The Malaysian Insider :: Bahasa |
Poco-poco: Pusat juga perlu transform agensi agama, kata Mufti Perlis Posted: 31 Mar 2011 12:45 AM PDT KUALA LUMPUR, 31 Mac — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata kerajaan tidak sepatutnya hanya mengadakan transformasi ekonomi dan politik, sebaliknya perlu juga mengadakan pembaharuan ke atas agensi-agensi agama agar tidak timbul kecelaruan dalam soal menggubal faktwa dan hukum. Beliau memberikan pendirian tegas ini ketika muncul polemik berhubung keputusan mengharamkan tarian poco-poco di negeri Perak. Negeri-negeri lain belum membuat pendirian masing-masing. "Kerajaan tidak sepatutnya hanya transform ekonomi politik. Golongan agama seperti Islam dan lain-lain juga patut transform ke arah Malaysia yang lebih berjaya dan berdaya saing," kata beliau dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider hari ini. Sehubungan itu Juanda berkata, beliau juga khuatir dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa. "Akibat fatwa poco-poco, habislah semua yang macam ada kaitan dengan agama lain akan haram selepas ini. "Pulut kuning macam Hindu, kungfu macam Tao, huruf 'T' macam Kristian, bintang macam Yahudi, pasang api macam majusi, pesta air macam Buddha Thailand dan lain-lain lagi," katanya sambil menambah, suasana makin bercelaru akibat tidak jelas metodologi "buat hukum dan fatwa." "Kerajaan Malaysia perlu transformasi agensi agama agar tidak timbul kecelaruan yang jejaskan imej Islam dan kerajaan yang ada yang menjulang tinggi Islam di Malaysia," katanya. Dalam kenyataan pagi tadi, bekas mufti Perlis Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam. Oleh itu kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. "Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini. Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian atau pergerakan badan dan kepercayaan umat Islam yang bertentangan dengan akidah. Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Polis Ampang arah Anwar bantu siasatan Posted: 31 Mar 2011 12:28 AM PDT KUALA LUMPUR, 31 Mac — Polis telah mengarahkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya hadir di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya berhubung kekecohan ketika majlis pelancaran DNA di pusat khidmat Ahli Parlimen Gombak, Jumaat lalu. Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah itu dikemukakan semalam. Anwar semalam berada di Sarawak sempena kempen tidak formal menjelang pilihan raya negeri. Notis tersebut mengarahkan beliau untuk hadir di ibu pejabat polis Ampang Jaya bagi disoal siasat berkaitan ceramah yang beliau sampaikan. Semalam, tiga pemimpin kanan PKR memberikan kenyataan mereka termasuk timbalan presidennya Azmin Ali. Bagaimanapun peguam PKR menyifatkan pihak polis secara salah telah mengacau ganggu ceramah sebaik saja Anwar memulakan ceramah, melakukan tangkapan tidak sah dan mengasari Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak. Dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini, N Surendran berkata, siasatan ke atas Anwar kali ini adalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967. Surendran berkata, kedua-dua akta itu "zalim dan bercanggah dengan perlembagaan", lazimnya diguna pakai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghalang kebebasan bersuara dan berhimpun. "Kami memerhatikan BN secara terus menerus bertindak di luar batas moral dan undang-undang untuk merendahtarafkan keluhuran undang-undang dan menjadikan negara ini sebagai negara polis," katanya lagi. Kata beliau, jelas terbukti BN sedang bersedia untuk menggunakan apa jua kaedah-kaedah yang jelek dan berniat jahat untuk mengukuhkan cengkaman mereka ke atas negara untuk kekal berkuasa. "Dalam sistem demokrasi berparlimen, adalah merupakan satu hak yang sah dalam konteks perlembagaan mengenai peranan Ketua Pembangkang untuk membuat kritikan dan menyediakan peranan 'semak dan imbang' ke atas semua tindakan dan dasar kerajaan. "Menyalah guna dan memanipulasi kuasa untuk menyasar, mencabul dan menakuti Ketua Pembangkang lebih bersifat satu bentuk serangan ke atas sistem demokrasi kita," katanya lagi. Tambah beliau siasatan terbaru ke atas Anwar ini jelas bermotifkan politik, berniat jahat dan satu bentuk penyelewengan kuasa polis yang terang dan jelas. "Kami mendesak agar siasatan tidak berasas ini dihentikan pada kadar segera dan semua yang bertanggungjawab menginstitusikan penyelewengan ini dihadapkan ke muka pengadilan, tanpa mengira setinggi mana kedudukan ataupun kuasa mereka. "Kami juga mendesak agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bertujuan untuk menyiasat penyalahgunaan dan penyelewengan Barisan Nasional atas pihak polis dan kuasa pendakwaan dalam menyerang, memalukan, menjatuhkan hukuman dan memenjarakan politisi pembangkang, aktiviti masyarakat, dan pihak-pihak yang kritis ke atas pemerintah," kata Surendran yang juga Naib Presiden PKR. Semalam, selain Azmin dua lagi Adun Pakatan Rakyat Selangor yang memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung ceramah haram di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak di Taman Melawati ialah Adun Batu Caves Amirudin Shari dan Saari Sungib dari Hulu Kelang. Azmin, yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, pegawai polis yang merakamkan percakapannya mengajukan 18 soalan yang dianggap ada kaitan dengan ceramah itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan