Selasa, 10 Mei 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Tuntut hak tengah laut

Posted: 09 May 2011 01:42 PM PDT

Wilayah

100  bot nelayan membuat bantahan secara  aman di tengah Sungai Langat terhadap kapal  dagang  yang menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan pendapatan.

100 bot nelayan membuat bantahan secara aman di tengah Sungai Langat terhadap kapal dagang yang menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan pendapatan.

400 nelayan Sungai Langat bantah kapal dagang, pontun sekat rezeki

BANTING: Lebih 400 nelayan Sungai Langat mengadakan demonstrasi samudera semalam, bagi menghalang kapal dagang dan pontun daripada terus menggunakan perairan itu yang mengakibatkan mereka hilang punca rezeki sejak 11 tahun lalu.

Mereka bersatu hati berpakat membariskan 94 bot dan 216 sampan di tengah lautan untuk menagih simpati kerajaan supaya segera menyelesaikan penderitaan dialami akibat aduan sebelum ini tidak dipedulikan. Pelbagai usaha dilakukan sepanjang 11 tahun termasuk berunding dengan wakil rakyat, kementerian dan beberapa agensi berkaitan tetapi masih tiada penyelesaian, sedangkan Sungai Langat terus dikuasai kapal dagang yang menjerat mata pencarian nelayan.

Walaupun panas terik, nelayan dari lima pangkalan berdekatan sanggup membawa anak serta isteri ke tengah Sungai Kelanang selebar lebih satu kilometer untuk menghalang kemasukan lebih 20 pontun dan kapal dagang ke Sungai Langat.

Pada masa sama, beberapa pontun yang sedang berusaha keluar ke muara terpaksa berpatah balik berikutan demonstrasi menyekat sungai dilakukan nelayan Pengkalan Tongkah, Bandar, Permatang Pasir dan Pulau Carey itu.

Ketua Persatuan Nelayan Sungai Kelanang, Zanizam Ismail, berkata demonstrasi itu adalah ikhtiar akhir bagi mendapat penyelesaian lebih serius daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
"Kami tak sanggup lagi menanggung derita dengan kemusnahan sumber rezeki nelayan akibat kezaliman pengusaha kapal kargo dan pontun menggunakan perairan secara tidak berjadual.

"Pada 1990-an kebanyakan nelayan di sini hidup selesa kerana Sungai Langat kaya dengan sumber ikan. Namun, sejak perairan itu disewa kepada pengusaha industri perkapalan pada 2000, pendapatan kami terjejas teruk," katanya.

Beliau berkata, keadaan bertambah parah apabila pengusaha perkapalan menggunakan perairan itu secara tidak berjadual sehingga mengganggu nelayan mencari rezeki.

Katanya, sebelum ini mereka berjanji menggunakan perairan itu empat jam sehari bagi membolehkan nelayan mencari rezeki, tetapi kini mereka menggunakannya hampir setiap jam.

"Setiap hari, lebih 20 kapal dan pontun berulang-alik dari Selat Melaka ke jeti swasta di sepanjang Sungai Langat, menyebabkan nelayan pukat hanyut tidak berpeluang langsung menangkap ikan di situ," katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuala Langat, Wan Abu Bakar Wan Soh, 40, berkata banyak pukat hanyut musnah dilanggar kapal dagang dan pontun menyebabkan nelayan kerugian beribu ringgit setiap bulan.

"Pengusaha perkapalan juga melabuhkan kapal dan pontun mereka sesuka hati terutama di kawasan lubuk ikan di sepanjang Sungai Langat tanpa mempedulikan nasib nelayan tempatan," katanya.

Timbalan Ketua Persatuan Nelayan Pengkalan Tongkah, T Murali, berkata nelayan berdemonstrasi di Sungai Kelanang sejak jam 8.30 pagi dan akan terus berkawal di situ secara bergilir selama 24 jam.

"Kami tidak berganjak seinci pun dari perairan ini walaupun terpaksa bermalam selama seminggu. Isteri dan anak kami menyediakan keperluan makanan dan minuman sepanjang hari sebagai tanda sokongan perjuangan nelayan," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hutan Lipur Ulu Bendul masih selamat

Posted: 09 May 2011 01:42 PM PDT

Wilayah

KUALA PILAH: Orang ramai masih boleh mengunjungi Hutan Lipur Ulu Bendul kerana tempat rekreasi berkenaan masih selamat untuk pelbagai aktiviti perkelahan dan riadah bersama rakan dan keluarga, walaupun ia dikaitkan dengan tragedi `kepala air' yang mengorbankan tiga beradik Selasa lalu.

Pengarah Tourism Negeri Sembilan, Hishamuddin Mustafa, berkata selain tarikan riadah termasuk berkhemah, pengunjung juga boleh melawat Taman Ular Sawa yang mempamerkan lebih 25 ekor ular sawa pelbagai spesies.

"Hutan Lipur Ulu Bendul adalah destinasi pilihan orang ramai termasuk dari Kuala Lumpur untuk berkelah serta melakukan pelbagai aktiviti lain. "Malah, dengan kemudahan lengkap seperti gerai makan, surau dan tandas, pengunjung juga tidak perlu bimbang untuk mengadakan pelbagai aktiviti termasuk perkhemahan kerana lebih 10 pegawai renjer sentiasa berada di kawasan ini sepanjang masa," katanya ketika ditemui di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini.

Mengulas tragedi tiga beradik dihanyutkan arus deras Sungai Ulu Bendul itu, Hishamuddin berkata, tragedi alam itu memang tidak dapat diduga tetapi boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran.

"Apabila cuaca mendung atau hujan, orang ramai perlu mengelak daripada berada dalam sungai kerana fenomena berkenaan mungkin berlaku pada bila-bila masa.
"Jadi, tiada apa perlu dibimbangkan selagi kita mementingkan keselamatan dan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan