Utusan Online - Mahkamah |
Tiada bukti Beng Hock dibunuh – Vanezis Posted: Tiada bukti Beng Hock dibunuh – VanezisOleh NOOR AZMAH IBRAHIM KUALA LUMPUR 29 Mac – Kemungkinan lehernya dipaut sehingga pengsan, diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dicampak melalui tingkap – antara teori yang dikemukakan wakil Majlis Peguam berhubung kematian Teoh Beng Hock. Peguam Christopher Leong seterusnya berteori yang Setiausaha Politik Exco Selangor itu mungkin hanya tersedar ketika badannya sedang melayang dan bertindak menahan diri serta mendarat dengan kaki dahulu sebelum menemui ajal dan mayatnya ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009. Teori-teori itu dicadangkan kepada Suruhanjaya Siasatan Kematian Beng Hock yang bersidang hari ini berdasarkan kesan kecederaan pada bahagian leher, dada dan bahagian bawah badan sebagaimana laporan bedah siasat serta gambar-gambar yang dikemukakan sebagai bukti. Pakar patologi forensik dari Britain, Dr. Peter Vanezis (gambar) yang turut hadir semasa bedah siasat kedua bagaimanapun menyifatkan kesemua teori itu sebagai sangat tidak mungkin atau hampir mustahil. Beliau berhujah alasan teori itu tidak disokong oleh bukti-bukti seperti bintik merah di dalam mata akibat lemas selain kecederaan pada tulang dada akibat tekanan CPR, sebaliknya ia disebabkan impak semasa jatuh dari tempat tinggi. "Teori awak teramat tidak mungkin. Bukan mudah untuk percaya Beng Hock telah dicekik sehingga pengsan serta menyebabkan pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) melakukan CPR. Teori itu agak keterlaluan dan sangat tidak mungkin,'' tegas beliau. Sebagaimana keterangan beliau dalam prosiding inkues, Vanezis hari ini mempertahankan pendapat bahawa Beng Hock dalam keadaan sedar semasa jatuh dan menemui ajal akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi. Katanya, hampir tiada sebarang kecederaan sebelum jatuh ditemui pada badan Beng Hock berdasarkan penelitian terhadap kecederaan secara keseluruhan dengan mengambil kira segala kemungkinan. "Seseorang yang sedar akan meninggalkan kesan pada tingkap akibat tindakan melawan jika ditolak keluar. Kesan lebam juga menunjukkan masih ada peredaran darah dalam badan semasa impak. Jika Beng Hock dipukul sebelum jatuh, pasti akan terdapat lebih banyak darah,'' katanya. Terdahulu, bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim memaklumkan, berdasarkan Pekeliling Am Sulit Bilangan 1/84 yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, pihaknya tidak perlu mengeluarkan notis perintah bagi mendapatkan kerjasama untuk siasatan membabitkan jabatan kerajaan. Bagaimanapun, jelas Hishamuddin yang kini Pengarah SPRM Negeri Sembilan, pegawai SPRM memerlukan kebenaran Timbalan Pendakwa Raya atau Penolong Kanan Pesuruhjaya sekiranya siasatan melibatkan badan korporat. Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan