Ahad, 27 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Padah duda hilang akal

Posted: 26 Mar 2011 12:05 PM PDT

PASIR PUTEH: Seorang penagih dadah tegar bertindak liar apabila cuba membakar rumah ibunya sebelum tindakannya itu berjaya digagalkan oleh adiknya sendiri dengan bantuan penduduk dalam satu kejadian di Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek lelaki berusia 43 tahun dipercayai melakukan tindakan itu selepas dikatakan menelan pil kuda secara berlebihan.


Sebelum kejadian, suspek yang juga duda anak dua itu dikatakan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila sanggup menghalau ibunya, Mariam Daud, 73, dan juga adiknya yang cacat anggota, Rohani Salleh, 38, keluar dari rumah berkenaan, kononnya, serabut melihat mereka.

Takut melihat tindakan suspek, Mariam dan Rohani terpaksa menumpang buat sementara waktu di rumah anak bongsunya, Mohd Hadi, 34, kira-kira 50 meter dari rumah yang didiami bersama suspek.


Difahamkan, suspek dikatakan baru keluar dari lokap Rabu lalu, menjadi semakin ganas, malah sanggup memukul ibunya yang uzur, selain pernah menyepak perut Rohani yang ketika itu mengandung sebulan, dua minggu lalu.


Selain itu, gara-gara ketagih pil kuda, suspek dikatakan pernah memecah cermin keretanya sendiri termasuk mengoyakkan kusyen motosikal milik anak saudaranya. Mohd Hadi berkata, dia yang bekerja di sebuah kilang papan di Gua Musang terpaksa bergegas pulang ke kampung sebaik dimaklumkan abangnya itu baru dibebaskan dari lokap , Rabu lalu kerana bimbangkan keselamatan keluarga terutama ibu dan kakaknya itu.

Katanya, pada malam itu (kelmarin), abangnya tiba-tiba mengugut hendak membakar rumah ibunya menyebabkan dia cuba menghalang, namun terus dimarahi sebelum diberi amaran supaya tidak masuk campur.


"Dia sudah mengelilingi rumah ibu dengan minyak petrol sebelum menyalakannya dengan api rokok, namun ketika api hendak merebak, saya sempat memadamkannya.

"Berlaku sedikit pergelutan antara kami ketika saya cuba merampas tong berisi minyak petrol daripada tangannya," katanya semalam.


Menurutnya, abangnya terus melarikan diri sebaik menyedari penduduk datang beramai-ramai untuk memberi bantuan.


"Bagaimanapun, saya dan penduduk kampung berjaya menangkapnya pagi semalam, ketika dia pulang ke rumah ibu untuk mengambil 'barangnya' sebelum dibawa ke Balai Polis Cherang Ruku.


"Kami sekeluarga kini hidup dalam ketakutan kerana dia mungkin akan bertindak lebih ganas jika dia tidak segera dihantar ke pusat pemulihan," katanya yang sudah membuat laporan polis.


Sementara itu, kata Mariam, sebelum ini, anak ketiga daripada enam beradik itu adalah pemuda yang disenangi penduduk kampung kerana suka membantu.


Bagaimanapun, katanya, perangai anaknya itu mula berubah sebaik menjadi pemandu lori apabila dia berjinak-jinak dengan dadah.


"Saya buntu memikirkan nasib dirinya walaupun pernah memberi nasihat supaya kembali ke pangkal jalan, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia menjadi lebih ganas apabila sanggup memukul ibu sendiri.


"Justeru, saya merayu kepada pihak berkuasa supaya menghantarnya segera ke pusat pemulihan dadah kerana itulah sahaja jalan terbaik bagi memulihkan keadaannya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis daripada keluarga suspek berhubung kejadian itu dan siasatan kini sedang dijalankan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua pelajar OKU cemerlang

Posted: 26 Mar 2011 10:27 AM PDT

JOHOR BAHRU: Kecacatan fizikal yang dialami sejak dilahirkan tidak menjadi penghalang kepada dua pelajar kurang upaya untuk muncul pelajar cemerlang sempena Majlis Konvokesyen ke-46 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai di sini, semalam.

Pelajar berkenaan, Ruzimi Mohammed, 26, dan Nik Mohd Firdaus Nik Zainal Abidin, 27, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak pernah merasakan kekurangan yang ada sebagai kelemahan untuk menempuh cabaran kehidupan.


Sebaliknya, Ruzimi yang mengalami kecacatan di bahagian kaki dan tangan, cekal menimba ilmu di peringkat program Sarjana Keusahawanan Teknologi Maklumat sejak tiga tahun lalu biarpun hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

Berkat usaha gigih itu, dia yang juga anak bongsu daripada 10 beradik berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 sekali gus merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Program Sarjana Keusahawanan Teknologi Maklumat.


Ruzimi berkata, pada awalnya dia berasa keliru apabila ahli keluarga kurang bersetuju dengan cadangannya untuk menyambung pengajian di universiti itu berikutan bimbang keselamatan dan keadaan kesihatannya.


"Bagaimanapun, demi mengejar cita-cita untuk memperoleh sarjana dan muncul sebagai usahawan, saya berjaya memujuk mereka dan belajar berdikari ketika melanjutkan pengajian di sini.

"Bagi individu seperti saya, kejayaan itu bukan sesuatu perkara yang mudah, namun dengan usaha gigih dan doa ibu bapa, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.


"Saya bersyukur kerana berpeluang menimba pengalaman sebagai usahawan sambilan dengan mengusahakan gerai menjual pelbagai jenis peralatan menulis di kawasan kampus universiti ini di mana pada setiap hari saya akan mengulang kaji pelajaran mulai jam 8 malam sehingga awal pagi," katanya.

Sementara itu, bagi graduan program Sarjana Sains Komputer, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat, Mohd Firdaus, hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan tinggal berjauhan dengan sanak saudara tidak semudah yang disangka.


"Saya sentiasa berpegang kepada nasihat keluarga dan melipatgandakan usaha untuk berjaya. Alhamdulillah saya yang bergantung kepada kerusi roda banyak dibantu oleh rakan dan keluarga angkat di Johor.


"Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan insya-Allah jika berpeluang saya akan sambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan," katanya yang memperoleh CGPA 3.62.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan