Utusan Online - Dalam Negeri |
- Isu pendatang dibincang peringkat menteri
- Kementerian pantau tahap radiasi
- Bersama selesaikan isu gelandangan - Rosmah
Isu pendatang dibincang peringkat menteri Posted: Isu pendatang dibincang peringkat menteriPUTRAJAYA 28 Mac – Malaysia bakal berkongsi pandangan serta pendirian berhubung isu-isu serantau termasuk berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah antarabangsa pada Persidangan Menteri-Menteri Proses Bali, Rabu ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, persidangan tersebut akan dijadikan platform untuk menghalusi perbincangan yang telah diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatnya dari Australia, Julia Gillard baru-baru ini. Menurutnya, pertemuan akan mempertimbangkan cadangan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk mewujudkan kerangka kerjasama serantau menangani masalah PATI di rantau Asia Pasifik. "Pegawai-pegawai kanan daripada setiap negara yang menyertai persidangan ini akan bermesyuarat terlebih dahulu, iaitu pada hari ini untuk melihat agenda kerangka kerjasama serantau sebelum mesyuarat di peringkat menteri diadakan. "Antara negara terlibat ialah Australia, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Sri Lanka, Malaysia, New Zealand dan Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Hishammuddin berkata, kerangka cadangan tersebut membolehkan satu mekanisme kerjasama di kalangan negara sumber, transit serta destinasi yang dituju oleh PATI diwujudkan sekali gus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya. Menurutnya, isu tersebut perlu diberi perhatian kerana rantau Asia Pasifik dipenuhi hampir 3.5 juta pelarian iaitu 37 peratus pelarian dunia. | ||
Kementerian pantau tahap radiasi Posted: Kementerian pantau tahap radiasiOleh Hisyamuddin Ayub KOTA KINABALU 28 Mac - Sebilangan besar kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi termasuk Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili turun padang bagi memantau persekitaran negara berikutan paras radiasi terlampau yang dikesan di loji nuklear Fukushima, Jepun. Menurut Maximus, berdasarkan pemantauan yang dilakukan sejak 15 Mac lalu, tiada sebarang kesan radiasi dicatatkan, malah enam buah mesin yang digunakan untuk tujuan itu di seluruh negara termasuk sebuah di Kudat tidak menunjukkan sebarang tanda kehadiran bahan tercemar itu. Beliau yang baru sahaja pulang daripada melakukan pemantauan di Kudat dan Kota Marudu turut memberitahu, bacaan pada mesin itu adalah negatif. "Dua tempat ini merupakan daerah di negara ini yang paling dekat untuk menerima kesan radiasi dari Jepun. Namun bacaan terhadap kesan sinaran radiasi adalah negatif," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Innospce, Pusat Inovasi Komuniti kedua negara selepas pusat pertama ditubuhkan di Kuching, Sarawak. Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Datuk Ir. Yahaya Ahmad. Mengulas lanjut Maximus berkata, beberapa agensi lain turut membantu kementerian membuat pemantauan termasuk Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi. Menurutnya, selain memantau persekitaran negara, kementerian turut memastikan semua individu yang memasuki negara ini bebas daripada sebarang kesan radiasi menerusi pemeriksaan menggunakan teknologi moden. "Saya jamin tiada sebarang kesan radiasi di negara ini setakat ini. Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin mengenai perkara itu yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Bersama selesaikan isu gelandangan - Rosmah Posted: Bersama selesaikan isu gelandangan - Rosmah
KUALA LUMPUR 28 Mac - Golongan pendidik dan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan secara proaktif isu orang gelandangan atau mereka yang tidak berumah. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berharap ia dapat memastikan senario berkenaan tidak lagi berlarutan dalam masyarakat Malaysia. "Bagaimanapun, kita patut bersyukur kerana keadaan golongan tersebut di negara ini tidak seteruk negara-negara lain. Ia berikutan langkah progresif kerajaan yang berjaya mengurangkan jumlah golongan itu menerusi program-program dan pelan strategik sedia ada. "Saya percaya jika kita mengkaji dalam skop yang lebih luas tentang punca golongan itu tidak berumah dan hidup di jalanan, ia akan lebih membantu kerajaan mencapai sifar gelandangan," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan bangunan Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi hari ini. Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Sayed Rahman Syed Mohd. Rosmah berkata, setakat ini kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memperkenalkan program rumah perlindungan iaitu Anjung Singgah di sekitar Lembah Klang yang akan dirasmikan pada 9 April ini. Kata beliau, ia merupakan salah satu Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang dan tidak berumah. Baginya, Malaysia bernasib baik apabila usaha membantu golongan gelandangan turut dibantu oleh NGO seperti Kechara Soup Kitchen yang menyediakan makanan untuk mereka. "Kita berbangga dengan Kechara apabila bersedia membantu golongan gelandangan malah turut sensitif dalam isu halal dengan menyediakan makanan halal untuk golongan terbabit," ujar beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan