Rabu, 18 Mei 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Gejala mat rempit serius – MB

Posted:

Gejala mat rempit serius – MB

Gejala mat rempit serius – MB

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 17 Mei – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) menyifatkan gejala kegiatan mat rempit di negeri ini sebagai ancaman serius yang menuntut semua pihak perlu berganding bahu untuk menanganinya.

Dalam soal itu katanya, ibu bapa perlu berperanan lebih besar dalam mengawasi perlakuan buruk anak- anak yang bukan sahaja mengancam nyawa mereka yang merempit tetapi juga anggota masyarakatnya.

Katanya, tanpa peranan ibu bapa dan anggota keluarga, ia ternyata sukar ditangani.

"Masalah ini adalah tanggungjawab semua pihak dan kita mahu ibu bapa pastikan anak mereka tidak terlibat dalam gejala ini," katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu Ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini semalam.

Ahmad diminta mengulas mengenai gejala mat rempit yang semakin berleluasa di negeri ini dengan kes terbaru membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun cedera parah akibat dirempuh dalam kejadian di Kampung Seberang Baruh, di sini kelmarin.

Menteri Besar memberitahu, selain langkah pencegahan polis, ibu bapa juga perlu memikul tanggungjawab bagi memantau pergerakan anak mereka yang terlibat dengan gejala itu.

"Setiap keluarga khususnya ibu bapa kena kaji dulu, mungkin sudah jadi budaya mereka. Anak-anak diberi motosikal dan kesenangan lain hingga akhirnya terbabit dalam kegiatan merempit," ujarnya.

Beliau turut mengakui pihak berkuasa termasuk kerajaan dan polis sukar untuk membendung gejala tersebut melainkan dengan pembabitan serius ibu bapa kepada mat-mat rempit itu sendiri.

Mengenai cadangan mewujudkan litar lumba bagi menangani masalah itu di negeri ini, Ahmad bagaimanapun berkata, beliau turut khuatir kemudahan itu gagal menarik perhatian mat rempit sekiranya litar itu siap kelak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gajah Bukit Kepang dipindah ke Taman Negara

Posted:

Gajah Bukit Kepang dipindah ke Taman Negara

Gajah Bukit Kepang dipindah ke Taman Negara


BEBERAPA pegawai Perhilitan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah memindahkan seekor gajah jantan liar dengan menggunakan bantuan dua ekor gajah betina di Kampung Bukit Kepang, Machang, Kelantan, semalam.


MACHANG 17 Mei - Seekor gajah jantan liar yang berjaya ditangkap di Kampung Bukit Kepang dekat sini minggu lalu dipindahkan ke Taman Negara, Kelantan dengan membabitkan kos sebanyak RM40,000 hingga RM50,000 hari ini.

Kerja pemindahan dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersama Pusat Konserversi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.

Operasi membawa keluar gajah tersebut bermula kira-kira pukul 9 pagi dan berakhir dua jam kemudian selepas berjaya dibawa turun dari Bukit Kepang, di mana tempat gajah tersebut dirantai.

Penolong Pengarah Kanan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Nasharuddin Othman berkata, operasi tersebut membabitkan 22 anggota termasuk pegawai dari kedua-dua agensi berkenaan.

"Gajah berusia kira-kira 15 tahun ini akan dipindahkan ke Taman Negara Kelantan dan akan dipasang dengan alat pengesan satelit bagi mengesan pergerakannya pada masa depan.

"Gajah ini didapati mengganggu penduduk menyebabkan ramai di kalangan mereka tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti menoreh dan berkebun kerana bimbang diserang haiwan ini," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini, hari ini.

Katanya, gajah itu berjaya dibawa keluar dengan menggunakan bantuan dua ekor gajah denak.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kemunculan gajah tersebut yang memusnahkan tanaman dan memasuki kawasan kediaman mengundang kebimbangan kepada penduduk kampung persekitaran.

Susulan itu Perhilitan bertindak menangkap gajah tersebut dalam operasi selama hampir empat jam membabitkan lapan kakitangan pada minggu lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk Tok Uban rayu kerajaan baiki segera jalan rosak

Posted:

Penduduk Tok Uban rayu kerajaan baiki segera jalan rosak

Penduduk Tok Uban rayu kerajaan baiki segera jalan rosak


Keadaan jalan rosak di Kampung Bujuk Batu Hampar, Tok Uban, Pasir Mas ini perlu dibaiki segera.


PASIR MAS 17 Mei - Lebih 500 keluarga sekitar Tok Uban di sini merayu Kerajaan Pas Kelantan membaiki jalan sepanjang kira-kira 15 kilometer dari Kampung Bujuk ke Pasir Mas yang rosak teruk.

Seorang penduduk, Daud Yaacob, 60 berkata, jalan itu mengalami kerosakan teruk ketika musim tengkujuh lalu disebabkan arus air hujan yang kuat tetapi masih dilalui pelbagai kenderaan.

Katanya, cuaca yang panas pada masa sekarang turut menyebabkan keadaan jalan tersebut berdebu sehingga menghalang penglihatan.

"Keadaan jalan yang berlopak amat membahayakan pengguna jalan ini. Saya sendiri terpaksa berhati-hati ketika mengelak lopak-lopak besar ketika melalui jalan ini agar tidak terlibat dalam kemalangan.

"Saya amat berterima kasih andainya kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran yang dihadapi dan menyegerakan kerja membaikinya," kata Daud kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Zakaria Che Amat, 60, dari Kampung Kolam berkata, penduduk kampung tersebut hanya mengharapkan kerajaan Pas Kelantan membaiki jalan tersebut berbanding bantuan-bantuan lain kerana ia adalah nadi utama mereka untuk mencari rezeki.

Katanya, dalam keadaan sekarang, jalan itu perlu dibaiki segera untuk memberikan keselesaan kepada mereka yang sering berulang alik dari rumah ke tempat kerja.

Mohammad Che Man, 51, berkata, laluan sejauh 15 kilometer itu penting kerana merupakan jalan pintas untuk sampai ke Pasir Mas dan Rantau Panjang.

"Kita telah membuat beberapa aduan kepada wakil rakyat dan pihak berkuasa supaya jalan ini dibaiki segera tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan diambil.

"Sebagai sebuah kerajaan, kami amat berharap rayuan ini akan didengar sebagaimana janji ketika pilihan raya dahulu untuk membentuk sebuah negara kebajikan dan memberikan kesenangan kepada rakyat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan