Isnin, 2 Mei 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Lubuk Yu sepi

Posted: 01 May 2011 02:47 PM PDT

Wilayah

Vandalisme, tandas, bilik persalinan kotor jejas kawasan rekreasi

BANDAR JENGKA: Lengang dan terbiar. Gambaran terkini kawasan rekreasi Lubuk Yu, sejak dibuka semula November lalu selepas ditutup lima bulan bermula Julai, akibat jangkitan bakteria melioidosis dan leptospirosis sehingga mengakibatkan lapan kematian.

Jika sebelum ini, kawasan itu menjadi tumpuan utama lokasi perkelahan penduduk tempatan termasuk dari daerah lain tetapi ia semakin kurang dikunjungi walaupun kerajaan negeri sudah mengesahkan bahawa tempat itu selamat dan tiada pencemaran air.

Kawasan berhampiran FELDA Ulu Jempol, pernah dikunjungi lebih 1,000 orang sebulan kerana keindahan alam. Bagaimanapun, sejak berlaku kejadian berkenaan, keindahan alam semula jadinya gagal menarik minat pengunjung yang mengambil sikap berhati-hati dan bimbang kehadiran bakteria itu walaupun Jabatan Kesihatan daerah sudah mengesahkan kawasan itu selamat.

Tinjauan Edisi Wilayah mendapati, pengunjung yang datang ke situ kurang 20 orang pada hujung minggu dan cuti umum, manakala pembangunan prasarana yang disediakan pula semakin terbiar.

Tinjauan juga mendapati terdapat beberapa kemudahan tempat duduk sudah rosak akibat perbuatan vandalisme dan mendatangkan beban kepada pihak berkuasa tempatan untuk membaik pulih pada masa akan datang.

Pengunjung, Ismail Md Resat, 62, ketika ditemui berkata, beliau sedih dan terkilan dengan keadaan terkini kawasan rekreasi yang suatu ketika dulu menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk beriadah bersama ahli keluarga masing-masing. "Jalan masuk ke kawasan pusat rekreasi ini juga rosak dan sempit dengan keadaan persekitaran yang tidak diselenggara dengan baik.

"Rugi jika kawasan rekreasi ini dibiarkan saja tanpa dilakukan usaha untuk mengembalikan semula oleh pihak berkaitan," katanya.

Beliau menyarankan supaya pihak berkuasa tempatan mengambil pelbagai langkah drastik untuk menarik minat orang ramai datang ke situ.

"Ini termasuk membaiki keadaan jalannya yang berlopak dan berlubang memandangkan kawasan berkenaan pernah menjadi tumpuan penduduk tempatan dan dari negeri lain.

"Saya yakin jika jalan berkenaan diperbaiki maka lebih ramai pengunjung datang ke pusat rekreasi berkenaan," katanya dan memaklumkan bahawa dua gerai menjual makanan turut ditutup di situ menyebabkan mereka terpaksa membawa makanan sendiri.

Pengunjung, Ramlah Joned, berkata kawasan rekreasi boleh popular semula sekiranya kemudahan prasarana dibaiki.

Katanya, kemudahan seperti tandas dan bilik persalinan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan pengunjung bimbang untuk menggunakan kemudahan itu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Limpahan banjir lumpur

Posted: 01 May 2011 02:46 PM PDT

Wilayah

Longkang tersumbat didakwa akibat kerja ambil tanah

RAWANG: Penduduk Kampung Sungai Choh Stesen dekat sini merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu mereka menyelesaikan masalah banjir kilat yang didakwa akibat saluran longkang tersumbat sejak tiga bulan lalu.

Keadaan itu juga menyebabkan penduduk terutama di kalangan peniaga sukar menjalankan perniagaan harian kerana kawasan sekitar premis mereka dipenuhi air lumpur yang mengalir akibat kerja pengambilan tanah di kawasan bukit berhampiran.

Lebih buruk lagi, masalah itu berlaku di tanah milik persendirian yang tidak menyediakan sistem perparitan yang menyebabkan peniaga menanggung kerugian apabila pelbagai peralatan di kedai mereka rosak. Peniaga, Faridah Abu Bakar, 54, berkata, berlaku kerja pengambilan tanah yang dilakukan kontraktor binaan di kawasan bukit iaitu kira-kira 100 meter dari premis mereka.

"Sudah lebih tiga bulan kerja itu dilakukan dan kontraktor bertanggungjawab tidak menyediakan sistem perparitan yang betul bagi memastikan air lumpur daripada kawasan pengambilan tanah tersebut tidak mengalir keluar apabila hujan," katanya ketika ditemui Sentral di sini semalam.

Faridah berkata, keadaan itu bukan saja menyusahkan peniaga, malah pengguna jalan kerana terpaksa mengharungi air lumpur yang mengalir ke jalan sebelum memasuki kawasan premis mereka yang terletak di bawah.

Beliau berkata, ada juga kenderaan rosak dan tersadai di tepi jalan selepas melalui kawasan berlumpur.
"Perabot dan peralatan perniagaan rosak dan segala kerugian terpaksa ditanggung peniaga.

"Keadaan yang semakin teruk itu memaksa beberapa peniaga kedai makan dan bengkel kereta terpaksa memunggah peralatan, termasuk meja dan kerusi kerana tanah serta lumpur memasuki kedai," katanya.

Beliau berkata, peniaga pernah mengajukan perkara itu kepada pihak berwajib, namun keadaannya tetap sama.

Penduduk, Sazali Malik, 36, berkata, mereka sentiasa bimbang ketika hujan melanda kawasan itu setiap hari dan merayu pihak berwajib menyelesaikan masalah segera.

"Kami tidak sanggup berdepan masalah ini. Bantulah kami segera agar dapat hidup selesa," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika dihubungi Sentral, berkata, pihaknya belum menerima aduan daripada peniaga terbabit.

Justeru, beliau menasihatkan peniaga supaya membuat laporan dan aduan bertulis kepada pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan tindakan diambil.

"Kami belum menerima aduan rasmi daripada peniaga terbabit, namun pemantauan dilakukan di kawasan itu sebelum ini dan tindakan awal sudah diambil.

"Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) menghentikan seketika kerja pengambilan tanah di kawasan terbabit dan tindakan susulan bakal diambil berdasarkan aduan penduduk," katanya.

Nor Hisham berkata, kerja pengambilan tanah itu membabitkan kawasan milik persendirian dan kontraktor diingatkan supaya melakukan pengambilan tanah mengikut syarat dan menyediakan sistem perairan yang betul.

Beliau berkata, peniaga juga perlu mengemukakan aduan tersebut kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana keadaan berkenaan membabitkan jalan dan premis perniagaan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan