Utusan Online - Dalam Negeri |
- Cacamarba jika Anwar berkuasa - Zahid Hamidi
- Ketua Pembangkang serlahkan sikap sebenar sokong Israel
- Tindakan memalukan, hina rakyat
Cacamarba jika Anwar berkuasa - Zahid Hamidi Posted: Cacamarba jika Anwar berkuasa - Zahid HamidiSHAH ALAM 1 Feb. - Dasar luar negara terutama membabitkan isu keselamatan di Asia Barat berkemungkinan akan menjadi carcamarba sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang menerajui negara ekoran kenyataan ketua pembangkang itu yang dilihat menyebelahi kepentingan Israel. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, gambaran awal keadaan tersebut boleh berlaku ekoran kenyataan yang dilontarkan oleh Anwar dalam The Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Disember lalu mengenai sokongan kepada usaha melindungi keselamatan Israel. ''Nauzubillah (kami berlindung dengan Allah), kita harap tidak ada kesempatan diberikan oleh Allah untuk mereka (pembangkang) memerintah negara ini," katanya. Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan motosikal roda tiga berkuasa tinggi pertama di dunia, BRP Can-Am Spyder Roadster yang diedarkan oleh DRB-HICOM Bhd. di sini hari ini. Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengulas mengenai kenyataan Anwar di WSJ pada 26 Januari lalu bahawa: ''Saya menyokong segala usaha melindungi keselamatan negara Israel'' yang mendapat kecaman pelbagai pihak apabila ia dilihat menyebelahi kepentingan rejim Zionis. Bagaimanapun Anwar ketika cuba menangkis kecaman tersebut menyatakan kenyataan beliau itu adalah selari prinsip penyelesaian dua negara atau two states solution yang dikatakan turut dipersetujui oleh pejuang Palestin, Hamas dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia. Zahid berkata, setelah meneliti kenyataan Anwar tersebut sebagaimana dilaporkan oleh WSJ, pihaknya mendapati ia adalah satu percubaan untuk menyelamatkan diri apabila ditanya mengenai isu negara Israel tetapi ternyata jawapan tersebut menjerat pemimpin parti pembangkang tersebut. |
Ketua Pembangkang serlahkan sikap sebenar sokong Israel Posted: Ketua Pembangkang serlahkan sikap sebenar sokong IsraelKUALA LUMPUR 1 Feb. - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel dalam temu bual dengan The Wall Street Journal (WSJ) disifatkan sebagai amat berbahaya dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara. Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, kenyataan tersebut jelas memperlihatkan sikap sebenar Anwar apabila berurusan dengan rejim Zionis itu dan tidak mustahil Israel akan dibenarkan campur tangan dalam urusan pentadbiran Malaysia jika ketua pembangkang itu menerajui pemerintahan negara. Beliau berkata, rakyat perlu memikirkan perkara itu secara rasional kerana pemimpin pembangkang itu dalam wawancara berkenaan memberikan reaksinya secara sukarela dan tanpa tekanan mana-mana pihak. "Inilah sikap sebenar Anwar. Beliau sebenarnya merupakan penyokong Israel dan wawancaranya dengan WSJ merupakan bukti yang memperlihatkan sokongan Anwar terhadap rejim Zionis itu. "Orang seperti ini tidak boleh menjadi pemimpin utama negara. Selain itu sifatnya yang talam dua muka juga perlu difikirkan dengan rasional. Adakah WSJ tersalah petik kenyataannya?" soalnya sinis. Pada Khamis lalu, Anwar dipetik berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel." Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin. |
Tindakan memalukan, hina rakyat Posted: Tindakan memalukan, hina rakyatJELI 1 Feb. - Sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha mempertahan keselamatan Israel sangat memalukan dan menghina rakyat negara ini terutama umat Islam yang bersama-sama berjuang mempertahankan Palestin sejak lebih 60 tahun lalu. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenyataan Anwar itu sangat bertentangan dengan dasar Malaysia yang tidak menjalankan sebarang hubungan dengan Israel kerana kekejaman rejim Zionis itu terhadap umat Islam Palestin. "Kita selama ini bersama Palestin, kita amat kesal dan malu dengan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Jadi kita harap rakyat Malaysia membuat penilaian terhadap pemimpin ini yang sanggup berbuat apa sahaja untuk meraih sokongan pihak tertentu," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Kapasiti Kepimpinan Rukun Tetangga Parlimen Jeli 2012 di sini hari ini. Anwar dalam laporan yang disiarkan majalah antarabangsa, The Wall Street Journal pada Khamis lalu dipetik sebagai berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel." |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan