Utusan Online - Rencana |
Posted: Umat dalam keraguanOleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir KETIKA Ali bin Abi Talib secara diplomatik kalah kepada Muawiyah bin Abu Sufyan dalam Perang Siffin, sekumpulan penyokongnya berhadapan dengan emosi kecewa dan membuat keputusan untuk mendirikan kumpulan lain, iaitu Khawarij. Kemunculan kelompok baru bukan sahaja menjadi cabaran kepada Ali bin Abi Talib, malah memberikan kekuatan kepada Muawiyah sehingga akhirnya bergabung tenaga untuk membunuh Khalifah ar-Rasyidin yang terakhir. Mereka yang marahkan rampasan kuasa yang dilakukan oleh Muawiyah akhirnya menuntut agar menyerahkan tampuk pentadbiran khalifah kepada keturunan Ali bin Abi Talib. Kelompok itu kemudiannya menggelarkan diri mereka sebagai Syiah. Kemunculan pelbagai kelompok itu menarik minat Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani dan melalui bukunya, Al-Milal Wa An-Nihal beliau membuat perbincangan mendalam mengenai kemunculan pelbagai aliran dan mazhab dalam Islam. Kelahiran pelbagai aliran itulah telah menyebabkan permusuhan dan perpecahan sehingga pertumpahan darah yang memakan korban. Perpecahan kepada kelompok sebenarnya telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW lagi, iaitu konflik mengenai usaha penulisan wasiat baginda dan penghantaran pasukan di bawah pimpinan Usamah ke Syam bagi membendung serangan tentera Rom. Situasi ini menjadi semakin mendesak semasa Nabi Muhammad SAW sedang gering. Menurut Abu Fath, bibit-bibit perpecahan tersebut berlaku disebabkan dua perkara pokok, iaitu berkaitan politik dan keyakinan terhadap sesuatu doktrin. Politik Malaysia juga tidak terkecuali dilanda konflik apabila satu pihak menentang setiap program yang dilaksanakan oleh parti yang memerintah. Golongan yang disifatkan sebagai kelompok pembangkang, dengan bersikap memburu ayam hutan dalam kesamaran cahaya lampu suluh menerjang sekuat-kuatnya sehingga menyakinkan segelintir masyarakat umum bahawa perkara yang diputuskan itu adalah salah dan tidak memberikan apa-apa manfaat. Ketika masyarakat mula yakin dengan perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Pelan Transformasi Kerajaan, kelompok pembangkang mempersoalkan bahawa itu hanyalah sebuah fantasi. Bagi menggambarkan kesungguhan pembangkang dan meyakinkan rakyat, mereka mengeluarkan Buku Jingga, yang warnanya nampak garang tetapi di dalamnya adalah seolah-olah menjual burung terbang. Parti yang terkenal dengan perjuangan Islam kian terdesak dan berubah kerana ingin mengikut rentak parti-parti yang pernah disifatkannya sebagai 'bukan Islam' dan 'sekular'. Pemimpin mereka tidak begitu bersungguh-sungguh untuk bercakap mengenai kebenaran, tetapi semakin galak mengubah persepsi awam kepada masalah yang bakal menyebabkan mereka sendiri dilanda keraguan. Sebaik-baik agama di sisi Allah ialah semangat mencari kebenaran yang lapang, tidak sempit, toleran, tanpa kefanatikan dan tidak membelenggu jiwa. Pemahaman kita kepada Islam adalah pemahaman yang terbuka, yang kerana keterbukaannya itu ia bersikap inklusif dan mampu menjadi rahmat bagi seluruh alam. Hakikatnya, semua orang inginkan kepada penyatuan dan perpaduan, tetapi keinginan itu hanyalah sebuah bayangan falsafah, realitinya tidak seindah khabar yang dibawa. Setiap orang menginginkan kehidupan yang aman dan damai, kerana dari situlah akan terbinanya kerukunan dan keharmonian, tetapi kerana membawa ideologi kepartian yang terlalu tebal, ia menjadi sesuatu yang amat menggerunkan. Hati setiap orang yang cintakan keamanan tersentuh, bahkan terguris apabila ada pemimpin tertentu yang mengaku beriman sanggup memburuk-burukkan orang lain dengan kata-kata nista sehingga melanggar tatasusila budaya dan agama. Sedangkan di dalam al-Quran, Allah menjelaskan kualiti kaum yang beriman itu ialah mereka itu 'dibimbing ke arah tutur kata yang baik, serta dibimbing ke jalan Allah Yang Maha Terpuji', (Surah Al-Hajj ayat 24) Mereka lupa bahawa politik hanya alat untuk memperoleh kuasa secara sah. Politik bukanlah segala-galanya, tetapi bagi pembangkang politiklah yang akan dipertaruhkan walaupun mengorbankan maruah demi kelangsungan cita-cita. Politik dijadikan ramuan dalam setiap resipi masakan, dari pagi hinggalah lewat malam, malah dalam memohon pertolongan daripada Maha Berkuasa, mereka turut memasukkan dendam kesumat, termasuk melaknatkan pemimpin yang memerintah dan semua yang terbabit dalam proses tersebut. Inilah sikap negatif yang sebenarnya telah memerangkap umat Islam. Gambaran buruk itu telah menyebabkan bukan Islam boleh memberikan tafsiran terhadap budaya yang dipertontonkan kepada umum, sehingga menuntut lebih daripada sepatutnya. Kenapa mereka begitu lantang membuat tafsiran, kerana orang Islam sendiri masih berada dalam igauan politik dan tafsiran kepuakan yang melampau. Seharusnya, umat Islam mampu menghadapi situasi ini dengan akal yang sihat. Dengan pertimbangan yang rasional akan dapat menyelamatkan Islam, fitnah memfitnah dapat dilenyapkan secara beradab dan bersusila. Sejarah turut memberikan kita pengajaran bahawa punca kekalahan tentera Islam adalah kerana kita sendiri tidak bersatu. Dalam keadaan itulah menyebabkan pihak luar mengambil peluang sehingga mampu menjatuhkan empayar Muslim satu demi satu. Kes yang berlaku di Timur Tengah misalnya menjadikan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya semakin angkuh. AS tidak sedikitpun merasakan dirinya bersalah melancarkan serangan untuk menyokong pemberontak yang ingin menjatuhkan Muammar Gaddafi. AS beranggapan tindakan tersebut adalah wajar kerana Gaddafi telah menggunakan kekerasan membunuh rakyatnya sendiri. Tatkala tentera AS membelasah seorang pemuda Afghanistan sebagaimana disiarkan majalah Rolling Stone, tidakpun kedengaran pengakuan silap. Sebaliknya, akibat dimalukan dengan pendedahan tersebut, AS terpaksa memohon maaf tetapi askar negara itu terus melakukan kekejaman yang sama terhadap rakyat Afghanistan, Iraq dan kini Libya. Tidak ada satu pun negara Arab sedia mencabar kewajaran AS itu dan mendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Kenapa? Jawapannya adalah mudah, negara-negara Arab amat takutkan AS kerana negara itulah sebenarnya yang telah mencorakkan politik mereka. Konflik dan perselisihan dalam kalangan umat Islam telah diungkapkan dengan jelas dalam al-Quran. Terdapat banyak ayat yang memberikan gambaran sebab-sebab yang mencetuskan konflik dan perselisihan. Misalnya, surah al-Maidah ayat 14 mengatakan bahawa perpecahan itu terjadi akibat kurangnya pengetahuan umat Islam. Perselisihan yang berlaku berpunca daripada sikap dengki, khianat, terlalu mencintai kemewahan dunia, tidak menggunakan akal yang sihat dan saling tidak percaya antara satu sama lain. Sayyid Muhammad Rashid Ridha dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini. Beliau menjelaskan salah satu daripada empat sebab utama kehancuran umat Islam adalah kemelut perpecahan yang dijelmakan menerusi kemunculan pelbagai 'firqah' atau kelompok. Kelompok-kelompok ini kemudiannya saling berlumba-lumba untuk mendapatkan kuasa. Di sinilah bermulanya pelbagai pertembungan dan perselisihan sehingga amalan politik menjadi sesuatu yang kotor dan jijik. Politik dianggap sebagai kepelbagaian teknik dan strategi, matlamat akhirnya ialah mendapat kuasa. Bagaimana kuasa itu diperoleh bukan menjadi kayu ukur. Yang penting ialah kemenangan dan menjadi pemerintah. Dosa dan pahala bercampur. Malah ada ketikanya dosa berubah menjadi 'pahala' kerana itulah pilihan terbaik bagi mendapatkan kuasa. Itulah politik yang sedang menjadi budaya dan semakin marak dalam mencabut nilai-nilai keimanan dan ketakwaan, akhirnya mengheret manusia dalam kancah sengketa sesama sendiri. Dalam konteks ini, Allah memerintahkan Rasulullah untuk menyampaikan pernyataan tegas melalui firman-Nya bermaksud: "Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki,dalam tanganMu segala kebajikan,sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan,sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu". (surah Ali-Imran ayat 26). Dalam konteks ini, Rasullullah SAW setiap habis solat membaca doa yang bermaksud: "Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang engkau halangi dan tidak akan memberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dari apa yang Allah kehendaki." penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Isu video gugat PasOleh Zulkiflee Bakar KETIKA generasi muda Pas begitu teruja untuk mengetahui kedudukan sebenar rakaman video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang, kepimpinan kanan parti itu bersikap sebaliknya. Ketegasan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang bersetuju supaya sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat skandal rakaman berkenaan mendapat respons dingin daripada pemimpin-pemimpin atasan Pas. Bermula dengan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap penubuhan suruhanjaya itu mengarut, ia disusuli pula dengan pandangan sinis Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali yang menganggap negara ini tidak mempunyai cukup orang yang berintegriti untuk menduduki suruhanjaya itu. Lebih mengecewakan apabila Dewan Ulama Pas yang diharap akan bertindak tegas dalam soal mencari kebenaran turut membuat ulasan dengan menganggap rakaman video seks itu suatu permainan (politik) yang kotor. Ia sekali gus bermakna perjuangan Dewan Pemuda Pas yang mahu kebenaran diserlahkan dalam isu berkenaan tidak ke mana. Sudah pastilah selepas ini, Nasrudin akan dianggap membelakangkan pendirian parti biarpun beliau hakikatnya menyatakan perkara benar. Tambahan pula Nasrudin dalam kenyataan telah memberikan syarat bahawa apa pun situasi yang berlaku, ia perlu kepada penyiasatan yang adil, telus dan tidak bermaksud untuk memerangkap. Mungkin pendirian Nasrudin tidak begitu disenangi oleh mereka yang taksub kepada kepentingan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tetapi keberanian beliau menyatakan apa yang sepatutnya dilakukan harus diberi pujian. Sebenarnya tindakan kepimpinan kanan Pas yang dilihat terus berdolak-dalih dalam menggesa satu tindakan tegas bagi mencari kebenaran berhubung isu rakaman video seks tersebut telah mewujudkan gelojak di peringkat akar umbi. Kelompok generasi muda Pas yang terdedah dengan pelbagai sumber maklumat terutamanya daripada blog-blog semakin meragui apakah tindakan pemimpin-pemimpin Pas dalam menangani isu itu betul atau tidak. Mereka keliru kerana sebelum ini dalam pelbagai isu yang berlaku terutamanya melibatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), Pas akan menyerang habis-habisan, malahan mana-mana pemimpin UMNO yang didakwa terlibat dalam sesuatu kes akan didesak meletak jawatan. Beberapa pemimpin muda Pas yang dihubungi penulis mengakui mereka gelisah dengan sikap kepimpinan Pas yang tidak tegas dalam menangani isu tersebut. ''Kita tidak boleh buat spekulasi mengatakan ia konspirasi politik atau mempertikaikan penubuhan suruhanjaya diraja. ''Soal pokoknya ialah kita mahu tahu apakah benar pemimpin pembangkang berkenaan terlibat. Kalau kita yakin beliau tidak terlibat, kenapa perlu kita takut, itu yang sepatutnya pemimpin kami fikirkan,'' kata seorang pemimpin muda Pas dari Kedah ketika dihubungi. Selain itu, menurut seorang lagi pemimpin muda Pas, tindakan kepimpinan parti itu yang tidak mahu menyokong saranan Ketua Pemuda Pas supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan akan mewujudkan persepsi yang tidak baik kepada parti itu. ''Sekarang ini pun orang dah anggap Pas tidak telus dan lebih mementingkan politik berbanding menegakkan keadilan. Cakap-cakap begini kalau dibiarkan akan menjejaskan imej Pas,'' katanya. Namun begitu bahaya yang menanti Pas berikutan sikap pemimpin-pemimpinnya yang dilihat 'double standard' dalam isu video seks tersebut ialah persepsi bahawa parti itu benar-benar bergantung kepada PKR dan DAP bagi survival politik mereka. Kepimpinan Pas dilihat semakin hilang keyakinan diri untuk berjuang sendirian atau sanggup meninggalkan gabungan pembangkang demi sebuah kebenaran. Tetapi malangnya, semangat perjuangan itu seolah-olah sudah luntur, bagi kepimpinan Pas jika mereka keluar dari pakatan pembangkang maka terkuburlah impian mereka untuk meraih sokongan rakyat. Tambahan pula, rakaman video seks itu dikaitkan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cukup berkuasa bukan sahaja menguasai parti itu tetapi juga dilihat semakin berpengaruh di kalangan pemimpin-pemimpin kanan Pas. Pas terlalu yakin hanya Anwar sahaja yang layak memimpin pembangkang dan mampu memenuhi impian mereka untuk memerintah Malaysia. Oleh itu mahu tidak mahu, mereka terpaksa menolak apa juga isu yang dikaitkan dengan Anwar. Mereka bimbang jika apa-apa berlaku kepada Anwar, pembangkang akan kehilangan tonggak kepimpinan. Ia bererti dari semasa ke semasa, pemimpin dan sebahagian ahli Pas semakin hilang keyakinan bahawa parti itu mampu berdikari tanpa sokongan Anwar mahupun PKR atau DAP. Anwar bagi sesetengah pemimpin Pas dilihat seolah-olah jauh lebih hebat berbanding karisma ketokohan Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz mahupun para ulama dalam Pas. Ketika diminta mengulas hujah tersebut, seorang pemimpin Pas tidak menolak akan wujud tafsiran sedemikian jika parti tersebut tidak mengendalikan isu rakaman video seks tersebut dengan sebaik-baiknya. ''Sebab itulah di dalam Pas sekarang, ada percanggahan pendapat, ada yang mahu suruhanjaya diraja dan ada yang menolak,'' katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut. Persoalannya, apakah dengan tindakan terlalu mempertahankan Anwar, ia membawa maksud tanpa Ketua Pembangkang tersebut, Pas akan berkubur? Kenapakah Pas tidak mahu menyokong suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal berkenaan dan secara tidak langsung akan membolehkan kebenaran ditegakkan. Kepimpinan Pas tidak harus bersikap seperti mana tindakan penyokong-penyokong anti-Suharto di Indonesia suatu ketika dahulu. Kelompok berkenaan mahu keadilan ditegakkan dengan mendesak Suharto dibicarakan atas pelbagai tuduhan. Mereka membuat pelbagai tuntutan termasuk mahu satu panel bebas pakar-pakar perubatan dibentuk bagi memeriksa tahap kesihatan bekas Presiden Indonesia berkenaan. Tetapi apabila panel bebas itu turut bersetuju dengan pandangan panel pakar perubatan yang dibentuk oleh kerajaan bahawa Suharto tidak sihat dari segi mental untuk dibicarakan, maka mereka menolak keputusan berkenaan. Ertinya mereka hanya mahu keputusan memihak kepada mereka dan inilah juga sikap Pas. Kepimpinan parti itu seolah-olah mahu apa pun berlaku jika sesuatu hendak dilakukan biarlah keputusan akhirnya memihak kepada pembangkang, bukannya kerajaan apatah BN mahupun UMNO. Sikap 'double standard' Pas ini sudah tentulah tidak akan mendatangkan keuntungan politik kepada mereka kerana sebagai parti yang memperjuangkan Islam, kebenaran tetap kebenaran dan ia perlu ditegakkan. Apa pun kemelut rakaman video seks ini sama ada hendak diakui oleh Pas atau tidak, ia semakin menimbulkan gejolak atau lebih tepat lagi krisis di dalam parti itu. Segalanya berlaku kerana selain dilihat Pas lebih mementingkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP, ia juga berpunca daripada pengaruh Anwar yang semakin mencengkam parti Islam berkenaan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan