Jumaat, 25 Mac 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Mangsa banjir bertambah

Posted:

Mangsa banjir bertambah

Mangsa banjir bertambah

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 24 Mac - Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat kepada 359 orang hari ini berbanding 340 orang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, kesemua mangsa masih berada di lima pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, SK Bukit Merah dan Dewan Orang Ramai di Alor Pongsu, Dewan Batu 38 Parit Abu Hasan serta Dewan Batu 40 Bukit Merah.

Katanya, mangsa terlibat terdiri daripada 168 penduduk di Kampung Alor Setanggok, Batu 37/38 Jalan Keretapi (48 orang), Kampung Parit Ban Abu Hasan (46), Kampung Parit Abu Hasan (31).

Kampung lain ialah Batu 40 Bukit Merah dengan 44 orang, Parit Mat Keling (4), Kampung Perlis (2), Kampung Tebuk Pancur (8) dan Kampung Parit Ayer Hitam lapan orang.

"Kampung terlibat dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter berikutan air dari empangan Bukit Merah yang dilepaskan akibat hujan lebat sejak empat hari lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fauzi berkata, jalan raya di Batu 38 Jalan Alor Pongsu-Selama masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Chong Phaik Kee berkata, semua cuti kakitangan JKM di daerah yang dilanda banjir telah dibekukan berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan semua urusan berkaitan berjalan lancar.

"Kita telah memberikan bantuan awal seperti makanan dan selimut kepada mangsa yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kerugian yang dialami mangsa akibat kejadian banjir itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Raja Muda kesal tiada kedai buku besar di Perlis

Posted:

Raja Muda kesal tiada kedai buku besar di Perlis

Raja Muda kesal tiada kedai buku besar di Perlis


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melawat pameran selepas majlis Perasmian Pesta Buku Perlis 2011 di Dewan 2020, Kangar, semalam.


KANGAR 24 Mac - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini sekali lagi mengulangi titah baginda mengenai tiadanya kedai buku besar yang beroperasi di negeri ini.

Titah baginda, jumlah pelajar dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini semakin bertambah setiap tahun dan justeru itu, buku-buku yang bermutu untuk digunakan sebagai rujukan perlu diperbanyakkan.

Baginda bertitah, kedai buku besar selalunya menyediakan buku-buku yang bermutu tinggi dan sekiranya dibuka, secara tidak langsung ia akan menjadi sebagai lambang kemajuan negeri ini sebagai sebuah Negeri Ilmu.

"Sungguhpun sambutan di pesta-pesta buku di sini amat baik, namun persoalan yang saban tahun diulangi di majlis-majlis seperti ini ialah mengapa masih tiada kedai-kedai buku besar beroperasi di negeri Perlis ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan sempena perasmian Pesta Buku Perlis 2011 yang turut dihadiri oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu serta ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri di Dewan 2020 di sini hari ini.

Dalam pada itu, titah baginda, kedai-kedai buku disarankan agar tidak mempamerkan 'larangan membaca' di kedai-kedai mereka kerana ia akan membantutkan minat membaca seseorang.

"Ambil langkah yang dilaksanakan oleh kedai-kedai buku besar seperti MPH dan Popular yang menyediakan tempat khas untuk membaca kepada pelanggan," titah baginda.

Baginda bertitah, kempen membaca mesti diperluaskan secara besar-besaran di peringkat negeri malah pesta buku tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya cara besar-besaran untuk mempromosikan buku kepada masyarakat di negeri ini.

"Kita perlu mempelbagaikannya seperti mengadakan program galakan membaca di peringkat jabatan dan organisasi yang berterusan, kempen besar-besaran di peringkat negeri dengan penyediaan pelbagai pertandingan dan insentif," titah baginda.

Sementara itu, pesta berkenaan yang berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung setiap tahun diadakan bermula sejak 2003.

Pada tahun ini, syarikat FusionExcel menaja pesta berkenaan dengan menyumbang RM100,000 iaitu wang tunai berjumlah RM5,000 dan sejumlah barangan bernilai RM95,000 bagi menjayakan pesta tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anak yatim cipta kejayaan

Posted:

Anak yatim cipta kejayaan

Anak yatim cipta kejayaan

IPOH 24 Mac - Kesukaran hidup tanpa bapa tidak pernah dijadikan alasan oleh anak yatim ini untuk mencipta kejayaan dalam pelajaran sehingga muncul salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Mohammad Hafiz Gulam Mohd. Khan, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Pasir Putih di sini sebaliknya menjadikan kekurangannya itu sebagai pemangkin untuk belajar sehingga memperoleh A+ dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diambil.

Beliau mengambil subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam, Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik Tambahan.

Lebih menarik lagi, dia turut muncul antara empat calon Melayu daripada 32 calon SPM 2010 di negeri ini yang mencatat semua A+.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menujukan kejayaan tersebut khas untuk ibunya, Nurhayati Lo Abdullah, 46, yang banyak memberikan dorongan kepadanya selama ini.

''Ayah, Gulam Mohd. Khan Gulab Khan yang merupakan seorang anggota polis meninggal dunia ketika saya berusia tujuh tahun.

''Sejak itu, saya dibesarkan oleh ibu dengan hasil duit sewa sebuah rumah kami di Kuala Lumpur dan duit simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang ditinggalkan oleh arwah ayah," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Mohammad Hafiz, kakaknya, Nadia Nadirah, 24, baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sedang mencari pekerjaan.

Ditanya rahsia kejayaannya, anak muda itu berkata, dia belajar secara berterusan sejak awal lagi.

''Selepas pulang dari sekolah, saya akan membuat latih tubi dan mengulang kaji pada waktu malam. Saya juga jarang keluar melepak dan hanya keluar dua bulan sekali," katanya.

Bercita-cita menjadi jurutera angkasa lepas, Mohammad Hafiz berharap mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang Kejuruteraan Angkasa.

''Kalau gagal dapat tawaran ke luar negara, saya mahu mengambil kursus Asasi Sains Fizikal di Universiti Malaya (UM)," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan