Utusan Online - Selatan |
Posted: Uniknya Masjid Kampung HuluOleh AMRAN MULUP
MELAKA 28 Mac - Melaka cukup dikenali sebagai negeri yang mempunyai banyak peninggalan warisan sejarah yang mesti dipertahankan dan dipulihara untuk rujukan generasi sekarang dan akan datang, selain menjadi tarikan pelancongan ke negeri ini. Di negeri ini, tersimpan pelbagai cerita sejarah, peninggalan dan warisan yang menjadikan negeri ini sebagai pusat rujukan seni dan sastera Melayu moden negara selain pusat pelancongan terkenal terutama bagi mereka yang ingin melihat pelbagai kesan sejarah sejak zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris. Dengan kata lain, mereka yang berkunjung ke 'negeri Hang Tuah' ini memang terasa akan suasana bersejarah terutamanya apabila melihat bangunan dan rumah lama serta landskap di sekitar Banda Hilir. Kota A'Famosa, Bastion House, bangunan merah peninggalan penjajah seperti Stadhuys, turut menjadi perhatian ialah 44 rumah tradisonal yang dikenal pasti sebagai warisan sejarah negeri, lebih 300 masjid lama yang masih kukuh serta pelbagai artifak sejarah yang kebanyakannya tersimpan di muzium-muzium. Salah satu yang berjaya mencuri perhatian pelancong daripada seluruh dunia ialah masjid-masjid lama dan bersejarah ada di antaranya berusia lebih 100 tahun. Terdapat kira-kira 54 buah masjid lama yang dibina pada zaman penjajahan, menjadi perhatian kerana ia mempunyai seni bina yang begitu indah, klasik dan masih kukuh hingga hari ini. Bagi memastikan masjid-masjid ini terus kekal menjadi perhatian pelancong, kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk mewartakannya sebagai bangunan warisan sejarah. Salah satu masjid yang sering diperkatakan ialah Masjid Kampung Hulu di Banda Hilir. Masjid Kampung Hulu adalah kedua tertua di negeri ini selepas masjid Peringgit. Berusia kira-kira 300 tahun apabila ia mula dibina pada 1728 Masihi. Masjid ini dipercayai dibina oleh Datuk Arom atau Harun iaitu seorang pendatang dari China yang memeluk Islam. Masjid ini juga dipercayai dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan telah diubah suai dengan binaan batu konkrit pada 1892. Selain daripada keunikan reka bentuknya, masjid ini menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara kerana mengambil air kolahnya bagi dijadikan penawar penyakit yang tidak dapat dirawati doktor perubatan. Hampir setiap hari ada sahaja orang ramai yang berkunjung ke masjid ini sama ada membawa botol kecil atau besar untuk mengambil air daripada kolah tersebut. Biarpun sudah menjangkau usia yang agak panjang namun struktur masjid ini yang boleh memuatkan 270 jemaah pada satu-satu masa dilihat masih utuh. Difahamkan beberapa pengubahsuaian terhadap masjid ini dengan mengekalkan struktur asal apabila atap nipah yang digunakan pada awal pembukaannya telah ditukar dengan atap genting. Menjejakkan kaki buat pertama kali ke masjid ini sudah pasti anda akan terpegun dengan ukiran dan ciri-ciri seni binanya yang menggabungkan ukiran daripada China dan Aceh. Ini dapat dilihat pada kubahnya yang memiliki gaya seperti Pagoda dan tiang-tiang bulat pula datang dari China. Kelainan seni bina masjid lama di negeri ini jika dibandingkan dengan masjid di negeri-negeri lain adalah terletak pada tiga lapisan bumbungnya yang diperbuat daripada tanah liat dan sebuah menara batu yang berbentuk seperti kubu, namun sebenarnya berfungsi sebagai tempat laungan azan. Masjid ini juga mempunyai empat tiang seri yang menjadi pendokong kepada bumbung dan lantai masjid. Berdasarkan kajian oleh beberapa penyelidik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), masyarakat Melayu di negeri ini suatu masa dahulu mempunyai kepercayaan tersendiri iaitu setiap lapisan bumbung masjid di negeri ini mempunyai maksud tertentu dan mempunyai hubungan antara satu sama lain. Dalam pada itu, bahan binaan pada bahagian dinding masjid juga dipercayai diperbuat daripada campuran putih telur dan pasir serta batu granit. Pada pintu depannya pula terdapat sebuah gendang lama serta dua buah meriam lama terletak berhampiran kaki tangga memasuki masjid tersebut. Mimbarnya masih mengekalkan bentuk yang lama dan dapat dilihat struktur binaan yang agak lama tetapi masih mampu bertahan. Di luar kawasan masjid ini terdapat makam Habib Abdullah Abu Bakar Al-Hadar, seorang pendakwah dari Yemen dan makam tersebut dipercayai berusia lebih 100 tahun. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Tidak perlu lakukan pengubahsuaian Posted: Tidak perlu lakukan pengubahsuaian
MELAKA 28 Mac - Masjid Kampung Hulu yang kedua tertua di negeri ini wajar dikekalkan struktur binaannya tanpa perlu lagi sebarang pengubahsuaian. Imamnya, Ahyeat Alias, 54, berkata, struktur masjid itu perlu dikekalkan kerana ia sudah berusia kira-kira 300 tahun dan ciri-ciri seni bina yang terdapat di dalamnya dilihat masih utuh. Menurutnya, sejak masjid itu mula dibina pada 1728 ia menjadi kebanggaan orang Melayu di negeri ini kerana selain keunikan seni reka bentuknya, masjid ini mempunyai pelbagai cerita menarik yang tidak dapat dibukukan. "Siapa sahaja yang dapat melakukan solat di masjid ini sudah tentu terpegun dengan seni ukiran lama yang dilihat masih utuh, kuat dan menarik. "Saya amat berharap walaupun berlaku arus pembangunan di sekitar kawasan ini, masjid ini kalau boleh, biarlah ia seperti pada kedudukan asal," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Ahyeat menambah, selain keunikan yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara, masjid ini juga mempunyai kelebihan tersendiri. Katanya, air kolah yang digunakan untuk mengambil wuduk pula boleh dijadikan sebagai penyembuh beberapa penyakit yang tidak dapat diubati oleh perubatan moden. "Perkara ini sudah terbukti apabila orang ramai yang datang dari Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak dan sebagainya datang ke masjid ini kerana ingin mengambil air kolah untuk dijadikan penyembuh penyakit," katanya. | ||
Posted: Pelaburan ke NS meningkatOleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
TELUK KEMANG 28 Mac - Jumlah pelaburan baru ke negeri ini dijangka terus meningkat berbanding tahun lalu berdasarkan keadaan ekonomi negara yang terus stabil dan berkembang ketika ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, dengan mencatatkan jumlah pelaburan baru sebanyak RM5.2 bilion pada tahun lalu, angka itu dijangka terus bertambah dengan keupayaan kerajaan negeri menawarkan prospek yang lebih menarik kepada pelabur. Jelasnya, tumpuan kerajaan negeri kini akan lebih terarah kepada menarik lebih ramai pelabur baru yang melibatkan empat sektor meliputi teknologi hijau, pelancongan, kesihatan dan pendidikan. "Sebelum ini kita hanya tertumpu kepada sektor perkilangan dan kerajaan negeri sedar bahawa kebergantungan terhadap satu sektor sahaja tidak menjamin kepesatan ekonomi negeri. "Oleh itu banyak usaha telah kita lakukan dan setakat ini kita berjaya melepasi sasaran pelaburan yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 bilion bagi setiap negeri," katanya. Mohamad berkata demikian selepas majlis perasmian dan upacara pecah tanah Projek Hijau di Bangunan Utama Shell Refining Company (FOM) Berhad, Port Dickson dekat sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Shell, Mohd. Anuar Taib dan Pengarah Urusan Shell Refining Company, Rozano Saad. Bagaimanapun kata Mohamad, kerajaan negeri cukup berhati-hati dalam menerima sebarang bentuk pelaburan, oleh itu syarat yang dikenakan kepada pelabur baru amat ketat sebelum diluluskan. Katanya, ia bagi menjamin keselamatan orang ramai selain melindungi alam sekitar. "Oleh itu kita menggalakkan pelaburan baru seperti teknologi hijau dalam sektor perkhidmatan, pelancongan dan kesihatan kerana kita yakin ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan