Jumaat, 13 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


APMM nafi ugut mahu tangkap nelayan

Posted: 12 May 2011 12:23 PM PDT

BANTING: Industri perkapalan yang beroperasi di sepanjang Sungai Langat mendesak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya menghentikan demonstrasi di tengah laut secepat mungkin untuk membolehkan mereka terus menggunakan perairan itu.

Sejak Selasa lalu pemilik 15 ponton dan kapal dagang yang berlabuh di Pulau Carey cuba memujuk nelayan supaya memberi laluan ke jeti Sungai Kelanang, tetapi nelayan lima pangkalan yang 'berkampung' di tengah sungai itu tidak mahu berganjak.


Berikutan itu, mereka menggunakan taktik baru meminta APMM mengiringi kargo mereka dengan harapan nelayan membuka kepungan sungai namun jangkaan mereka ternyata meleset.

Menyedari taktik licik itu, nelayan dari lima pangkalan yang 'berkampung' dalam bot masing-masing terus memperkasa kepungan tanpa memberikan sedikitpun ruang kepada mana-mana kapal dagang menggunakan perairan itu selagi tuntutan ganti rugi mereka tidak ditunaikan.


Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Persatuan Nelayan Kuala Langat, Mohd Khairy Rajan Abdullah, berkata dalam kejadian terbaru pada kira-kira jam 2 pagi semalam, sebuah kapal peronda APMM melintasi Sungai Kelanang serta menghubungi jeti itu supaya membuka laluan kepada sebuah kapal milik Megasteel Sdn Bhd dari Pengkalan Sri Tama.


"Kami bertanya kepada pegawai operasi APMM mengapa bot peronda itu mengiringi kapal dagang syarikat berkenaan sedangkan kepungan laut sudah dibuat sejak tiga hari lalu.

"Pegawai peronda itu memberi alasan ponton milik Megasteel membawa muatan penting dan APMM akan memastikan syarikat itu menggunakan perairan secara berhati-hati tanpa mengganggu kehidupan nelayan.


"Pegawai itu juga berkata kepungan laut boleh diteruskan selepas kapal dagang itu dibenarkan menyusur muara," katanya.

Mohd Khairy berkata, tawaran pegawai peronda APMM ditolak melalui telefon dan beliau dan nelayan lain segera bergegas ke tengah Sungai Kelanang untuk mengawal 'benteng' untuk memastikan ponton berkenaan tidak dapat melepasi kepungan.


Katanya, pegawai peronda APMM kemudian memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan semua nelayan yang membuat kepungan itu.


"Pegawai peronda itu kemudian meninggalkan lokasi manakala ponton yang sarat dengan muatan besi lusuh terpaksa berpatah balik ke pangkalan Sri Tama," katanya.


Mohd Khairy berkata, beberapa minit kemudian pemilik jeti itu menghubunginya sambil merayu agar memberi laluan kerana muatan itu perlu segera dihantar ke lokasi bagi memenuhi kontrak jualan.


"Saya menolak permintaannya dengan baik dan meminta beliau dan semua pemilik jeti swasta di sepanjang Sungai Langat supaya berbincang dengan jawatankuasa khas yang bentuk bagi menyelesaikan masalah," katanya.


Sementara itu, Pegawai Operasi APMM Pelabuhan Klang, Leftenan Amri A Rauf ketika dihubungi semalam menafikan pegawainya memberi amaran akan menahan semua nelayan yang melakukan demonstrasi di Sungai Kelanang.


Beliau berkata, semua bot peronda kembali ke pangkalan pada jam 10 malam dan tidak membuat sebarang panggilan kepada nelayan berkaitan usaha mengiring sebuah ponton milik Megasteel untuk melepasi kepungan di Sungai Kelanang.


Katanya, APMM tidak mempunyai kuasa menangkap nelayan yang melakukan demonstrasi dan kepungan sungai kerana bidang kuasa agensi itu hanya membabitkan aktiviti di samudera.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Suspek dicam

Posted: 12 May 2011 12:01 PM PDT

KUALA LUMPUR: Polis hampir mengenal pasti dua suspek lelaki kes simbah cecair yang dipercayai asid menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi kejadian itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pengecaman itu hampir tepat hasil rakaman berkenaan dan keterangan mangsa yang melihat kelibat lelaki terbabit.


"Suspek dianggarkan berumur 20-an dan 30-an, berkulit gelap, seorang berbadan gempal manakala seorang lagi kurus yang menggunakan dua motosikal ketika melakukan jenayah itu," katanya dalam lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 22 kes simbah cecair dipercayai asid berlaku di Lembah Klang dengan 70 peratus daripada kes itu dilakukan berseorangan manakala 30 peratus lagi secara berpasangan.


"Melalui siasatan dan rakaman serta keterangan mangsa dan saksi kejadian, polis percaya jenayah terbabit dilakukan suspek sama," katanya yang enggan mengulas lanjut identiti sebenar suspek.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati cecair digunakan suspek bahan yang sukar didapati termasuk di kedai peralatan pertukangan mahu pun pembinaan.

Kejadian simbah cecair dipercayai asid bermula 9 Februari hingga 27 Mac lalu dengan 18 kes berlaku di Kuala Lumpur sebelum kejadian itu reda seketika.


Terbaru, Harian Metro melaporkan lima wanita menjadi mangsa terbaru kes serangan asid dengan seorang daripadanya dikhuatiri buta manakala empat lagi cedera ringan di muka dan badan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan