Ahad, 27 Mac 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Daim: Tanpa Dr M, Anwar tak mungkin jadi timbalan presiden

Posted: 27 Mar 2011 05:26 AM PDT

Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan PKR tidak boleh menjadi teras kepada pakatan pembangkang kerana parti itu hidup kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan untuk Anwar.

Katanya bukan saja pakatan pembangkang tidak mempunyai asas politik yang kukuh, dalam PKR pun yang mana Anwar adalah penasihatnya, terus bergelumang dengan masalah.

"Bolehkah PKR menjadi teras kepada kumpulan ini dan bolehkah pakatan begini meyakinkan rakyat yang ia boleh menjamin masa depan bangsa dan negara lebih baik daripada Umno dan BN yang sudah membina negara seadanya selama lebih 50 tahun?" soalnya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Daim berkata pembangkang yang relevan ialah yang mengawasi dan menegur kerajaan, yang tidak chauvinistik dan tidak berpandangan sempit, yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

"Jika kita perhati kepada keadaan parti pembangkang sekarang, jelas mereka tidak hilang arah. Cuma, masing-masing ada arah sendiri. Mereka mengamalkan prinsip kahwin monyet," katanya.

Daim berkata mereka juga mencedok format BN tapi secara setengah jalan saja, bukan sepenuhnya dan ini bukan satu alternatif yang unggul bagi rakyat.

"Pakatan Rakyat, saya pernah berkata, hanyalah satu konspirasi politik. Saya lihat kumpulan ini tak akan dapat capai kata sepakat dalam hal penting mengenai kebaikan negara kerana masing-masing parti taksub kepada pendirian dan prinsip sendiri," katanya

Dalam wawancara itu Daim turut membidas Anwar kerana pendirian yang sentiasa berubah-ubah.

"Tanya kawan Anwar, mereka kata Anwar pakai macam-macam topeng sejak masih di universiti. Waktu dia jadi pelampau bahasa Melayu, bahasa Inggeris diketepikan hingga ramai anak kita yang lahir selepas tahun 1969 hilang kompetensi dalam bahasa Inggeris. Dalam dunia globalisasi, Internet dan teknologi komunikasi sekarang, kekurang fasihan warga kita dalam bahasa Inggeris adalah satu kemunduran.

"Tapi sekarang ini Anwar menjadi pejuang 'multi-culturalism' dan 'liberalisme utopia' pula, sehingga ada di kalangan mereka mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu. Sikap dan tindakan politik begini yang menggadai segala harga diri, maruah, martabat dan prinsip untuk mendapat sokongan tertentu mengingatkan kita kepada watak utama drama Christopher Marlowe, Dr Faustus," katanya.

Daim juga berkata apa yang berlaku sehingga Anwar dipecat dari Umno bukan satu konspirasi politik.

Katanya teori konspirasi politik itu sengaja dicipta Anwar kerana mahu dirinya dilihat sebagai 'The Fall Guy, iaitu insan yang dianiayai bagi meraih simpati serta sokongan bagi menutup hakikat kecacatan peribadi sendiri.

Katanya tanpa Tun Dr Mahathir Mohamad dan jentera Umno di belakangnya, Anwar tak mungkin menjadi timbalan presiden parti.

Pada pengamatan ramai, Anwar tidak menunjukkan kebolehan luar biasa sebagai pentadbir. Tidak nampak sebarang 'reformasi' di mana-mana kementerian yang dipegangnya ketika menjadi menteri, katanya.

"Kehebatannya lebih kepada seorang, yang pintar berpidato bagi membakar semangat dan emosi khalayak walaupun isi ucapan cuma igauan politik saja. Berdasarkan ini, sekarang ini rakyat tak yakin Anwar boleh jadi pemimpin yang berkesan, meskipun setelah kesnya di mahkamah selesai," katanya.

Mengenai pergolakan di Timur Tengah, Daim berpendapat soal kebebasan dan hak asasi manusia, bukan penyebab utama kepada pergolakan itu.

"Yang lebih penting ialah soal kelembapan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan serta kurangnya infrastruktur yang asas dan moden," katanya.

Katanya jika salah satu punca utama keresahan rakyat di Timur Tengah iaitu Palestin menjadi reda, potensi negara-negara Teluk dan lingkungan Arab itu, baik dari segi politik ataupun ekonomi, akan lebih terserlah.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Konvensyen bimbang 6 KSU diganti bukan bumi

Posted: 27 Mar 2011 04:18 AM PDT

Konvensyen tranformasi ekonomi bumiputera anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan bukan bumiputera sebagai ketua setiausaha (KSU) di enam kementerian.

Menurutnya, kesemua jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh KSU bumiputera.

Konvensyen itu bimbang pelantikan tersebut akan menjejaskan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

ibrahim ali pc at pwtcMenurutnya, dengan kuasa mutlak yang ada, mereka berupaya secara terang dan berselindung menggagalkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di kementerian mereka.

Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan, Kementerian Tenaga dan Hijau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan.

Perkara tersebut merupakan antara 13 resolusi yang diluluskan dalam konvensyen sehari yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, konvensyen berkenaan mendesak Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) mengambil tindakan dengan mengarahkan ketua setiausaha negara menukar KSN berkenaan jika mereka terbuka membelakangkan agenda ekonomi bumiputera.

MTAB adalah badan peneraju pembangunan sosio-ekonomi Melayu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib TUn Razak dan dianggotai lapan menteri kabinet.

Hampir 700 peserta yang terdiri termasuk wakil 76 NGO Melayu dan bumiputera menghadiri konvensyen tersebut.

Selain itu, konvensyen itu menyokong penubuhan Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai usaha meletakkan orang Melayu dan bumiputera dalam agihan kek ekonomi negara dalam suasana transformasi ekonomi.

"Konvensyen berpendapat bahawa TERAJU tidak sepatutnya dilihat sebagai sebuah lagi organisasi yang menjaga kepentingan bumiputera, tetapi masih lesu dalam tindakan afirmatif.

"Peranan TERAJU seharusnya seiring dengan agensi-agensi yang lain seperti PEMANDU yang diberikan peranan besar dalam memacu Program Transformasi Ekonomi Negara," resolusi itu dipetik.

Sehubungan itu konvensyen tersebut menggesa supaya TERAJU mesti diberi kuasa penuh mengarah dan memantau menteri, KSU, Ketua-ketua pengarah agensi dan GLC dalam hal berkaitan agenda ekonomi bumiputera.

Selain itu beberapa resolusi yang diluluskan antaranya:

1. Menjadikan pembangunan ekonomi bumiputera sebagai agenda nasional

2. MTAB perlu memastikan ketua pegawai eksukutif syarikat GLC yang hendak dilantik mesti berjiwa Melayu dan bukannya terdiri dari mereka yang golongan Melayu Liberal.

3. Meningkatkan komitmen pengurusan Petronas dalam agenda bumiputera di Petronas.

4. Mewujudkan satu badan khas yang memantau dan menyelia kemajuan tanah rizab Melayu yang boleh dinamakan Perbadanan Kemajuan Tanah Rizab Melayu Greater Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali meminta kerajaan berhati-hati terhadap pakar-pakar luar yang dijemput memberi pandangan tentang ekonomi tetapi "tidak mengetahui latar belakang sejarah dan perkembangan dalam negara ini".

"Mereka menggubal ekonomi tidak berasaskan kepada sosioekonomi Malaysia,"katanya.

Menurutnya, beliau menerima pandangan dan input yang didakwa bahawa pandangan mereka "tidak ada roh" dan "tidak ada latarbelakang sejarah Malaysia".

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas akan menyerahkan resolusi tersebut kepada Najib, timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak-pihak lain selepas ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan