Utusan Online - Timur |
Memulihara sumber marin negara Posted: Memulihara sumber marin negaraOleh YULPISMAN ASLI
TUMPAT 30 Mac – Menurut sebuah laman web, Malaysia merupakan negara ke-66 terluas di dunia dengan keluasan tanah 329,847 kilometer persegi. Semenanjung Malaysia dengan kepanjangan 740 kilometer dari Utara ke Selatan, mempunyai tepi laut berukuran kira-kira 1,931 kilometer panjang, manakala Malaysia Timur pula mempunyai garis tepi laut kira-kira 2,607 kilometer. Beriklim khatulistiwa, Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara megadiversiti kerana mempunyai spesies yang banyak serta tahap kepelbagaian yang tinggi. Hutan Malaysia sangat kaya dengan flora dan fauna termasuk Rafflesia iaitu bunga terbesar di dunia, manakala lautannya pula amat kaya dengan pelbagai hidupan marin. Mengikut laporan itu, lautan negara mempunyai kira-kira 286 spesies mamalia, lebih 150,000 spesies invertebrata, 1,000 spesies kupu-kupu dan 12,000 spesies rama-rama serta lebih 4,000 spesies ikan laut. Mungkin ramai juga tidak menyedari bahawa, lapan daripada 34 spesies kuda laut di dunia boleh didapati di perairan negara. Bagaimanapun, Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) dilaporkan telah menyenaraikan sebanyak 739 spesies flora dan 259 spesies hidupan liar terrestrial termasuk mamalia, avi-fauna, reptilia dan amfibia sebagai spesies terancam. Ancaman itu berlaku kerana kekurangan populasi mamalia tersebut akibat perubahan alam sekitar, haiwan pemangsa dan aktiviti manusia yang semakin rakus mengejar pembangunan. Menyedari hakikat itu, Jabatan Perikanan telah mengambil tindakan proaktif menguatkuasakan Seksyen 27 (Mamalia Akuatik atau penyu di perairan negara) di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999. Di bawah akta dan peraturan tersebut, sebanyak 25 spesies ikan dan tujuh spesies di bawah keluarga Pristidae termasuk yu gergaji atau yu parang diwartakan sebagai spesies ikan terancam. Pelaksanaan akta dan peraturan tersebut turut melarang sebarang tangkapan, pembunuhan, pemilikan, penjualan dan pembelian spesies-spesies berkenaan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berwajib iaitu Jabatan Perikanan. Bagi menyedarkan masyarakat mengenai peraturan tersebut dan ancaman hidupan marin negara pula, Jabatan Perikanan turut giat mengadakan kempen kesedaran. Terbaru, kempen kesedaran peringkat negeri Kelantan membabitkan golongan nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, Tumpat. Program dua hari itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood. Sepanjang kempen, para nelayan didedahkan dengan pelbagai informasi mengenai spesies-spesies haiwan marin yang diancam kepupusan dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Mereka turut didedahkan dengan akta dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perikanan dalam melindungi hidupan marin tersebut. "Program ini cukup penting kerana hendak memberi pendidikan dan memberitahu kepada masyarakat khususnya nelayan apa yang berlaku kepada sumber yang dikurniakan oleh Allah yang semakin hari semakin pupus. "Kepentingan sektor perikanan dan sumbangannya terhadap aspek ekonomi memang tidak dapat dipertikaikan. "Bagaimanapun, dengan meningkatnya pengetahuan dan pembangunan perikanan yang dinamik, kita terpaksa berdepan dengan satu kenyataan bahawa sumber akuatik, walaupun boleh diperbaharui, bukanlah tidak terbatas dan perlu diurus dengan sewajarnya jika sumbangannya kepada pemakanan, ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat hendak dilestarikan," kata Ahamad Sabki pada majlis pelancaran kempen itu, baru-baru ini. Beliau berkata, kempen kesedaran itu menyasarkan golongan nelayan kerana mereka merupakan kumpulan manusia yang mempunyai hubungan secara langsung dengan hidupan marin. "Usaha pemuliharaan spesies terancam akan gagal tanpa kerjasama dan komitmen jitu daripada semua pihak berkepentingan termasuk nelayan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, badan korporat dan orang awam," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: 20 pelajar ponteng ditahanOleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU 30 Mac – Seramai 20 pelajar ditahan dalam operasi ponteng sekolah yang dijalankan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan kerjasama empat agensi lain dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, kelmarin. Dua daripada mereka turut dikesan positif dadah dalam operasi yang bermula pukul 8.30 pagi sehingga pukul 2 petang itu. Pegawai Pelajaran Daerah, Che Abdul Aziz Daud berkata, kesemua pelajar terbabit berusia 15 hingga 17 tahun termasuk seorang perempuan, ditahan ketika melepak di beberapa kawasan sekitar daerah ini. Katanya, antara kawasan menjadi sasaran adalah sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, SMK Mulong, SMK Dewan Beta dan kawasan Telipot. "Operasi ini digerakkan dengan kerjasama polis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Kelab Sukarelawan Bantuan Kemasyarakatan Kelantan (KSBK). "Ini merupakan operasi kedua selepas Ops Didik pada Januari lalu. Jika sebelum ini, pelajar ditahan diberikan nasihat tetapi kali ini mereka terus diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di sini semalam. Menurut Che Abdul Aziz, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan NGO dalam operasi itu membuktikan semua pihak peka dan prihatin dengan masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar di daerah ini. Beliau turut meminta mana-mana pihak supaya menyalurkan maklumat kepada PPD mengenai gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar, selain bersama-sama menanganinya. | ||
Posted: Api disangka pencuri
KOTA BHARU 30 Mac - Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi bising seakan-akan pencuri yang didengarnya, rupanya api sedang marak membakar bahagian dapur rumahnya di Kampung Tanjung dekat sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian pukul 12.40 tengah malam itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila mangsa, Roslina Ismail, 34, dan keluarganya berjaya menyelamatkan diri. Roslina berkata, ketika kejadian dia baru sahaja terlelap apabila dikejutkan dengan bunyi bising dari arah dapur. "Pada mulanya saya ingatkan pencuri sedang memecah untuk masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja terdengar bunyi itu saya terus bergegas ke ruang dapur untuk melihat apa yang berlaku. "Saya terkejut apabila melihat api sudah pun marak. Saya terus mengejutkan suami sebelum menyelamatkan tiga anak kami berusia enam hingga 12 tahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Tambahnya, dia kemudian mendengar bunyi letupan kecil sementara api pula marak dengan cepat menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang. "Saya tetap bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya selamat," katanya sambil memberitahu mereka sekeluarga kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berdekatan. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Penolong Penguasa Bomba Tuan Ahmad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.57 tengah malam. Menurutnya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim dan Kota Bharu bersama dua buah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian. "Ketika sampai, rumah berkenaan telah musnah sepenuhnya dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit. Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggar berjumlah RM60,000," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan