Utusan Online - Utara |
- Peluang jadi pengedar Murtabak Raja
- 10,000 mangsa banjir tercicir nama terima bantuan RM5 juta
- Lihat keupayaan, bukan kekurangan OKU
Peluang jadi pengedar Murtabak Raja Posted: Peluang jadi pengedar Murtabak RajaOleh AZELI ALI
BUKIT MERTAJAM 1 Mei - Biarpun baru empat bulan menjadi stokis Murtabak Raja keluaran Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd., syarikat Wan Enterprise mampu mengedarkan hampir 3,000 pek hidangan yang pernah menjadi sajian istana itu. Menurut Pengurus Wan Enterprise, Wan Nur Hazeera Wan Rohaizai, kejayaan itu dicapai bersandarkan minat untuk mencari pendapatan tambahan biarpun tanpa pengalaman dalam bidang perniagaan. Katanya, berdasarkan maklum balas pembeli, ternyata Murtabak Raja memiliki keistimewaan tersendiri dengan pelbagai pilihan iaitu perasa daging tempatan berperisa lada hitam, sardin bersos salsa nanas dan kari ayam rempah ratus tradisional. "Pada masa ini, saya membuat promosi di Pasar Tani Mega Tasek Gelugor dan sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan malah rata-rata memuji keenakan murtabak ini. "Biarpun harganya sedikit mahal iaitu RM16, namun dengan berat mencecah satu kilogram, ia cukup untuk dimakan oleh empat orang dewasa dan boleh disimpan di dalam tempat beku peti sejuk selama setahun," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini. Tambah Wan Nur Hazeera, jika disimpan di ruang biasa di dalam peti sejuk pun, ia mampu bertahan selama tiga bulan dan itulah keistimewaan Murtabak Raja. Jelasnya, melalui kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), produk berkenaan mampu dihasilkan dengan saiz lebih besar, tebal dan padat, berintikan 100 peratus daging lembu dan ayam tempatan serta sardin berkualiti bersalut telur gred tinggi dan bawang segar. "Selain murtabak, kami turut mengedarkan beberapa produk lain antaranya karipap, popia cendawan berkeju dan samosa coklat pisang yang juga keluaran syarikat Muslim Best. Menurut Wan Nur Hazeera, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan edaran makanan sejuk beku ini. Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 013-4618876 atau di laman facebook dengan menaip murtabak raja (stokis Pulau Pinang). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
10,000 mangsa banjir tercicir nama terima bantuan RM5 juta Posted: 10,000 mangsa banjir tercicir nama terima bantuan RM5 jutaALOR SETAR 1 Mei - Seramai 10,000 mangsa banjir yang nama mereka tercicir daripada senarai penerima bantuan wang ihsan akan menerima wang berkenaan mulai 15 Mei ini. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, agihan wang ihsan yang membabitkan peruntukan RM5 juta daripada kerajaan Pusat itu akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh seminggu. "Dalam agihan fasa ketiga ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah sudah menyiapkan senarai nama mangsa banjir yang tercicir sebelum ini dan notis akan diedarkan dalam masa terdekat. "Saya berharap penerima ini kelak akan mematuhi arahan dalam notis itu dan pergi ke tempat yang diarahkan untuk menerima wang ihsan ini bagi melancarkan proses agihan," katanya selepas merasmikan Program Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Batin Mergong, di sini hari ini. Program anjuran bersama MKN Kedah dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) UMNO Bakar Bata itu disertai lebih 300 penduduk pelbagai lapisan umur dari kampung berdekatan melalui pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertandingan mengubah dan mewarna. Menyentuh tentang kelewatan agihan tersebut, kata Ahmad Bashah, MKN Kedah perlu memperinci dan menyenarai pendek nama mereka yang mendaftar bagi mengelakkan pertindihan. "Seperti yang diumumkan bahawa satu keluarga hanya layak menerima agihan RM500, namun MKN Kedah berjaya mengesan beberapa kes melibatkan penipuan apabila satu keluarga mendaftar lebih satu nama. "Perkara ini bagaimanapun sudah dilaporkan kepada SPRM untuk tindakan. Atas alasan itu untuk fasa ketiga ini, kita perlu lebih berhati-hati demi bersikap adil kepada mangsa yang benar-benar layak," katanya. Menurutnya, proses kali ini turut membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) untuk mengenal pasti mangsa yang mendaftar itu benar-benar layak. "Kita berharap lepas ini, jika ada lagi mereka yang berhasrat untuk melakukan penipuan seperti ini, hentikanlah atau mereka dikenakan tindakan. "Kerajaan Pusat mengeluarkan wang jutaan ringgit untuk mangsa dan ini juga adalah wang rakyat, jadi jangan ambil kesempatan," katanya. Beliau berkata, setakat ini, dalam fasa pertama sebanyak 14,928 keluarga sudah menerima wang masing-masing dan fasa kedua pula sebanyak 24,652 mangsa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Lihat keupayaan, bukan kekurangan OKU Posted: Lihat keupayaan, bukan kekurangan OKU
PADANG BESAR 1 Mei - Masyarakat seharusnya memberi tumpuan khusus terhadap keupayaan orang kurang upaya (OKU) dalam sesuatu bidang daripada terlalu fokus kepada aspek kekurangan yang dihadapi oleh golongan berkenaan. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, warga OKU pada masa kini berjaya membuktikan keupayaan masing-masing malah ada yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). "Semangat ditunjukkan mereka (OKU) begitu memberangsangkan malah mereka membuktikan bahawa kelainan upaya tidak merencatkan kemahuan untuk berjaya," titah baginda ketika melancarkan Antologi Cerpen Puisi, Aina Anakku hasil karya Roslan Bidin yang merupakan OKU penglihatan di Kampung Beseri Dalam, Beseri, dekat sini hari ini. Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Antologi 62 muka surat itu berjaya dihasilkan Roslan selepas mengambil masa selama empat tahun. Sehubungan itu, titah baginda, masyarakat perlu membantu memberi galakan kepada golongan berkenaan supaya mereka mendapat motivasi dalam memajukan diri. "Tolong jangan sesekali bersikap tidak mengendahkan sebarang pandangan mereka kerana mungkin idea diketengahkan itu lebih baik atau belum pernah disuarakan," titah baginda. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan