Isnin, 28 Mac 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


GTP amat membanggakan

Posted:

GTP amat membanggakan

GTP amat membanggakan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2010 Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Stadium Putra Bikit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Bernama


KUALA LUMPUR 27 Mac - Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sejak setahun lalu membuahkan kejayaan amat membanggakan kerana ia dihasilkan melalui satu agenda bersifat berani, inovatif dan telus serta didukung oleh pasukan pentadbir yang bersungguh-sungguh mahu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehubungan itu berkata, kejayaan tersebut akan dijadikan iltizam kepada kerajaan untuk berusaha lebih gigih pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata, kejayaan itu juga amat berkait rapat dengan keputusan kerajaan menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang selama ini menjadi tiang kepada GTP.

"Dalam setiap NKRA, kita sasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan cara menyentuh denyut nadi mereka. Kita insaf bahawa rakyat adalah segala-galanya bagi kerajaan. Mereka merupakan satu amanah.

"Seperkara lagi dalam era kini, kerajaan yang cekap adalah kerajaan yang tahu jangkaan rakyat. Sudah tentu rakyat mahu kualiti hidup mereka ditingkatkan selain tinggal dalam sebuah negara yang selesa dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada majlis malam ini beliau turut melancarkan Buku Laporan Tahunan GTP 2010.

Perdana Menteri turut menyentuh bagaimana kerajaan mengambil kira pandangan rakyat sebelum GTP dilaksanakan tahun lepas melalui satu proses tinjauan.

Hasilnya kata beliau, enam NKRA telah ditetapkan iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur luar bandar dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bandar.

"Kita juga sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Oleh itu dengan rasa rendah diri kita perlukan maklum balas rakyat supaya kita tahu apa yang mereka mahukan," ujarnya.

Sementara itu beliau mengakui bukan mudah untuk kerajaan mengecap kejayaan itu kerana pelbagai cabaran serta dugaan terpaksa ditempuhi.

"Oleh itu dalam kita meraikan kejayaan tahun pertama GTP ini, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana bersama-sama menggembleng tenaga menjayakan misi ini," ujarnya

Dalam pada itu dalam ucapannya, Najib turut memaklumkan kejayaan-kejayaan kerajaan menaikkan taraf hidup rakyat melalui enam NKRA yang merupakan tiang atau tunjang kepada GTP.

Antara pencapaian tersebut ialah:

1. Indeks jenayah turun 15 peratus, indeks jenayah jalanan turun 35 peratus,

2. Memerangi rasuah-penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat selain tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah yang berjaya meningkatkan keyakinan rakyat.

3. 700,000 kanak-kanak memperoleh manfaat daripada lebih 1,500 kelas prasekolah.

4. Berjaya menurunkan 99.8 peratus golongan miskin tegar.

5. Mengubah kehidupan 2 juta rakyat dalam bidang meningkatkan infrastruktur luar bandar.

6. Peningkatan penumpang transit aliran ringan (LRT) yang kini berjumlah 2.43 juta orang dan peningkatan 192 peratus penumpang bas transit lebuh raya (BET).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

PM lancar laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan

Posted:

PM lancar laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan

PM lancar laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan


Najib Tun Razak bersama isteri, Rosmah Mansor; Muhyiddin Yassin dan isteri, serta menteri-menteri Kabinet yang lain menyanyikan lagu 1Malaysia beramai-ramai pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malayisa di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR 27 Mac - Kira-kira 7,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan serta menyokong pelancaran laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010.

Laporan tersebut yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata berjaya menarik perhatian rakyat negara ini yang teruja untuk mengetahui sejauh mana kejayaan program yang mula diperkenalkan pada 28 Januari tahun lalu.

Majlis bertemakan Malam Transformasi Bersama Rakyat: Untukmu Malaysia itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala serta menteri-menteri lain.

Pelancaran laporan tahunan itu juga diserikan lagi dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Hattan, Aizat, Daniel Lee, Reshmonu, Alyah dan ramai lagi.

GTP meliputi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam bidang pendidikan, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

Laporan tahunan itu dilancarkan bertujuan memberi maklumat serta informasi kepada rakyat mengenai perkembangan dan pencapaian enam NKRA itu.

Selain itu, laporan tersebut juga turut menerangkan perancangan kerajaan dalam enam bidang utama itu pada masa hadapan serta usaha membawa negara merealisasikan hasrat mencapai status negara maju menjelang 2020.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Muhyiddin teruskan program GTP

Posted:

Muhyiddin teruskan program GTP

Muhyiddin teruskan program GTP

KUALA LUMPUR 27 Mac - Teraju utama memimpin dan menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada masa akan datang sehingga tahun akhir pelaksanaannya pada 2012 diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2010 GTP di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam ini, Perdana Menteri berkata, Muhyiddin akan dibantu oleh kesemua enam menteri yang terlibat dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan di dalam GTP.

"Program GTP ini akan diselaraskan dan dipantau selia selepas ini oleh Muhyiddin dan beliau akan menyelaraskan semua tindakan yang akan diambil oleh menteri," katanya.

Najib berkata, kejayaan program GTP tidak akan terhenti pada tahun pertama pelaksanaannya sebaliknya ia akan menguatkan semangat kerajaan untuk terus bekerja.

Buku laporan setebal 268 muka surat itu boleh dimuat turun melalui laman web www.pemandu.gov.my. - BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan