Isnin, 21 Mac 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Abadi koleksi antik di rumah tradisional Melayu

Posted:

Abadi koleksi antik di rumah tradisional Melayu

Abadi koleksi antik di rumah tradisional Melayu

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


YONG Kein Sun menunjukkan galeri antik miliknya yang
di bina di Tanah Liat Pulau Pinang. - utusan/ Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 20 Mac - Bermula sekadar hobi dengan mengumpul wang kertas dan duit syiling lama, Yong Kein Sun, 50, mula tertarik dengan barangan antik.

Namun, apabila koleksi wang kertas dan duit syiling yang disimpan sejak berusia 20-an dicuri, dia mula berubah kepada barangan yang lebih besar dan sukar untuk dicuri.

Bermula detik itulah, Kein Sun mula mengumpul barangan seperti mesin taip, pemain piring hitam, seterika arang, telefon, radio dan banyak lagi.

Selain itu, minatnya juga mula bercambah kepada seni ukiran kayu dan akar-akar kayu yang berbentuk unik yang mampu diubah menjadi perabot seperti kerusi dan meja.

Menyedari rumahnya di Berapit dekat sini tidak lagi mampu menampung koleksinya, Kein Sun membeli sebidang tanah di Tanah Liat dekat sini dan membina sebuah rumah kayu yang akan dijadikan galeri barangan antik miliknya.

Tanah seluas 1,594 meter persegi itu dipenuhi pokok manggis yang akhirnya terpaksa ditebang dan Kein Sun bagi memanfaatkan batang manggis itu menjadi tangga rumah serta kerusi dan meja.

Istimewanya, rumah yang dibina pada 2008 dan siap sepenuhnya pada 2009 itu tidak menggunakan paku dan dibina bercirikan rumah Melayu.

Menurut Kein Sun, binaan rumah itu amat istimewa baginya kerana memenuhi minatnya yang mendalam kepada barangan antik serta seni ukiran kayu.

"Itulah sebabnya saya cuba menampilkan ciri-ciri tradisional Melayu di rumah ini melalui ukiran tingkap, hiasan dinding serta binaan bumbungnya.

"Malah, saya gunakan batang manggis yang ditebang di kawasan tanah ini sebagai tangga selain dibina tidak menggunakan paku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di galeri itu, baru-baru ini.

Kayu untuk membina rumah itu juga diperolehi daripada tiga buah rumah lama yang dibeli dengan harga RM10,000 sebelum dibaik pulih.

Keunikan binaan rumah itu juga membuatkan ia menjadi pilihan kepada pasangan pengantin baru untuk mengabadikan kenangan mereka sebagai raja sehari serta lokasi peminat fotografi.

Menyentuh mengenai koleksi barangan antiknya, Kein Sun berkata, dia mendapatkan barang-barang itu daripada rakan-rakan yang mengetahui tentang minatnya itu.

Selain itu, dia juga mendapatkan beberapa barangan seperti radio dan pemain piring hitam daripada galeri barangan antik di negara jiran, Indonesia.

"Semua radio dan pemain piring hitam yang ada masih berfungsi dengan baik dan ada kalanya saya mengisi masa terluang dengan mendengar lagu daripada piring hitam.

"Saya rasakan satu kepuasan apabila dapat menghayati lagu yang dimainkan serta meneliti setiap koleksi barangan antik yang disimpan di galeri ini," ujar bapa kepada lima cahayamata itu.

Ditanya koleksi yang paling disayanginya, Kein Sun berkata, beberapa barangan seperti mesin taip 1914, pemain piring hitam 1920-an serta motosikal jenis BSA 1941 menjadi pilihan.

Ini kerana ujarnya, koleksi itu agak sukar diperolehi kini malah, ia juga sering menjadi rebutan pengumpul barangan antik.

Koleksi barangan antik di galeri itu juga ujarnya, harus dipelihara dengan baik kerana inilah warisan yang ditinggalkan kepada anak cucu pada masa depan.

Atas sebab itulah, dia tidak mengenakan bayaran kepada pengunjung ke galeri itu malah, amat menggalakkan pelajar sekolah untuk hadir ke galeri tersebut.

"Rumah ini adalah galeri seni kayu dan barangan antik saya manakala sebuah kedai di Lebuh Campbell dekat George Town adalah pusat jualan barangan antik.

"Galeri ini juga umpama sebuah muzium bagi saya dan oleh sebab itu, saya abadikan nama BM Muzium di sini apabila mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) nanti," katanya.

Mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 012-4849999 atau layari http://artwoodantique.com.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kerajaan Pulau Pinang diselar

Posted:

Kerajaan Pulau Pinang diselar

Kerajaan Pulau Pinang diselar

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 20 Mac – Kerajaan DAP Pulau Pinang sekali lagi diselar kerana didakwa cuba meminggirkan orang Melayu di kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Nibong Tebal dengan mengecualikan mereka daripada menerima liputan wifi percuma.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, tindakan itu seolah-olah menafikan hak serta menindas orang Melayu di kawasan terbabit daripada mendapat manfaat teknologi menerusi liputan wifi.

"Dahulu kerajaan DAP di negeri itu mencanangkan yang mereka adalah kerajaan untuk rakyat dan prihatin dengan nasib rakyat. Tapi kenapa kawasan terbabit dinafikan hak mendapat liputan wifi dengan alasan mereka dipimpin oleh Ahli Parlimen yang tidak menyokong pakatan pembangkang.

"Orang Melayu sudah banyak dipinggirkan sama ada dalam isu perumahan atau perniagaan apabila gerai mereka dirobohkan dan kini dengan kemudahan wifi pula," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, di sini semalam.

Azhar mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Telekomunikasi Pulau Pinang, Jeff Ooi dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang kerajaan DAP Pulau Pinang akan mengecualikan tiga kawasan Parlimen daripada menerima liputan wi-fi.

Ini kerana Parlimen Kepala Batas diwakili bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sementara itu, Tan Tee Beng yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu dan menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Jelas Azhar, kerajaan DAP Pulau Pinang patut sedar banyak pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Pusat di negeri ini untuk dinikmati oleh rakyat biarpun Pulau Pinang diperintah pembangkang.

"Beberapa projek seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta naik taraf Keretapi Bukit Bendera dijalankan kerajaan Pusat.

"Apa rasa orang Pulau Pinang kalau kerajaan Pusat ambil tindakan serupa untuk pinggirkan mereka kerana tak sokong kerajaan Barisan Nasional," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

25 majikan tidak mencarum pekerja dikompaun Perkeso

Posted:

25 majikan tidak mencarum pekerja dikompaun Perkeso

25 majikan tidak mencarum pekerja dikompaun Perkeso


PENGURUS Besar Kanan Bahagian Operasi Perkeso, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (tengah) bersama pegawai Perkeso Pulau Pinang mengkompaun 25 majikan yang tidak berdaftar dan mencarum pekerjanya dengan Perkeso di Balai Batu Feringghi, kelmarin.


PULAU PINANG 20 Mac - Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang mengenakan kompaun terhadap 25 majikan di negeri ini kerana tidak berdaftar dan mencarum pekerjanya dengan Perkeso dalam operasi yang dilakukannya kelmarin.

Mereka merupakan sebahagian daripada 127 pemilik syarikat dan perusahaan di sekitar Pulau Pinang yang dilawati 60 anggota Perkeso negeri dalam Ops Senja dan Malam yang dijalankan kira-kira pukul 5.30 petang dengan kerjasama anggota polis di Balai Batu Feringghi.

Pengarah Perkeso negeri, Noorhanita Mohamad berkata, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kesemua premis makanan, cenderamata dan pusat hiburan yang terletak di Jalan Fettes dan Batu Feringghi itu, hanya dua pemilik kedai bertindak memberhentikan operasi perniagaan mereka.

Difahamkan, tindakan mengunci pintu dari arah luar termasuk mematikan suis lampu di keseluruhan kedai secara serta-merta yang dilakukan itu bertujuan menghalang kedatangan anggota Perkeso memasuki ke premis terbabit.

''Operasi yang dijalankan itu bertujuan mengesan mana-mana majikan yang masih ingkar mencarum pekerja mereka di Perkeso.

''Kompaun tidak lebih RM1,000 dikeluarkan terhadap majikan yang gagal mencarumkan setiap pekerjanya dan sekiranya masih gagal, tindakan mahkamah akan dikenakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya memberi masa kepada 25 pemilik premis itu untuk menyelesaikan semua caruman pekerjanya dan diskaun 75 peratus diberikan kepada mereka yang datang kurang dalam tempoh seminggu.

''Malah, tindakan yang diambil bukanlah untuk membebankan mereka tetapi supaya memastikan kebajikan pekerja yang bekerja pada waktu malam itu mempunyai perlindungan keselamatan sosial," katanya.

Sementara itu, Noorhanita memberitahu, hasil lawatan yang dilakukan ke atas 354 majikan di negeri sehingga 17 Mac lalu mendapati hanya 22 peratus sahaja yang gagal mendaftar dan mencarum pekerjanya.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 71 kompaun dikeluarkan sepanjang Ops Kesan yang dijalankan pada tahun ini dengan nilai kompaun yang diperoleh sebanyak RM46,000.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan