Malaysiakini :: Berita |
Tolak janji manis 'jembalang', kata Muhyiddin Posted: 30 Mar 2011 06:22 AM PDT Rakyat Sarawak perlu menolak "hantu" dan "jembalang" yang akan datang dengan mulut yang manis membuat pelbagai janji dan tawaran tetapi sebenarnya hanya pembohongan dan kepalsuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Katanya pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April depan adalah peluang terbaik bagi rakyat Sarawak berbuat demikian. Muhyiddin berkata "hantu" dan "jembalang" itu sebahagiannya datang dari Semenanjung manakala sebahagian yang lain sudah ada di negeri ini. "Perjuangan mereka hanya untuk kepentingan suku sakat mereka... bukan untuk semua rakyat. Ini (pilihan raya negeri) adalah detik penentuan yang penting bagi rakyat Sarawak untuk masa depan yang terjamin," katanya ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat di pinggir Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik di Kuching hari ini. Muhyiddin berkata BN tidak pernah berbohong kepada rakyat dan berharap rakyat terus memberi memberi sokongan apabila tiba masa Katanya apabila tiba pilihan raya, pertimbangan-pertimbangan tertentu perlu diambil kira dalam memilih parti yang boleh dipercayai untuk mewakili penduduk Sarawak. "Kita harus bersyukur negara kita dan Sarawak khususnya adalah negara dan negeri yang begitu aman, begitu stabil dan begitu maju. "Pertimbangan utama yang perlu diambil kira (pada pilihan raya) adalah untuk menjamin politik yang terus kekal stabil, menjamin proses pertumbuhan ekonomi negeri terus mantap, menjamin pengagihan kekayaan yang ada di negara dan negeri dilakukan secara adil dan saksama serta menjamin masa depan generasi muda yang maju dan cemerlang," katanya. Muhyiddin berkata ini semua telah dilakukan oleh BN, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan program-program transformasi yang hebat. "Kita tidak mahu Sarawak, negeri yang besar dengan penduduk yang ramai terpinggir daripada arus perdana. Kita tidak mahu Sarawak tidak terpaut dalam transformasi besar di peringkat nasional. "Saya ingin mengajak rakyat Sarawak berganding bahu membantu BN untuk mengekalkan kuasa politik... kalau boleh lebih besar daripada pilihan raya dahulu," katanya. Terdahulu, Muhyiddin yang tiba di Kampung Boyan-Gersik dengan menaiki sampan pada pukul 2.30 petang, memulakan lawatan ke kampung itu dengan mengecat sebahagian surau sementara Kampung Gersik yang dalam proses baik pulih. Beliau yang diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu kemudian melawat premis-premis yang mengusahakan kek lapis Sarawak, satu perusahaan yang cukup terkenal di kampung itu. Timbalan Perdana Menteri kemudian mengunjungi orang kelainan upaya (OKU) Awang Ahmad Awang Bakri, 64, di Kampung Gersik, yang cacat kakinya sejak lahir, diikuti lawatan ke rumah seorang warga emas, Dayang Jamilah Abang Lias, 86, yang tinggal bersama seorang anaknya yang mengalami masalah mental. Dalam lawatan ke rumah Awang Ahmad dan Dayang Jamilah, Muhyiddin meminta supaya kedua-dua mereka diberi bantuan oleh Baitulmal dan rumah mereka diperbaiki. - Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
S'jaya diberitahu, Ronnie Liu tendang pintu pejabat SPRM Posted: 30 Mar 2011 06:09 AM PDT Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu exco Selangor Ronnie Liu bertindak menendang pintu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum meloloskan diri masuk ke situ pada hari mangsa ditemui mati. Bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hassim berkata pada awalnya, Liu (kiri) dan beberapa ahli politik berkumpul di depan pejabat suruhanjaya itu sebelum kekecohan berlaku. Beliau berkata selepas berjaya masuk ke pejabat SPRM, Liu bergegas ke bilik seorang pegawai yang menyoal siasat Teoh dan menyatakan mahu berjumpa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kasim Mohamed. "Liu masuk untuk berjumpa Abu Kasim dan dia dibawa ke bilik Pengarah. Saya nampak dia marah dan Abu Kasim menenangkan keadaan. Abu Kasim kata biarlah pihak polis yang membuat siasatan, dan jika pegawai SPRM yang lakukan (sebabkan kematian Teoh), biar tindakan diambil," katanya yang kini Pengarah SPRM Negeri Sembilan. Hishamuddin berkata setelah mendapat penjelasan itu, Liu keluar dari pejabat SPRM secara sukarela. Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu. Hishamuddin berkata berikutan kematian Teoh, semua pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan berkenaan dipanggil memberi keterangan kepada polis dan beliau dimaklumkan tidak ada sesiapapun tahu apa yang berlaku ke atas Teoh atau melihat mangsa keluar dari pejabat SPRM pada 16 Julai 2009. Sebagai pegawai yang mengetuai siasatan kes berkenaan, Hishamuddin berkata beliau terkejut dengan kejadian itu dan berasa kesal kerana Teoh adalah saksi penting. Pada malam 16 Julai 2009, beliau berada di pejabat untuk mengkaji kertas siasatan hingga tertidur, dan terbangun pada 5.45 pagi untuk menghantar anaknya ke sekolah. Mengenai dakwaan pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika siasatan, Hishamuddin (kiri) berkata di Selangor beliau tidak pernah aduan berhubung perkara itu namun suruhanjaya mempunyai mekanisme iaitu bahagian tatatertib, sekiranya ada laporan sedemikian. "Saksi dibawa balik ke pejabat SPRM secara sukarela dan bukannya dipaksa. Jika buat begitu, ia akan memalukan kita. Kitapun tahu kemanusiaan. Saksi memang kita jaga, nak cakap kasarpun takut, mereka penting," katanya yang menambah bahawa aduan terhadap pegawai SPRM hanya timbul selepas kematian Teoh. Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Mohamed Hatta Shaharom. Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka. Prosiding bersambung esok. Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Datuk Saripuddin Kasim dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan kerajaan negeri Selangor untuk bertindak sebagai pemerhati ketika Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan pada Sabtu dan Ahad ini, dibenarkan. Bagaimanapun, katanya, jika Selangor berhasrat diwakili peguam, mereka perlu mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). - Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Malaysiakini To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan