Rabu, 4 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Along beri pilihan mahu mati dibakar atau diracun

Posted: 03 May 2011 01:42 PM PDT

KUALA LUMPUR: Angkara meminjam dengan along sebanyak RM140,000, seorang lelaki kini berada dalam ketakutan apabila diugut bunuh sama ada dibakar atau dipaksa minum racun serangga.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Venu, 43, berkata dia membuat pinjaman peribadi daripada along berkenaan pada 2008 untuk menjalankan perniagaan dengan membayar balik hutang sebanyak RM8,000 sebulan, tetapi berhenti membayarnya sejak setahun lalu apabila perniagaan merosot.


Beliau berkata, berikutan itu, dia bersama isteri dan dua anaknya kini diburu along yang bertindak menghantar lima lelaki untuk meminta hutang dengan cara kekerasan dan mengugut untuk membunuhnya.

"Pada 29 April lalu kira-kira jam 6.30 petang, saya berjumpa dengan lima lelaki yang dihantar along terbabit untuk berbincang.


"Saya memberitahu sudah membayar RM75,000 dan minta tempoh empat bulan untuk menyelesaikan semua baki hutang itu," katanya, semalam.


Menurutnya, dia juga mencadangkan membayar hutang itu secara ansuran sebanyak RM500 sebulan hingga Disember ini dan RM1,000 sebulan dari Januari 2012 hinggalah selesai namun lelaki berkenaan tidak setuju dan memintanya membayar RM30,000 dengan kadar segera.

Katanya, dia yang tidak ada wang seperti diminta kemudian diugut bunuh sama ada memilih hendak mati dengan cara dibakar di ladang getah atau meminum racun serangga.


"Mereka juga mengugut mahu mengambil isteri dan dua anak saya di rumah untuk menghapuskan kami dengan cara kejam.

"Sekarang saya berasa takut kerana nyawa keluarga terancam dan mahu pihak berkuasa bertindak menyiasat kegiatan mereka," katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kelmarin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cuma denda RM5,000

Posted: 03 May 2011 01:40 PM PDT

AMPANG: "Saya kesal dan minta maaf atas kejadian berlaku kerana ia tidak dapat dielakkan," kata seorang jurujual dalam rayuannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Koon Kim Chuan, 47, berkata demikian selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan melanggar pemandu lori, Ong Kim Koon, 52, yang sedang membantu sepasang suami isteri yang terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Kampung Pandan, tiga minggu lalu.


Majistret Aida Mastura Mohamed Aman menjatuhkan hukuman denda RM5,500 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta lesen memandu ditulis dengan kesalahan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Khoo yang memandu kereta Toyota Estima berwarna putih bernombor pendaftaran WQR9883 tanpa pertimbangan munasabah menyebabkan kemalangan terhadap Perodua Viva, WTL9017 yang dipandu Zainal Md Yusoff dan Rossaimiah Hashim dan Ong pada jam 12.30 tengah malam, 12 April lalu. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum seksyen sama yang membawa hukuman denda minimum RM4,000 dan maksimum RM10,000. Khoo yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan terhadapnya dengan alasan ketika kejadian dia cuba mengelak, namun tidak berjaya. Terdahulu, dalam prosiding sama, Ben Si Shen, 26, didenda RM6,500 atau penjara enam bulan jika gagal bayar serta lesen perlu ditulis selepas mengaku bersalah melanggar Perodua Viva sehingga menyebabkan kemalangan berlaku sebelum Ong datang membantu pasangan suami isteri itu.


Mengikut pertuduhan, ejen insuran itu didakwa memandu Toyota Vios bernombor pendaftaran WNU608 sehingga menyebabkan kemalangan terhadap Perodua Viva yang dipandu pasangan suami isteri berkenaan pada waktu dan hari sama.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Fauziah Hanim Abuhan.

Sementara itu, waris mangsa, Ong Kah Hui, 27, berkata, dia dan keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Khoo atas kematian bapanya disebabkan kemalangan itu.


"Saya akan berbincang dengan peguam untuk memfailkan saman kerana pengajaran perlu diberikan untuk dia (Khoo) lebih bertanggungjawab selepas ini" katanya. Harian Metro 14 April lalu melaporkan keprihatinan seorang lelaki menyelamatkan sepasang suami isteri yang tersepit selepas kemalangan bertukar tragedi apabila dia kehilangan kaki kanan daripada paras paha akibat dilanggar sebuah kereta lain. Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Ong, dilanggar daripada belakang ketika berusaha mengeluarkan Zainal dari Perodua Viva yang dipandunya. Bagaimanapun, Ong yang mengalami kecederaan teruk di kedua-dua belah kakinya meninggal dunia jam 12.15 tengah malam, 22 April lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan