Isnin, 28 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Alkitab: NGO Islam gesa kumpulan Kristian mohon maaf

Posted: 28 Mar 2011 12:37 AM PDT

Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), yang dianggotai 19 badan bukan kerajaan, menuntut kumpulan masyarakat Kristian supaya memohon maaf kepada umat Islam ekoran pelbagai kenyataan dalam isu kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang sebahagiannya didakwa telah menggores umat Islam.

Selain itu, Pembela juga berpendapat bahawa kumpulan 35,100 Alkitab tidak patut dibenarkan untuk edaran kerana bercanggah dengan undang-undang negara ini.

Minggu lalu kerajaan membolehkan pelepasan naskhah Alkitab yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching tanpa dikenakan dua syarat iaitu tag dan nombor bersiri.

Sebaliknya ia akan dikeluarkan dengan dicap "Untuk Kristian" sahaja.

"Keputusan awal kerajaan sudah merupakan satu kompromi yang sebenarnya sudah melampaui peruntukan-peruntukan ini.

"Oleh itu, sikap keras dan degil pihak Kristian terhadap keputusan awal kerajaan ini adalah sangat mendukacitakan," kata Pembela dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Pembela berkata, lebih-lebih lagi jika diambil kira kitab al-Quran sendiri dikawal cetakan dan sebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri, mendakwa prosedur biasa itu sebagai satu kesalahan besar yang mencemar kesucian Kristian dan Alkitab adalah satu tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan itu, Pembela juga menyeru agar kumpulan-kumpulan Kristian menghentikan pendekatan konfrontasi, sebaliknya menggunakan saluran perbincangan yang ada seperti Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama yang ditubuhkan oleh kerajaan.

"Kami menegaskan, jikalau mereka berterusan hendak mengambil pendekatan konfrontasi dan garis keras, kami mungkin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatankuasa  tersebut," kata Pembela dalam kenyataan di bawah tajuk "mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia dalam menangani isu kitab Injil Bahasa Melayu."

Pembela berkata, kenyataan ini dibuat memandangkan sikap kumpulan-kumpulan Kristian akhir-akhir ini yang terlalu provokatif dan melampau-lampau dalam menangani isu kitab Injil dalam Bahasa Malaysia.

Gabungan Pembela terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia, Gerak Massa Malaysia, Ikatan Badan Amal Islami Wilayah Persekutuan, Ikatan Muslimin Malaysia, Institut Pengajian Tradisional Islam, Persatuan Muslimat Interaktif, Institut Islam dan Pengajian Strategik, Kesatuan Pondok Islamiah Malaysia, Persatuan al-Hunafa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Al-Hidayah, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia, Pusat Penyelidikan dan Maklumat Islam, Teras Pengupayaan Melayu, Yayasan Kubra dan Yayasan Sofa.

Pembela berkata, pihaknya menegaskan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti agar jangan sekali-kali menggadaikan kedaulatan Islam kerana tekanan sokongan politik.

"Kalaupun tunduk kepada tekanan politik boleh membawa hasil sementara tetapi dalam jangka panjang ia akan meruntuhkan paksi pembinaan negara bangsa dan turut merugikan semua pihak," katanya.

Pembela juga berkata pihaknya juga sangat tidak selesa dengan pendekatan membiarkan para pemimpin bukan Islam yang ke hadapan menjadi jurucakap bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam isu ini.

"Oleh kerana ianya melibatkan isu Islam, sepatutnya pemimpin beragama Islam lebih terkehadapan dalam menangani isu ini.

"Pemimpin bukan Islam nampaknya sering berlebih-lebihan dan kurang berhati-hati dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat," kata Pembela yang merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Kenyataan berkenaan pelepasan Alkitab dikeluarkan oleh Idris bagi pihak Kabinet.

Pembela berkata, pihaknya juga menegaskan pengundi majoriti di negara ini adalah umat Islam dan berdasarkan senario mutakhir ini, "kami memutuskan untuk menggerakkan kempen kesedaran di kalangan pengundi Islam di negara untuk menolak mana-mana pemimpin yang terlalu berkompromi dengan prinsip kedaulatan Islam di Malaysia."

"Untuk tujuan itu, kami akan memantau serius setiap kenyataan dan tindakan setiap tokoh politik dalam isu-isu seumpama ini," katanya lagi.

Pembela juga akan mengemukakan satu memorandum khas berkenaan isu ini kepada pihak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

Kata Pembela, pihaknya ingin mempersoalkan sampai ke tahap mana mereka hendak memprovokasi dan memanipulasi isu Alkitab dan adakah mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka ini amat menghiris perasaan umat Islam.

"Pembela menuntut agar kumpulan-kumpulan Kristian terbabit kembali menghormati persefahaman yang ada di kalangan penganut agama yang berdasarkan Perlembagaan negara, peruntukan undang-undang dan pelbagai keputusan-keputusan rasmi.

"Ini termasuklah Artikel 3(1), 11(4) dan enakmennya, Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu kalimah Allah, larangan Mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah selagi rayuan belum diputuskan, dan keputusan Kabinet 1986 tentang import masuk kitab Injil berbahasa Malaysia," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Azmin sindir polis keluar notis Seksyen 111 ‘lapan bulan’ lebih awal

Posted: 28 Mar 2011 12:27 AM PDT

Azmin

SHAH ALAM, 28 Mac — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyindir polis mengeluarkan notis "lapan bulan lebih awal" agar hadir di ibu pejabat polis Ampang untuk memberi keterangan berhubung kekecohan pada program parti yang dianjurkan di pusat khidmat masyarakatnya di Gombak, Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata selain tidak diberi alasan beliau dipanggil, pihak polis juga seolah-olah mengeluarkan notis secara terburu-buru dengan kesilapan tarikh.

Kata beliau, sedangkan notis itu dipercayai berkaitan dengan insiden Jumaat lalu — yang berakhir dengan kekecohan antara polis dan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi tarikh notis bulan tertera "26 November 2011."

"Notis yang diberikan kepada saya tidak menyebut alasan siasatan dan mereka lakukan ini secara terburu-buru.

"Notis di bawah Seksyen 111 telah digunakan terhadap saya lewat malam tadi yang bertarikh 26 November 2011, ini bermakna polis terlalu cekap yang mana mereka sediakan notis lapan bulan lebih awal," kata Azmin.

Beliau mengaitkan kedua-dua kes liwat membabitkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana prosedur yang dibuat tidak mengikut kronologi membuktikan tuduhan tersebut telah dirancang.

"Saya telah dimaklumkan terdapat tiga buah kereta, satu kereta peronda dan dua kereta persendirian datang ke rumah saya untuk memberikan notis kepada saya tapi selepas itu mereka tetap menunggu di hadapan rumah saya dan sekali lagi saya merasakan ini adalah satu bentuk gangguan dan ugutan terhadap anak dan keluarga saya. Sebaik sahaja menyerahkan notis kenapa anda mesti terus berada di hadapan rumah saya?

"Bila saya pulang kira-kira pukul 1 lebih (pagi tadi) mereka masih lagi berada di sekitar kawasan rumah saya dan untuk apa? Rakan saya dari Batu Caves dan juga Hulu Klang juga menerima notis pada pukul 2.30 pagi. Kenapa tidak serahkan notis itu hari ini atau tengah hari? Kenapa perlu tergesa-gesa?" soalnya.

Ketika polis tiba di pekarangan rumahnya, Azmin berada di Hotel De Palma, Ampang kerana menghadiri mesyuarat PKR selepas makan tengah hari di lokasi sama.

"Saya mempersoalkan cara mereka buat perkara ini; seolah-olah saya seorang penjenayah. Mengapa mereka perlu serahkan notis macam itu yang terdapat unsur gangguan dan ugutan kepada saya dan keluarga. Mereka datang lewat malam tadi. Mereka tidak boleh tunggu sehingga hari ini untuk serahkan notis. Kenapa polis bertindak dengan tidak profesional," katanya kepada wartawan selepas sesi pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Azmin juga menuntut Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab atas sikap "tidak profesional" polis.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis, Azmin berkata peguamnya akan mengkaji perkara itu.

"Peguam saya akan kaji dulu. Satu saya rasa ia menceroboh dan kedua bertindak di luar kuasa kerana tidak mempunyai hak untuk masuk. Ini adalah premis swasta, ia pejabat saya, anda tahu pusat khidmat masyarakat. Mereka tidak sepatutnya datang dan mengganggu program kita," katanya.

Azmin berkata peguamnya mungkin akan kemukanan notis pertama menjelang petang esok.

Beliau juga menunjukkan kepada pemberita notis yang diterimanya lewat malam tadi yang dikeluarkan lapan bulan awal.

Azmin juga menuntut permohonan maaf daripada Ketua Polis Ampang kerana mengganggu satu program yang dianjurkan di pusat khidmat masyarakatnya Jumaat lalu.

"Perhimpunan yang kita buat secara aman dan dirancang tetapi ia menjadi kelam-kabut apabila polis masuk dan membuat provokasi yang mengganggu ketenteraman program.

"Peguam saya akan menghantar satu notis esok kepada OCPD (Ketua Polis Daerah) Ampang menuntut permohonan maaf dan memohon penjelasan dan jika mereka tidak mahu kita akan ambil tindakan undang-undang kepada polis," katanya.

Azmin sepatutnya menemui polis hari ini untuk memberikan keterangan berhubung program Pakatan Rakyat yang diadakan pusat khidmat masyarakat Gombak.

Akaun Twitter PKR Wilayah Persekutuan pula menyebut: "@AzminAli diminta lapor diri ke balai polis esok (hari ini); isu ceramah 25/3 tiada permit. Mengikut sumber beliau mungkin akan ditahan."

Difahamkan Azmin telah bercakap kepada Ketua Polis Ampang dan menetapkan semula pertemuan dengan polis kerana menghadiri perasmian DUN Selangor pagi ini.

Majlis Jumaat lalu anjuran PKR, yang didakwa diadakan tanpa permit polis, berubah menjadi 'hodoh' apabila anggota polis cuba menghentikan Anwar daripada meneruskan ucapannya, menyebabkan penyokong beliau marah lalu menyerang pasukan keselamatan.

Ketua Umum PKR itu, yang merupakan pemimpin terakhir berceramah telah menyampaikan ucapannya sekitar 13 minit ketika polis mula campur tangan sedangkan dikatakan telah diberi 15 minit untuk berucap.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Komen