Utusan Online - Jenayah |
Wanita hamil, bapa cedera dipukul dua penyamun Posted: Wanita hamil, bapa cedera dipukul dua penyamunTELUK INTAN 2 Mei - Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan cedera manakala bapanya berusia 61 tahun menerima 31 jahitan di kepala apabila dipukul dua penyamun bersenjatakan parang yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Permatang Jambu, Langkap di sini awal pagi ini. Kejadian berlaku pukul 3.30 pagi apabila mangsa, Siti Fairuz Abdul Hamid, 28, terjaga daripada tidur setelah mendengar bunyi bising sebelum mendapati bapanya, Abdul Hamid Mahmud sedang dipukul oleh dua lelaki dengan besi. Siti Fairuz berkata, dia cuba membantu namun turut dibelasah kedua-dua suspek dengan parang. "Saya terkejut melihat bapa yang dibungkus dengan kelambu sedang menahan serangan suspek. Saya cuba tolong tetapi turut dipukul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Abdul Hamid, kedua-dua suspek kemudian meloloskan diri ke arah kebun kelapa sawit di belakang rumah dan hanya sempat melarikan wang tunai RM38 dan telefon bimbit. Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Langkap sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan dan menerima 31 jahitan di kepala. | ||
Ibu bimbang keselamatan anak perempuan hilang Posted: Ibu bimbang keselamatan anak perempuan hilang
KUALA LUMPUR 2 Mei - Seorang ibu tidak tidur lena sejak enam hari lalu setelah anak tunggalnya, Siti Nafsiah Hanim Mohd. Shukor, 21, menghilangkan diri tanpa khabar berita. Fuziah Ab. Kadir, 56, dari Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Batu Caves dekat sini berkata, anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sejak Selasa lalu. Katanya, kali terakhir dia berjumpa Siti Nafsiah Hanim atau panggilan manjanya Hanim ialah pada pukul 7.30 pagi iaitu semasa menghantarnya ke tempat kerja di sebuah sekolah di Taman Greenwood di sini. "Saya hanya menyedari kehilangan Hanim semasa mahu mengambilnya pulang untuk makan tengah hari pada pukul 11.45 pagi. "Memang menjadi rutin harian saya untuk menghantar dan mengambil Hanim yang bekerja sebagai kerani di sekolah tersebut pada setiap hari termasuklah waktu makan tengah hari," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa 1, hari ini. Bagaimanapun, kata Fuziah, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan sekerja Hanim bahawa anaknya itu sudah pulang ke rumah dan memohon cuti mulai 29 April lalu sehingga esok. Lebih mengejutkan, kata pesara Telekom Malaysia ini, ialah anaknya sudah menghantar surat berhenti kerja kepada majikannya dengan alasan mahu pergi ke Sabah menguruskan masalah keluarga. Namun, kata Fuziah, suaminya yang tinggal dan bekerja di Sabah juga gagal mengesan anaknya di negeri berkenaan. Fuziah berkata, melalui rakan Hanim, dia mendapat tahu anaknya pernah dilihat keluar dengan seorang duda bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel tidak jauh dari rumahnya dikenali sebagai Bob berusia lingkungan 40-an. "Kami sekeluarga mencari Bob di tempat kerja dan cuba mengesannya melalui laman sosial Facebook tetapi gagal," katanya. Katanya, sesiapa mempunyai maklumat mengenai Hanim boleh menghubungi Sarjan Rahim di talian 019-6474716 atau mana-mana balai polis berhampiran. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan