Khamis, 5 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Lelaki disebalik pesanan video

Posted:

Lelaki disebalik pesanan video

Lelaki disebalik pesanan video

Susunan NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



LELAKI berjanggut panjang dan penuh karisma yang selama beberapa dekad menjadi igauan ngeri Amerika Syarikat (AS) menemui ajal dalam satu serbuan askar AS di Pakistan, Ahad lalu.

Lelaki yang menggemparkan dunia kerana didakwa mendalangi serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 itu dibunuh di sebuah rumah agam di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad.

Bagaimanapun, kematian pemimpin tertinggi rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden, 54, itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi di dada akhbar antarabangsa termasuk bakal pengganti lelaki misteri itu yang bijak menggagalkan pelbagai percubaan untuk membunuh atau menangkapnya.

Pakar bedah mata kelahiran Maadi, Mesir, Ayman Muhammad Rabaie al-Zawahiri, 59, yang merupakan tulang belakang Osama selama ini, disebut-sebut bakal menjadi ketua Al-Qaeda yang baru.

Dilahirkan pada tahun 1951 dalam sebuah keluarga atasan yang mempunyai cendekiawan dan doktor, Zawahiri bertemu Osama pada pertengahan tahun 1980-an di Peshawar, Pakistan ketika menyokong perjuangan mujahidin menentang pencerobohan Soviet Union di Afghanistan.

"Zawahiri adalah otak bagi tubuh Osama," kata seorang peguam Mesir, Montasser al-Zayat yang pernah mewakili Zawahiri.

Graduan Universiti Kaherah itu digambarkan sebagai ketua pergerakan Al-Qaeda dan penasihat terdekat Osama.

Tidak seperti Osama yang lebih bersikap sederhana, Zawahiri merupakan wajah Al-Qaeda dan sering mengecam AS dan sekutunya melalui pesanan-pesanan video.

"Zawahiri sentiasa menjadi mentor dan selalu dipandang tinggi oleh Osama," kata pakar keganasan di Universiti Georgetown, Profesor Bruce Hoffman.

"Dia pernah menjadi tawanan dan diseksa di penjara orang Mesir. Semasa remaja, dia merupakan seorang pejuang jihad malah telah berjuang sepanjang hayatnya. Pengalaman tersebut telah membentuk pandangannya terhadap dunia," tambah Hoffman lagi.

Zawahiri menyertai ahli kumpulan Jihad Mesir yang diasaskan pada tahun 1973. Dia merupakan salah seorang daripada 301 orang yang ditahan berikutan pembunuhan Presiden Mesir, Anwar Sadat pada tahun 1981.

Lelaki bersosok sederhana, berjambang dan berkaca mata itu telah menjalani perbicaraan dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh.

Pada tahun 1993, Zawahiri memegang tampuk kepimpinan kumpulan Jihad Mesir dan merupakan figura utama dalam kempen pembentukan negara Islam di negara berkenaan pada pertengahan tahun 1990-an.


KEDIAMAN Osama di Abbotabad yang musnah selepas diserang tentera AS.


"Osama mewakili sebuah pergerakan, segala pertuturan dan kemunculannya mempunyai aura serta karisma, Zawahiri tidak boleh menandingi kewibawaannya," kata penyelaras untuk pasukan pemantauan Al-Qaeda-Taliban, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Barrett.

Penasihat Pencegah Keganasan Presiden Barrack Obama, John Brennan pula memberitahu, Zawahiri mempunyai banyak pengkritik dalam organisasi itu.

"Saya rasa anda akan melihat kejadian makan diri sendiri dalam pertubuhan itu semakin bertambah," ujarnya.

Selain Zawahiri, nama-nama lain yang dijangka mampu memimpin rangkaian Al-Qaeda termasuk Anwar al-Awlaki, Abu Yahya al-Libi, Ilyas Kashmiri, Nasir al-Wuhayshi dan beberapa lagi.

Rakan kepada Zawahiri iaitu Aboud Al-Zumur memberitahu AFP, kematian Osama tidak akan menjejaskan organisasi itu.

Al-Qaeda berjanji akan membalas serangan. Zumur yang pernah dipenjarakan bersama Zawahiri kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981 menegaskan kematian Osama adalah syahid.

Dia merupakan antara ahli kumpulan Jihad Mesir yang dibebaskan dari penjara selepas Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan baru-baru ini.

"Al-Qaeda bukanlah individu tetapi satu institusi. Pembunuhan Osama tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah," katanya.

Dia turut menasihati pengikut Osama agar tidak membalas dendam dan bersabar. Sekiranya mereka (penyokong) membuat serangan di kedutaan atau sebagainya, ia hanya membunuh orang yang tidak berdosa.

Zumur menyifatkan Zawahiri, seorang yang dikenali sebagai perancang dalam Al- Qaeda dalam siri serangan ke atas AS, sebagai seorang yang 'berhati mulia'.

Imej AS


PENDUDUK di Abbotabad menjalani kehidupan seperti biasa beberapa hari selepas Osama ditembak mati di kediamannya di bandar itu.


Dalam pada itu, penulis kolum Arab Saudi, Dawood al-Sherian memberitahu, operasi itu menjadi simbol kesungguhan dan memberi kesan positif kepada imej AS.

"Bagaimanapun, penghujung riwayat Osama telah menimbulkan keraguan mengenai masa dan butir-butir kematiannya sekali gus mungkin memberi tamparan kepada imej AS dalam dunia Arab serta Muslim," dia menulis dalam harian Al-Hayat yang berpangkalan di London.

Bagi Sherian, menangkap Osama adalah lebih baik berbanding membunuhnya kerana ia mungkin akan melemahkan Al-Qaeda apabila pemimpin mereka berdepan keadilan seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.

Pengarang akhbar bebas Jordan, Al-Arab Al-Yawm, Fahd Kheitan pula menulis: "Serbuan AS merupakan kemenangan pilihan raya bagi Presiden Barack Obama. Ia hanya mendatangkan kesan kecil kepada Al-Qaeda.

"Al-Qaeda telah kehilangan pemimpin tertinggi mereka tetapi pengikutnya akan cuba membalas dendam ke atas pembunuhan tersebut sekali gus sekutu antikeganasan perlu bersedia menghadapi dendam."

Sementara itu, pakar cegah keganasan berkata, kematian Osama akan memberi tamparan kepada rangkaian pengganas yang diasaskan dan dibangunkannya itu, walaupun peranan Osama lebih bersifat simbolik berbanding operasi sejak kebelakangan ini.

"Melumpuhkan pergerakan tidak akan menghakis gabungan Al-Qaeda dan orang perseorangan yang tetap memberi ancaman," kata John McLaughlin yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Interim, Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS.

"Bagaimanapun, kuasa pusat inspirasi Al-Qaeda akan berkurangan," katanya.

Bagi Paul Pillar yang merupakan bekas pegawai perisik di Asia Barat dan Asia Selatan dari tahun 2000 hingga 2004, Al-Qaeda sebenarnya telah berkembang dan kematian Osama tidak banyak mengubah serangan yang telah dirancang.

"Dari segi kawalan operasi dan arahan, perubahan telah dilakukan.

"Peranan Osama lebih sebagai simbol dan sumber ideologi berbanding orang yang memulakan operasi. Peranan tersebut akan berterusan sama ada dia mati atau masih hidup," katanya.

Katanya, kematian Osama akan memberi makna lebih penting kepada bagaimana AS dan Barat akan bertindak ke atas keganasan, bukan bagaimana pengganas akan menjalankan rangkaian mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kebaikan menulis wasiat

Posted:

Kebaikan menulis wasiat

Kebaikan menulis wasiat


BUDAYA menulis wasiat dalam kalangan golongan muda profesional, menunjukkan satu respons yang memberangsangkan.


TIADA siapa yang ambil peduli apatah lagi mahu bertanya khabar. Malah, kehadiran Mariam dianggap sebagai beban dalam kalangan sanak saudaranya hanya kerana dia tidak sesempurna insan lain.

Saat itu, pertalian saudara yang terjalin bagaikan sudah tiada ertinya lagi.

Melihat Mariam terkapar-kapar meraih simpati di mata sanak saudaranya setelah ibunya, Zainab meninggal dunia, orang kampung mengambil keputusan menghantar Mariam ke rumah Sri Kenangan.

Namun, semuanya berubah selepas Mariam meninggal dunia. Bukan kerana rasa kesal dengan sikap buruk mereka terhadap arwah sebelum ini, sebaliknya kerana mereka ingin menuntut hak apabila mengetahui Mariam meninggalkan harta yang banyak.

Dalam situasi pemergian Mariam seharusnya diiringi doa dan bacaan ayat-ayat al-Quran, keadaan sebaliknya pula berlaku. Mereka bertelingkah sesama sendiri mahu merebut harta terkerana tiadanya wasiat.

Itu salah satu daripada ribuan kes yang berlaku. Apatah lagi, pendedahan sebelum ini berhubung nilai harta pusaka yang dibekukan berikutan kes yang gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan wasiat dianggarkan mencecah RM42 bilion.

Berdasarkan faktor itu, tidak salah kalau mengandaikan budaya penulisan wasiat dalam kalangan rakyat negara ini masih rendah. Melihat kepada senario ini, nampaknya ia berbalik kepada aspek kesedaran dalam kalangan masyarakat. Justeru, adakah benar kita masih kurang kesedaran akan kepentingan penulisan wasiat?

Mengakui perkara tersebut, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Bhd. (ARB) Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, tahap kesedaran menulis wasiat dalam kalangan rakyat negara ini masih belum mencapai tahap memuaskan.

Berbanding di Barat, menulis wasiat sudah menjadi satu kewajipan dan bukannya sesuatu yang dilihat sebagai cara mendoakan seseorang itu cepat mati.

"Berdasarkan kajian Amanah Raya, hanya 668,000 orang menulis wasiat sama ada di Amanah Raya atau pun dalam kalangan pemain industri. Daripada jumlah tersebut, 490,000 adalah dari Amanah Raya. Ini berdasarkan kajian tahun lalu.

"Matlamat atau sasaran pasaran yang perlu diteroka (penulisan wasiat) adalah seramai 3 juta orang. Jadi, angka 3 juta berbanding 668,000 orang yang tulis wasiat, menunjukkan tahap kesedaran masyarakat masih rendah," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bagaimanapun, kajian tersebut mendapati, budaya menulis wasiat dalam kalangan golongan muda profesional, menunjukkan satu respons yang memberangsangkan.

"Biasanya trend menulis wasiat ini adalah dalam kalangan warga emas.

"Tetapi, sekarang sudah ramai golongan muda tampil untuk membuat wasiat," katanya.

'Body saya ok lagi...I'm still fit. Kemudianlah buat wasiat, lagipun badan masih rasa sihat dan lambat lagi mati,' itu adalah antara faktor yang menyebabkan amalan menulis wasiat di negara ini belum dapat dibudayakan lagi, kata Ahmad Saruji.

Perancangan awal


AMANAH Raya berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai pentingnya menulis wasiat.


Mentaliti seperti itulah yang menyebabkan harta pusaka terpaksa dibekukan sehingga mencecah RM42 bilion kerana tiada pewaris.

"Kita tidak boleh mengandaikan bahawa menulis wasiat hanya sesuai ketika sakit atau nazak. Ini satu mentaliti yang salah kerana kita tidak tahu sama ada esok atau lusa, kita masih hidup atau mati. Ia sebenarnya bersangkut paut dengan sikap suka procastinate.

"Sikap ini perlu diubah dengan melakukan perancangan awal menulis wasiat kerana ia akan dapat menjamin kehidupan keluarga kita. Jangan asyik tunda sahaja kerana yang merana nanti adalah keluarga," katanya.

Setiap kali isu wasiat diutarakan, semua pihak gemar meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada Amanah Raya mahupun pemain industri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

Walhal usaha meningkatkan kesedaran, adalah tanggungjawab semua pihak merangkumi semua pihak sama ada institusi keluarga, peranan ulama agama termasuklah swasta.

"Masyarakat tidak boleh mengharapkan pemain industri sahaja. Kita (Amanah Raya) bergerak juga sebagai tonggak utama, tetapi masyarakat juga harus mainkan peranan," katanya.

Bagi Amanah Raya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wasiat terus digiatkan dari semasa ke semasa menerusi 19 buah cawangannya di seluruh negara melalui kerjasama yang terjalin antara institusi perbankan dan ejen korporat yang dilantik.

"Bagi membuat wasiat di Amanah Raya, kadar bayaran bagi orang Islam dan bukan Islam adalah RM350 satu wasiat. Kita ada buat pakej pembiayaan dengan bank menerusi potongan gaji.

"Selain itu, orang ramai juga boleh membuat bayaran menerusi kad kredit dan ini semua untuk memudahkan mereka membuat wasiat. Sekiranya mereka tidak berupaya datang ke Amanah Raya atau mana-mana agensi yang bekerjasama, kami boleh terus ke rumah anda," katanya. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan