Utusan Online - Dalam Negeri |
- Jimat RM45.7 juta bina penjara baru
- Naib Canselor ‘gila ranking’ digesa letak jawatan
- Rela sedia banteras jenayah bersama PDRM
Jimat RM45.7 juta bina penjara baru Posted: Jimat RM45.7 juta bina penjara baruOleh NAZMIL NASIRUDDIN PUTRAJAYA 27 Mac - Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan semalam mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM45.7 juta daripada membina sebuah kompleks penjara baru, selain mengurangkan kadar jenayah di negara ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kos pembinaan program pemulihan itu di kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah RM4.3 juta sahaja. Beliau menjelaskan, pada setiap Rancangan Malaysia, kerajaan biasanya membina antara lima hingga enam buah kompleks penjara yang setiap satunya bernilai antara RM40 dan RM50 juta. "Langkah yang dilaksanakan ini juga mampu menangani kemungkinan berlakunya kesesakan dalam penjara pada masa depan disebabkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) hanya sebuah kompleks penjara dimohon untuk dibina," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Beliau mengulas mengenai pelancaran Program Pemulihan Pemasyarakatan bertujuan memulihkan banduan sebelum dibebaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kem Mahkota, Kluang semalam. Hishammuddin berkata, pada peringkat permulaan, banduan tersebut akan bekerja dan ditempatkan di kem ATM melalui kerjasama antara Jabatan Penjara dengan pihak tentera. Menurutnya, pelaksanaan program itu dapat mengelakkan banduan yang bukan dalam kategori jenayah berat bercampur dengan mereka yang didapati bersalah melakukan jenayah serius. Jelasnya, kategori Banduan Hukuman Mati, Banduan Hukuman Seumur Hayat, Banduan Tahanan Limpah Sultan, Banduan Kesalahan Seksual, Tahanan Reman, POPOC, Langkah-Langkah Pencegahan Khas, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penghuni Juvana, banduan yang dibicarakan dan yang dikurung kerana tiada penjamin tidak akan terlibat dalam program itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Naib Canselor ‘gila ranking’ digesa letak jawatan Posted: Naib Canselor 'gila ranking' digesa letak jawatanKUALA LUMPUR 27 Mac – Naib Canselor atau Rektor mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) yang meminggirkan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan dalam bahasa Melayu digesa supaya meletakkan jawatan kerana melanggar prinsip asas agenda nasional. Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sikap mereka yang 'gila ranking' itu perlu dihapuskan supaya bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa ilmu bertaraf antarabangsa. "Bagi menggalakkan perkembangan pesat bahasa Melayu, IPT awam dan swasta perlu memartabat dan mendaulatkan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia pada Mesyuarat Agung Gapena ke-40, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein. Abdul Latiff berkata, dalam usaha sesebuah IPT untuk meningkatkan ranking, peranan mereka sebagai pendaulat bahasa tersebut juga perlu diutamakan supaya ia seimbang sebagai pemangkin pembangunan negara. Sementara itu, katanya, kerajaan juga digesa supaya menubuhkan sebuah jabatan pemantauan dan pelaksanaan bahasa Melayu di setiap IPT bagi mendaulatkan bahasa tersebut. Tambahnya, penubuhan jabatan itu dapat menggalakkan pembelajaran dalam bahasa Melayu dan menarik minat pelajar asing untuk mendalami peradaban orang Melayu serta memperluaskan lagi penggunaan bahasa tersebut ke serata dunia. "Penyelidikan dan penerbitan yang dikeluarkan IPT dalam bahasa Melayu perlu diutamakan dan usaha mereka mendaulatkan bahasa ini perlu dihargai dengan pemberian anugerah dan sijil kecemerlangan tahunan," katanya. | ||
Rela sedia banteras jenayah bersama PDRM Posted: Rela sedia banteras jenayah bersama PDRM
KUALA LUMPUR 27 Mac - Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) komited untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kadar jenayah sehingga ke tahap paling minimum. Leftenan Kolonel Kehormat Rela, Datuk Seri Dr. Erwan Datuk Mohd. Tahir berkata, sehubungan itu, pihaknya akan menggerakkan semua anggota menjadi 'mata dan telinga' kerajaan. "Skop kerja Rela telah diperluaskan dari semasa ke semasa untuk membantu PDRM, contohnya turut terlibat dalam melakukan serbuan dan menangkap pendatang asing tanpa izin. "Kami (Rela) berjaya dalam misi itu dan kerana itu kami semakin yakin untuk membantu PDRM," katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormatan Rela di IOI Mall, di sini hari ini. Pada majlis itu, seramai 41 anggota Rela menerima pangkat masing-masing dan mereka diberi kepercayaan dalam membantu mengurangkan jenayah di kawasan-kawasan tertentu. Erwan turut berharap agar setiap anggota Rela terus mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. "Saya mahu anggota Rela bersama membantu menyelesaikan masalah masyarakat agar pasukan ini dipandang tinggi setaraf dengan unit beruniform lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan