Utusan Online - Timur |
- 103 pelajar ditahan ponteng sekolah
- Syor Pemuda Pas ditolak
- Terengganu bakal miliki sebuah lagi hospital pakar
103 pelajar ditahan ponteng sekolah Posted: 103 pelajar ditahan ponteng sekolahOleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
KUALA TERENGGANU 28 Mac - Seperti pelajar lain, mereka turun dari rumah pada awal pagi lengkap berpakaian seragam sekolah dan menggalas beg berisi buku. Namun, dengan berjalan kaki atau bermotosikal pemberian bapa bagi menyenangkan mereka dan dibekalkan wang saku, lokasi tujuan bukanlah ke sekolah sebagaimana yang dianggap oleh keluarga. Mereka menuju ke premis kosong, belukar dan juga warung selain berpeleseran sekitar premis perniagaan atau peranginan sementara menunggu waktu untuk pulang ke rumah kelak. Senario yang digambarkan adalah masalah pelajar ponteng sekolah dan ia sesuatu yang tiada berkesudahan dan usaha perlu terus dilakukan untuk menanganinya agar tidak menjadi gejala lumrah kerana ia berkait rapat dengan gejala sosial yang boleh memusnahkan masa depan pelajar. Dalam usaha terus mengejar kecemerlangan akademik di negeri ini, Jabatan Pelajaran Terengganu menyedari penyimpangan sikap itu perlu turut diberi perhatian khusus. Dalam operasi yang disasarkan kepada tiga buah sekolah menengah di sini baru-baru ini, 31 pelajar berjaya ditahan manakala sebilangan lagi berjaya melarikan diri. Ada di kalangan mereka yang ditahan dikesan positif dadah dan terbabit dengan gejala merokok. Kesemua pelajar itu diberikan kaunseling dan ibu bapa turut dimaklumkan oleh pihak sekolah dan sebilangan daripada mereka terkejut dengan perlakuan anak-anak. Operasi itu digerakkan oleh Jabatan Pelajaran negeri dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (Rela), polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta guru sekolah. Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud berkata, operasi itu dilakukan secara serentak di seluruh Terengganu bertujuan mengurangkan kadar ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini.
Katanya, operasi itu juga boleh diibaratkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pihaknya dalam merangka pelbagai pendekatan menangani isu berkenaan. Menurutnya, walaupun operasi itu pertama kali diadakan, beliau menyifatkannya sebagai berjaya. "Kejayaan ini bukan ditentukan oleh jumlah tangkapan walaupun kita berjaya menahan 103 pelajar sekolah yang ponteng sepanjang operasi ini. Apa yang ingin kita tekankan ialah mengenai usaha berterusan Jabatan Pelajaran negeri dalam membangunkan sahsiah pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia. Jelas Razali, kesemua 103 pelajar itu yang terdiri daripada 98 lelaki dan lima perempuan akan dipanggil menghadiri kursus pembangunan kendiri yang dijalankan sekolah masing-masing secara berperingkat. "Kursus ini akan dijalankan secara berbeza di antara pelajar lelaki dan perempuan. Maklum balas yang diterima daripada ibu bapa pelajar yang terlibat amat positif setakat ini. "Kita panggil ibu bapa ini ke sekolah selepas kita tangkap anak mereka kerana ponteng dan hampir kesemua mereka akur dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini," kata Razali lagi. Tambah Razali, pihaknya akan meneruskan operasi yang sama selepas ini secara berkala. Menurutnya, banyak faktor mendorong ke arah gejala itu termasuk pengaruh persekitaran, masalah diri pelajar diikuti masalah keluarga, pengaruh rakan sebaya di samping interaksi guru dengan pelajar. Justeru jelasnya, langkah mengatasi masalah itu bukan menjadi tanggungjawab jabatan dan sekolah semata-mata, tetapi perlu ditangani bersama ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa secara berterusan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Syor Pemuda Pas ditolakOleh AZRAN FITRI RAHIM
KOTA BHARU 28 Mac - Isu berkaitan pemindahan para peniaga di Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru belum selesai. Semalam, kerajaan Pas Kelantan menolak cadangan Dewan Pemuda Pas negeri supaya membeli balik Pasar Lama MPKB demi kebajikan peniaga kecil di kawasan itu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bertentangan dengan dasar kerajaan Pas Kelantan yang berpegang kepada janji. "Pasar ini telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju sebagai sebahagian usaha sama dalam membangunkan Bazar Tengku Anis, di bazar MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam) mendapat keuntungan. "Dasar kerajaan negeri kita jelas, apabila perjanjian dibuat, kita berpegang teguh kecuali orang itu hendak bagi balik. "Itu adalah dasar Islam. Kalau hendak ambil balik benda yang telah dijual, itu bukan dasar kerajaan negeri," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas Kelantan sebelum ini yang meminta kerajaan negeri membeli balik pasar lama tersebut dan membaik pulihnya demi kepentingan peniaga kecil di situ. Cadangan itu dibuat selepas sayap Pas melihat isu itu semakin memuncak apabila 300 peniaga di Pasar Lama MPKB enggan berpindah ke Bazar Tok Guru. Ekoran itu, para peniaga terbabit mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak berpegang kepada janji. Semalam, seorang ahli perniagaan menyatakan hasrat untuk membeli Pasar Lama MPKB dengan nilai RM5 juta daripada pemilik bangunan itu, Sensa Timur Sdn. Bhd. | ||||
Terengganu bakal miliki sebuah lagi hospital pakar Posted: Terengganu bakal miliki sebuah lagi hospital pakarKUALA TERENGGANU 28 Mac - TDM Berhad, syarikat pelaburan milik kerajaan negeri merancang untuk membina sebuah hospital swasta baru di bandar raya ini bagi menampung keperluan rakyat negeri ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari berkata, jika menjadi kenyataan, hospital dengan kelengkapan dan kemudahan terkini itu akan melibatkan pelaburan dianggarkan RM200 juta. Katanya, Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini milik TDM yang merupakan hospital swasta berlesen penuh pertama di negeri ini dan beroperasi sejak 2006 sudah semakin sesak dengan ruang terbatas. ''Sehubungan itu kita merancang membina sebuah hospital baru di pinggir bandar raya yang dapat menyediakan 150 katil dengan perkhidmatan yang lebih selesa. ''Lokasinya masih dalam proses untuk dikenal pasti, dan berdasarkan saiz seperti Pusat Perubatan Kuantan (KTC) yang sedang dibangunkan, kos keseluruhan dianggar mencecah RM200 juta," katanya. Bercakap kepada pemberita di sini baru-baru ini, katanya, sektor penjagaan kesihatan menunjukkan potensi untuk terus berkembang pesat selain peladangan yang menjadi teras. Kepentingan Kumpulan TDM dalam sektor penjagaan kesihatan adalah melalui pemilikan melalui tiga pusat perubatan bersaiz sederhana termasuk KTS. TDM juga mengendalikan Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di Selangor dan Pusat Perubatan Kuantan (KTC) Centre di Pahang. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital berkenaan termasuk perubatan umum, pediatrik, ortopedik, pembedahan umum, radiologi, obstetrik, ginekologi, ENT, fisioterapi dan psikiatri. Selaku sebuah hospital komuniti katanya, ia memberikan perkhidmatan dengan kos bayaran 20 peratus lebih rendah berbanding kadar yang ditetapkan. ''Semua hospital sedia ini membawa keuntungan dan berdasarkan keperluan kesemuanya perlu diperbesarkan lagi. ''Pembinaan KMC yang baru sedang giat dijalankan dan hospital setinggi tujuh tingkat itu dijangka siap pembinaannya pada tahun depan dan bakal menjadi hospital swasta terbesar di Pantai Timur," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan