Isnin, 28 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kawan karib kebas RM20,000

Posted: 27 Mar 2011 10:05 AM PDT

SHAH ALAM: Impian seorang peniaga kedai telefon untuk memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Caldina musnah apabila jurujual kereta yang juga rakan baiknya melarikan wang pendahuluan RM20,000.

Difahamkan, suspek turut menipu rakan lain hingga mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sebelum melarikan diri bersama wang mangsa.


Mangsa, Megat Khairul Afiq Ramli, 22, berkata dia tertarik pakej yang ditawarkan rakannya itu pada April tahun lalu kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai lain selain memberi tempoh singkat untuk mendapat kereta.

Katanya, harga MPV Toyota Caldina baru yang ditawarkan rakannya itu RM30,000 berbanding tempat lain melebihi RM100,000.


"Dia begitu meyakinkan apabila mendakwa harga itu termasuk cukai import. Saya tidak mempunyai perasaan syak wasangka dan mengeluarkan wang simpanan demi memenuhi impian.


"Saya menyerahkan wang berkenaan selepas yakin dengannya yang bersungguh-sungguh mahu menguruskan pembelian kereta dalam dua bulan," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, janji tinggal janji apabila kereta yang ditunggu tiada, malah rakannya melarikan diri bersama wang miliknya.


Megat Khairul berkata, rakannya yang berusia 25 tahun itu turut menukar nombor telefon hingga usaha menjejakinya gagal.

"Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 25 Mac lalu.


"Saya mahu dia mengembalikan wang kami atau berdepan tindakan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Satu lori TV LCD hilang

Posted: 27 Mar 2011 10:02 AM PDT

PETALING JAYA: Empat lelaki melarikan sebuah lori sarat dengan televisyen LCD dianggarkan bernilai RM200,000 di Kampung Baru Subang, dekat sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, semua suspek menyamar pemandu dan penumpang teksi sebelum menahan lori terbabit.


Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu lori bersama kelindannya yang datang dari Subang Jaya membawa 70 televisyen LCD itu dihalang sebuah teksi.

"Pemandu lori itu yang terkejut memberhentikan kenderaannya. Dua penyamun terbabit keluar dari teksi dan mengacukan pistol ke arah pemandu dan kelindannya serta mengarahkan mereka keluar dari lori," katanya.


Sumber berkata, penyamun terbabit mengikat mata mangsa sebelum membawa mereka masuk ke dalam teksi.


"Selepas itu, suspek membawa lari lori terbabit manakala mangsa dibawa menaiki teksi ke Kampung Baru Sungai Buloh sebelum meninggalkan mereka berdua di tepi jalan.

"Penyamun terbabit melarikan diri meninggalkan mangsa dalam keadaan terpinga-pinga. Mereka berdua kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan kejadian itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan