Berita Harian: Mutakhir |
Polis sedang mengesan 3 krew bot karam di Sedili Posted: 02 Feb 2012 02:49 AM PST Mutakhir KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan tiga krew bot pancung yang karam dan mengorbankan lapan nyawa warga asing di Teluk Semayong, Sedili, Johor semalam bagi membantu siasatan polis berhubung insiden berkenaan.Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata ketiga-tiga krew kapal itu dipercayai menyelamatkan diri selepas bot itu karam dan kini bersembunyi di kawasan sekitar Sedili. "Ketiga-tiga mereka dicari polis selepas polis berjaya menangkap 12 orang dipercayai anggota sindiket penyeludupan itu di sekitar Johor semalam," katanya di sini, hari ini. Lapan lelaki rakyat asing mati lemas, lima hilang manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam di kedudukan tujuh batu nautika dari Teluk Semayong, Sedili, semalam.Kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dipercayai rakyat Iraq, Afghanistan dan Pakistan yang cuba menyeludup keluar dari negara ini menuju negara jiran. Khalid berkata, siasatan awal mendapati kesemua warga asing itu masuk ke negara ini melalui Rantau Panjang, Kelantan pada 31 Jan lepas dan terus ke Sedili. Beliau berkata, sehingga kini operasi mencari dan menyelamat lima lagi warga asing yang menaiki kapal masih diteruskan. - BERNAMA
|
Suami tidak pulang ke rumah selepas urusan kerja: Saksi kes Sosilawati Posted: 02 Feb 2012 02:47 AM PST Mutakhir SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini bahawa suaminya tidak pulang ke rumah selepas pergi ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dengan seorang peguam dikenali sebagai Datuk Pathma, dua tahun lalu.Samson Nahar Mohamed Dali, 37, berkata kali terakhir beliau berjumpa suaminya, Shafiq Davendram Abdullah, 39, ialah pada 5 April 2010 ketika lelaki itu ingin bertolak ke Kuala Lumpur dari rumah mereka di Sungai Petani, Kedah. "Pekerjaan suami saya ialah buat projek jalan raya, bangunan dan emas dengan Datuk Pathma. "Sebelum bertolak dia (Shafiq) janji akan balik pada 9 April 2010 dan dia kata dia ada urusan kerja dengan Datuk Pathma sahaja, setahu saya pejabat dia (Datuk Pathma) di Banting," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.Samson Nahar, yang bekerja sebagai pengasuh, memberi keterangan pada hari ke-64 perbicaraan kes bekas peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Kepada soalan Ishak sama ada Shafiq ada memberitahu beliau apa pekerjaan Datuk Pathma, saksi ke-96 pendakwaan itu berkata pada 2009, suaminya ada memberitahunya Datuk Pathma ialah seorang peguam.
"Saya tidak pernah jumpa dia," jawab Samson Nahar yang mendirikan rumahtangga dengan Shafiq pada 1997. Ditanya Ishak sama ada beliau menerima panggilan daripada Shafiq selepas 5 April 2010, saksi itu menjawab suaminya ada menghubunginya pada 7 April 2010 dan panggilan itu merupakan yang terakhir diterimanya. "Kami berbual macam biasa, dia (Shafiq) kata dia akan balik ke Sungai Petani pada 9 April 2010 lepas solat Jumaat," katanya. "Ada suami awak pulang ke rumah," soal Ishak. "Dia tidak pulang ke rumah sehingga hari ini," jawab Samson Nahar yang turut membuat laporan polis pada 13 April 2010 berhubung perkara itu. Ketika ditanya Ishak, saksi itu memberitahu bahawa Shafiq yang juga seorang mualaf, mempunyai akaun di Affin Bank. Sebelum ini, saksi ke-84 pendakwaan, bekas pegawai forensik polis, Ooi Chew Peng dalam keterangannya memberitahu satu resit Affin Bank atas nama Shafiq Abdullah adalah antara barangan yang ditemui hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan yang ditemui di Ladang Gadong pada 10 September 2010. Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Samson Nahar memberitahu suaminya berasal dari Tanjung Rambutan, Perak. "Tanjung Rambutan terkenal dengan apa lagi," soal Manjeet dan saksi itu dengan perlahan menjawab: "Hospital Bahagia". "Hospital itu hospital apa," soal Manjeet dan Samson Nahar menjawab ia adalah hospital untuk orang kurang siuman. Sementara itu, pegawai turus bahagian operasi khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pemangku Asisten Superintendan Koh Fei Cheow, berkata beliau dan pasukannya telah menahan Pathmanabhan dan seorang lagi yang bernama N Surendran di sebuah rumah banglo di Banting pada 11 September 2010. Beliau berkata, dalam tangkapan itu, pasukannya turut merampas beberapa barang kes termasuk dua 'Smart Tag' dan kad 'Touch n Go'dari kereta jenis BMW milik Pathmanabhan serta dokumen dan fail dari pejabat tertuduh pertama itu yang terletak di Banting. Saksi ke-97 pendakwaan itu berkata beliau juga telah menemubual Pathmanabhan di pejabatnya di IPK Kuala Lumpur sebanyak dua kali iaitu pada 21 September dan 23 September 2010. "Selepas dapat maklumat, dengan dipandu arah oleh Pathmanabhan kami telah ke pejabat Pathmanabhan pada 21 September 2010 dan rampas dua fail yang berkaitan dengan kes ini. "Kami kemudian dipandu arah oleh Pathmanabhan ke Sungai Lang, Banting untuk cari barang kes di sungai itu dengan bantuan unit penyelam. Bagaimanapun penyelam hanya menemui satu gelang warna keemasan," katanya. Seterusnya, Koh berkata, dengan dipandu arah oleh Pathmanabhan, pasukannya telah pergi ke sebuah longkang besar berhampiran pasar Banting pada 24 September 2010, untuk mencari telefon bimbit dengan bantuan unit penyelam dan hasilnya mereka telah menemui sebuah bateri telefon bimbit jenis Blackberry. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan