reda menerima berita ini, Allah lebih menyayanginya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan