Utusan Online - Selatan |
Posted: Perkeso buat kejutanOleh NAZARUDIN SHAHARI
SEREMBAN 25 Mac – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri buat pertama kalinya melakukan operasi ke atas pusat hiburan di sekitar daerah ini malam tadi bagi mengesan majikan dan pekerja yang belum berdaftar dengan pertubuhan itu. Dalam operasi itu, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan ke atas majikan dan pekerja yang tidak berdaftar dengan pertubuhan itu yang kesemuanya berjumlah RM4,500. Operasi Kesan Perkeso itu yang bermula mulai pukul 8.45 malam itu tertumpu kepada pusat hiburan termasuk karaoke, pub dan kafe siber di Taman AST, Lobak, Temiang dan Templer. Pengarah Perkeso negeri, Chan Hood Cheng yang mengetuai operasi itu berkata, daripada lapan majikan itu, tiganya didapati gagal mendaftarkan perusahaan masing-masing manakala selebihnya kerana gagal mendaftarkan pekerjanya. Beliau berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu dikenakan kompaun mengikut Akta Keselamatan Sosial 1969. "Di bawah akta itu, majikan yang gagal berdaftar dengan Perkeso boleh dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah," katanya di sini malam tadi. Menurutnya, sebanyak 32 kakitangan dan pegawai Perkeso negeri ini dengan dibantu lima pegawai dari ibu pejabat terlibat dalam operasi berkenaan. Beliau memberitahu, sejak operasi itu dilaksanakan mulai 8 Mac lalu, pasukan penguat kuasa Perkeso telah memeriksa sebanyak 591 majikan di daerah ini, Jelebu, Gemas dan Tampin. Jelasnya, sebanyak 32 majikan didapati tidak berdaftar dengan Perkeso manakala 70 majikan tidak mendaftar pekerja mereka dengan pertubuhan itu. "Kesemua mereka dikenakan kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM61,000," katanya. Hood Cheng berkata, operasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan majikan termasuk premis yang dibuka pada waktu malam seperti pusat hiburan, restoran dan pusat penjaja supaya berdaftar dengan Perkeso. Katanya, amat penting bagi melindungi pekerja mereka yang terdedah kepada risiko kemalangan di tempat kerja atau semasa pergi atau pulang dari bekerja. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Peniaga enggan patuh arahanMELAKA 25 Mac - Kira-kira 95 peratus premis di pusat perniagaan Taman Melaka Raya di sini didapati tidak mempunyai sistem pembentungan yang sempurna, sebaliknya menyalurkan terus sisa tersebut ke dalam longkang. Keadaan tersebut sekali gus menyumbang kepada masalah kebersihan seperti kaki lima berminyak dan kotor selain bau busuk akibat longkang yang tersumbat. Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Yusof Hassan berkata, masih ramai di kalangan pengusaha premis perniagaan enggan mematuhi atau tidak tahu cara yang betul untuk menyelenggara dan memasang sistem pembentungan di premis mereka. "Kita kesal kerana tidak sampai dua jam longkang dibersihkan, ia kembali dipenuhi pelbagai sisa minyak dan gris sedangkan ia tidak akan berlaku sekiranya pemilik premis memasang sistem pembentungan yang sempurna. "Kami dapati hampir semua premis makanan di sini menyalurkan terus sisa masakan ke dalam longkang," katanya selepas mengetuai operasi pembersihan longkang sekitar Taman Melaka Raya, di sini baru-baru ini. Menurut Mohd. Yusof, kebanyakan longkang di hadapan dan belakang premis Taman Melaka Raya dipenuhi air sisa buangan sedangkan kontraktor dilantik membersihkan kesemua longkang di 33 lorong taman berkenaan berdasarkan rekod jadual kerja serta bukti bergambar. Katanya, dalam operasi itu, pihaknya mengeluarkan notis kepada pengusaha premis supaya menyediakan sistem pembentungan yang sempurna dalam tempoh 14 hari dan jika gagal mematuhinya boleh dikenakan denda sebanyak RM500 atau berdepan tindakan mahkamah. Kata beliau, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 171 Seksyen 69 dan 70, Akta Parit Jalan dan Bangunan 1974 Seksyen 55 atau Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. | ||
IPD Nilai bakal diwujudkan - Abd. Manan Posted: IPD Nilai bakal diwujudkan - Abd. MananSEREMBAN 25 Mac - Sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) akan dibangunkan di Nilai dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat. Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd. Manan Mhd. Hassan berkata, kewujudan IPD Nilai itu perlu memandangkan kawasan tersebut kini pesat membangun terutamanya di kawasan Enstek dan sekitar Nilai dengan peningkatan bilangan penduduknya. "Buat sementara waktu, anggota yang diserapkan ke IPD Nilai kini ditempatkan untuk sementara waktu di Balai Polis Mantin yang sedang diubah suai," katanya selepas hadir pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat Kontinjen Negeri Sembilan, di sini hari ini. Kata Abd. Manan, apabila siap kelak, seorang ketua polis daerah akan ditempatkan di IPD itu, selain penambahan anggota dan operasinya tidak lagi diletakkan di bawah IPD Seremban sebagaimana sekarang. Anggota yang diserapkan ke IPD Nilai juga bakal diambil di kalangan mereka berkhidmat di IPD Seremban. Ditanya mengenai lokasi IPD Nilai, beliau memberitahu, ia sedang dikenal pasti, sama ada di bandar Enstek atau berhampiran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). "Kita berharap dengan adanya IPD Nilai itu nanti, indeks jenayah di kawasan tersebut dapat dikurangkan serta pemantauan keselamatan terus jadi perhatian pasukan di situ," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan