The Malaysian Insider :: Bahasa |
Khairy: Ubah sistem cukai ringankan rakyat pendapatan sederhana tinggi Posted: 29 Mar 2011 12:34 AM PDT KUALA LUMPUR, 29 Mac — Kerajaan wajar meminda sistem percukaian bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana tinggi dengan menganjakkan kadar cukai maksimum kepada kumpulan pendapatan yang lebih tinggi, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini. Langkah itu menurut Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), dapat meringankan bebanan mereka dalam menangani kos sara hidup di samping mengimbangi caj cukai di mana kadar yang maksimum dikenakan ke atas mereka yang sememangnya berpendapatan tinggi dan bukannya sederhana atau sederhana tinggi. Wakil rakyat itu melahirkan pandangan ini ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat hari ini. Kata Khairy, baru-baru ini beliau telah mengetengahkan isu pelepasan cukai penting yang mana tidak memadai untuk membantu meringankan beban pembayar cukai iaitu rebet cukai RM1,000 bagi anak-anak berumur 18 tahun ke bawah serta pengurangan cukai RM4,000 bagi setiap anak yang mengikuti pengajian tinggi mereka di negara. Katanya langkah itu penting kerana kos bagi membesar dan mengasuh anak adalah tinggi dan semakin meningkat. Pada masa yang sama katanya, peruntukan pelepasan cukai RM4,000 setahun bagi pengajian anak-anak di institusi pengajian tinggi tidak begitu dirasai oleh para ibu bapa terutama sekali sekiranya anak-anak mereka tidak mendapat sebarang bantuan pinjaman atau biasiswa. Malah sebelum ini, Khairy juga telah menyentuh tentang aspek percukaian progresif di mana pada masa sekarang golongan yang mempunyai pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM120,000 setahun, yang juga kelompok majoriti bagi kumpulan pendapatan pertengahan, dikenakan cukai maksimum 26 peratus sepertimana mereka berpendapatan tinggi RM30,000 atau RM50,000 dan ke atas. "Jika kita melihat kepada trend sumber percukaian, sumbangan cukai pendapatan individu kepada perbendaharaan negara telah melonjak lebih 228 peratus daripada RM7 bilion pada 2000 ke RM23 bilion pada pada suku ketiga 2010," kata Khairy sambil menambah, peratus dapatan daripada cukai individu juga telah naik dari 11.3 peratus ke 20.2 peratus bagi tempoh yang sama. Sungguhpun demikian, kata beliau, masih ada majoriti pembayar cukai individu di Malaysia di takuk pendapatan sederhana tinggi menanggung beban cukai maksimum. "Pada masa sekarang, cukai tujuh peratus dikenakan kepada banjaran pendapatan bercukai tahunan RM35,000, 12 peratus bagi pendapata tahunan sehingga RM50,000, 19 peratus bagi di bawah RM70,000, 24 peratus bagi banjaran pendapatan tahunan bawah RM100,000 dan cukai maksimum 26 peratus bagi manakala bagi yang mempunyai banjaran pendapatan cukai melebihi RM100,000," kata Khairy lagi. Tambah beliau, sekiranya jika dianggarkan nisbah peratusan pelepasan cukai sebanyak 20 peratus daripada pendapatan cukai, maka pendapatan minimum bulanan bagi cukai maksimum adalah RM10,000 sebulan. Katanya, kajian menunjukkan daripada 1.6 juta rakyat yang membayar cukai pendapatan, pembayar cukai di kelompok pembayar cukai teratas ini berjumlah 181,700 atau 11 peratus sahaja tetapi menyumbang 73 peratus daripada cukai pendapatan individu bagi tahun 2009. "Namun, kita melihat ketidakseimbangan bagi kumpulan ini kerana mereka yang mempunyai pendapatan RM10,000 sebulan dikenakan juga kadar cukai maksimum seumpama yang berpendapatan lumayan dan lebih tinggi," kata Ketua Pemuda Umno ini. Katanya, keadaan itu amat membebankan golongan terbabit dan secara perbandingan kadar efektif cukai tersebut lebih tinggi daripada Singapura mahupun Hongkong. "Bahkan sungguhpun Amerika Syarikat mempunyai kadar cukai tertinggi iaitu 35 peratus tetapi ia cuma bagi pendapatan tahunan melebihi AS$357,700 (atau RM1.08 juta) dan di Singapura pula kadar maksimum cuma bagi pendapatan tahunan menjangkau AS$236,640 (atau RM567,000)," katanya. Dalam perbahasannya, Khairy juga menyentuh tentang isu harga rumah dalam Skim Rumah Pertamaku. "Saya telah menyentuh tentang isu ini semasa saya mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mac yang lalu. "Namun, saya dapati tiada jawapan khusus pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa pihak kementerian menggulung dan menjawab segala persoalan ahli-ahli Parlimen pada 21 Mac lepas," kata beliau. Khairy menyeru agar nilai harga rumah yang dimasukkan dalam skop dan cakupan skim ini dinaikkan kepada RM300,000 terutama bagi bandar-bandar besar. "Ini kerana kalau kita lihat purata harga rumah teres di bandar-bandar besar seperti KL Central adalah RM542,000, KL Utara RM283,000, Selatan KL RM333,000, Petaling Jaya RM348,000, Pulau Pinang (kawasan pulau) RM562,000, Tawau RM303,000 dan Kota Kinabalu pula RM284,000," katanya. Pada masa yang sama katanya, kajian syarikat perunding hartanah Tetuan Rahim & Co mendapati sungguhpun terdapat unit-unit rumah sedia ada di pasaran sekitar harga RM150,000 hingga RM250,000, tetapi amatlah sukar dan terhad pula bagi mendapatkan unit rumah di sekitar harga RM200,000 ke RM220,000 bagi kawasan atau projek perumahan baru. Sementara itu, kajian Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia merumuskan prospek kenaikan harga rumah setinggi 13 peratus tahun ini akibat kenaikan bahan-bahan binaan. "Sehubungan itu bagi membantu kumpulan sasaran skim ini iaitu di usia 25 hingga 34 tahun seramai 4.3 juta atau 15.4 peratus daripada populasi negara, saya sekali lagi menyeru agar harga skim rumah dinaikkan ke RM300,000 dan sekiranya dapat ditambah jumlah pendapatan maksimum daripada RM3,000 kepada RM5,000 atau RM6,000 bagi meliputi cakupan yang lebih besar serta mengambil kira penggabungan pendapatan si suami dan isteri," katanya lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Rais: Kontroversi ‘Iinterlok’ bukan penghalang kepada karya sastera bermutu Posted: 29 Mar 2011 12:28 AM PDT KUALA LUMPUR, 29 Mac — Kontroversi melibatkan novel "Interlok" tidak harus menjadi penghalang kepada golongan karyawan untuk terus menghasilkan karya sastera yang bermutu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. "Apa yang berlaku di luar bidang kawalan penulis. Jadi kita nak beritahu penulis jangan takut walaupun Interlok sudah ''dikunci'' begitu. Teruskan menulis dan lahirkan pemikiran yang tajam dan tinggi tamadunnya," katanya. Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sastera Pelbagai Kaum: Karya dan Aktiviti Sastera Sebagai Wahana Integrasi Nasional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini, Rais berkata apa yang berlaku pada karya Interlok tidak semestinya akan berlaku pada masa hadapan. "Walaupun Interlok sudah dibuat sedemikian, tidak semestinya ia terus menerus begitu. Yang saya hasratkan ialah buat masa depan, apabila sesuatu buku sastera itu sudah diterima, tidak wajar bagi kita untuk mengubahnya sekiranya buku itu sudah diterima sebagai buku sastera negara. "Ini mesti saya katakan demi menjaga maruah kesusasteraan tanah air," katanya. Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India. Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu. Rais berkata penulis perlu diberi kebebasan dalam berkarya. "Ini satu pendekatan yang saya sendiri perlu memberi takrif yang jelas. Saya masih tergolong dalam pihak yang beri kebebasan kepada penulis melahirkan buah fikirannya," katanya. Rais berkata peranan Bahasa Melayu dalam membina masyarakat pelbagai kaum di negara ini tidak boleh diambil ringan. Katanya seminar yang dianjurkan Aswara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) hari ini merupakan langkah awal dalam melahirkan penulisan yang bernilai antara penulis Melayu dan bukan Melayu. Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan DBP dan Aswara dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu demi menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia. Pada seminar itu, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Rektor Aswara Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Presiden Perspektif Goh Hin San untuk bekerjasama dalam usaha member bimbingan kepada penulis menghasilkan karya bermutu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan