Selasa, 10 Mei 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Peronda larut malam digeruni

Posted:

Peronda larut malam digeruni

Peronda larut malam digeruni

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


Anggota Skim Rondaan Sukarela sentiasa komited menjalankan tugas walaupun terpaksa berjaga tengah malam bagi memastikan keselamatan di taman perumahan Lavender Heights, Senawang. – UTUSAN/Abd Razak Aid


SEREMBAN 9 Mei – Mereka bukan anggota komando dalam mana-mana pasukan tentera, malahan kumpulan ini juga bukanlah skuad elit dalam pasukan keselamatan.

Namun kehadiran mereka dengan berbekalkan vest, wisel, cota dan lampu picit itu di taman perumahan Lavender Heights, Senawang, dekat sini sudah cukup digeruni penjenayah sehingga ada yang menggelarkan kumpulan ini sebagai 'peronda larut malam'.

Ketua Keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Mohamad Hanniff Mohd. Yusof, 63, berkata, operasi yang dijalankan itu akan dibuat tanpa mengira hari tertentu.

"Dalam tempoh seminggu itu, ada satu hari yang telah kita tetapkan jadualnya, tetapi dalam tempoh itu juga akan ada operasi mengejut bagi mengekang jenayah di kawasan Lavender Heights," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Katanya, mereka bukan 'kumpulan gangster' tetapi kumpulan yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga (1975), pindaan 1988 iaitu menjalankan tugas secara sukarela mencegah jenayah.

"Kita jalankan prosedur mengikut standard operasi yang ditetapkan supaya semua anggota SRS dilindungi keselamatan mereka.

"Apa yang kita harapkan sekarang adalah pembabitan lebih ramai penduduk di taman perumahan ini menyertai SRS kerana dengan bilangan yang bertambah itu, kita akan dapat menjalankan operasi mencegah dengan lebih efektif," katanya.

Konsep program KRT itu, termasuklah SRS hampir sama peranannya seperti Neighbourhood Watch yang diamalkan di United Kingdom.

KRT telah ditubuhkan oleh kerajaan pada 1975 yang asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat dan satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975, telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut.

Pada 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan di antara pelbagai kaum di negara ini dan pada tahun 2001, fokus program itu tertumpu pada pembangunan masyarakat setempat.

Di taman ini sahaja, terdapat lebih 60 anggota SRS yang ditugaskan di tujuh lokasi strategik melibatkan pengawasan hampir 1,000 buah rumah yang terdapat di situ.

Mohamad Hanniff berkata, dalam menabur bakti sebagai anggota SRS, ia tidak mengambil kira kedudukan, pangkat mahupun jawatan seseorang kerana apa yang lebih penting adalah memikirkan cara mereka boleh bekerjasama mencegah jenayah di taman perumahan ini.

"Kita mempunyai golongan profesional, pesara, guru, wartawan, polis, akauntan, jurutera, ahli perniagaan, tentera dan sebagainya yang menyertai SRS. Mereka ada kedudukan dalam kerjaya masing-masing, tetapi bersama-sama membantu mengawal keselamatan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

SRS perlu wujud di semua kawasan KRT

Posted:

SRS perlu wujud di semua kawasan KRT

SRS perlu wujud di semua kawasan KRT

SEREMBAN 9 Mei - Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu diwujudkan di setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini terutama di taman perumahan dalam usaha membantu pihak berkuasa membanteras jenayah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rekod menunjukkan SRS dan KRT sangat berperanan dalam mengurangkan jenayah terutama membabitkan kes pecah rumah.

"Jangan bagi kesempatan kepada penjenayah kerana apabila ada yang ingin melakukan jenayah di tempat kita, SRS mungkin dapat menghalang jenayah tersebut," katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, KRT dan SRS perlu diadakan di setiap kawasan perumahan khususnya di bandar yang mempunyai indeks jenayah tinggi.

"Tugas menjaga keselamatan penduduk yang juga merupakan jiran-jiran kita adalah tanggungjawab bersama. Kita tidak boleh mengharapkan polis sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, melalui aktiviti perpaduan komuniti di KRT, ia menjadi landasan untuk menyatukan rakyat serta membentuk negara bangsa yang berjaya.

"KRT terbukti sebagai satu lagi nadi penting perpaduan dengan penganjuran aktiviti seperti sukaneka, rekreasi, keagamaan, perayaan kaum, ramah-mesra bersama pemimpin dan sebagainya.

"Sejak beberapa tahun lalu, sebanyak 2,000 aktiviti yang dianjurkan KRT di negeri ini telah memperkasakan bangsa Malaysia dengan sempurna dengan satu peradaban perpaduan yang jitu," katanya..

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah KRT serta Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan mengenal pasti kawasan di pinggir bandar dan bandar selain menerusi perbincangan dengan pemimpin setempat.

"Kerajaan akan menyediakan insentif untuk mereka yang menyertai SRS seperti dibekalkan peralatan meronda, baju hujan, peti ubat, lampu suluh, topi dan wisel," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lavender Heights, Mohammed Sharif, 67, berkata, kesungguhan anggota SRS di taman berkenaan dibuktikan melalui kerjasama erat, bukan sahaja mencegah jenayah tetapi hal kebajikan, kebersihan dan penyediaan kabin pusat operasi utama.

"Kita masih memerlukan peralatan bagi menyelaraskan operasi seperti komputer, walkie-talkie, siren kecemasan serta kelengkapan kabin pusat utama ini, yang sebelum ini menggunakan dana ahli SRS dan sumbangan orang ramai.

"Kita berharap perkara ini mendapat perhatian kerajaan untuk membantu SRS yang aktif bagi meningkatkan moral mereka dalam meneruskan operasi mencegah jenayah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Padah curi air Sains

Posted:

Padah curi air Sains

Padah curi air Sains

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

RASAH 9 Mei – Gara-gara membuat penyambungan secara haram untuk mencuri air, seorang pemilik rumah di Taman Tuanku Jaafar dekat sini menerima padah selepas dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), di sini hari ini.

Serbuan yang dilakukan hasil dari intipan beberapa hari dilakukan sepasukan pegawai dan anggota kedua-dua jabatan berkenaan diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Jurucakap Sains menjelaskan, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kawasan kediaman itu berkenaan sememangnya membuat penyambungan air secara haram dari paip utama di bahagian luar.

"Pemeriksaan di pusat itu mendapati berlaku penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 25 milimeter daripada paip utama milik Sains.

"Selain itu, ujian klorin dijalankan untuk memastikan sama ada bekalan air premis berkenaan adalah air terawat milik Sains atau sebaliknya," kata jurucakap itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis berkenaan dan paip yang digunakan turut disita sebagai bahan bukti.

Jelasnya, pemilik rumah berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dan semua paip penyambungan itu disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

"Jika sabit kesalahan, hukuman denda diperuntukkan mengikut seksyen itu ialah RM50,000 atau penjara lebih enam bulan atau kedua-dua sekali," katanya

Katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan berterusan bagi mengesan kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira sama ada ia membabitkan pengguna komersial atau domestik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan