Isnin, 21 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Burger laris di medan selera Cina

Posted:

Burger laris di medan selera Cina

Burger laris di medan selera Cina

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my



KOTA BHARU - Aroma daging burger yang digoreng garing, dicampur dengan ramuan rempah ratus serta sos, mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk singgah bagi menikmati hidangan burger sebagai makanan sampingan bagi mengalas perut daripada keroncong.

Berbekalkan gerai kecil di Jalan Kebun Sultan dekat sini, suatu pemandangan yang berbeza di tengah-tengah medan selera masyarakat Tiong Hua apabila seorang lelaki Melayu pertengahan usia sibuk melayan tempahan para pelanggan yang ingin menikmati burger yang dihasilkannya.

Sejak 10 tahun lalu, rutin harian Tengku Haizan Tengku Ya'acob, 36, tidak pernah berubah.

Perniagaan gerai burger yang diusahakannya itu semakin mendapat sambutan daripada pelbagai kaum.

"Memang agak pelik berniaga di tengah-tengah medan selera orang Cina, tetapi Alhamdulillah burger saya mendapat sambutan daripada semua kaum termasuk masyarakat Cina sendiri.

"Masa mula-mula berniaga, tidak ramai orang seperti sekarang. Yang ada hanya medan selera, saya tidak rasa janggal walaupun duduk dalam medan selera majoriti kaum Cina," katanya yang lebih 10 tahun berniaga di situ.

Katanya, burgernya mendapat sambutan daripada kaum Cina kerana ia menepati selera dan cita rasa mereka dengan adunan rempah serta sayuran yang tersendiri.

Menurut Tengku Haizan, rutinnya bermula seawal pukul 11 pagi apabila dia keluar dari rumah untuk membeli barang keperluan seperti daging burger, sayur-sayuran, roti, telur dan sebagainya sebelum membuat persediaan bagi memulakan perniagaan.

Menceritakan penglibatannya dalam dunia perniagaan burger, katanya, ia timbul selepas melihat ramai peniaga burger di luar sana berjaya dalam dunia perniagaan itu.

Bertitik tolak dari situlah, dia mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam perniagaan burger dan menjadikannya sebagai punca rezeki menyara keluarga.

"Dengan modal permulaan RM3,000, saya memulakan perniagaan burger. Namun, pada peringkat awal bukanlah mudah.

"Masa mula-mula berniaga untung bersih di bawah RM80 dan rata-rata pelanggan hanyalah kawan-kawan saya sahaja.

"Selepas itu, sedikit demi sedikit pelanggan kian bertambah. Alhamdulillah pelanggan, termasuk masyarakat Cina semakin hari semakin bertambah," katanya.

Kata usahawan itu lagi, membuka perniagaan walau sekecil mana pun memerlukan kesabaran yang tinggi dengan tidak mengharapkan keuntungan serta-merta di peringkat awal, selain pemilihan tapak perniagaan yang strategik.

Walaupun tidak menyediakan meja untuk menikmati makanan yang disediakan, namun beberapa buah kerusi diletakkan berhampiran gerai bagi pelanggan yang menunggu makanan yang diminta siap.

Kata usahawan tersebut lagi, walaupun kerjayanya cukup memenatkan, namun pulangan menjual burger cukup berbaloi apabila dia mampu menjual lebih 200 biji burger setiap hari dengan pendapatan kira-kira RM100.

Tambahnya, cara pembuatan burger termasuk pembungkusan, rasa dan kos serta perkhidmatan yang diberikan merupakan penentu untuk dinilai oleh pelanggan.

"Selain kelazatan burger, saya turut mementingkan kebersihan dalam penyediaan bahan makanan itu kepada pelanggan," katanya.

Tengku Haizan berkata, pada peringkat awal perniagaan, dia menyediakan menu seperti burger biasa yang terdiri daripada roti burger dengan kepingan daging ayam, lembu atau telur serta sayur.

"Buat masa ini gerai saya menyediakan hampir 32 jenis menu yang terdiri daripada bahan asas dalam pembuatan burger iaitu daging ayam, lembu, ikan, hotdog dan telur yang dipelbagaikan dengan bahan tambahan seperti keju dan limpahan sos mayonis serta cili.

Tambahnya, hidangan burger di gerainya boleh dinikmati dengan harga serendah RM1.20 untuk menu hamlet, manakala yang paling mahal berharga RM4.80 iaitu burger double double cheese.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Petani kerugian RM50,000

Posted:

Petani kerugian RM50,000

Petani kerugian RM50,000

Oleh ADNAN MOHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my


Sidek Harun Mamat (kiri) dan Jazmi Ismail menunjukkan tanaman tembikai yang rosak akibat keganasan kerbau liar di Kampung Saujana Setiu, kelmarin .


SETIU 20 Mac - Empat petani yang mengusahakan projek berkelompok tanaman tembikai di Kampung Saujana dekat sini, kerugian hampir RM50,000 apabila tanaman mereka dimusnahkan oleh sekumpulan lebih 50 ekor kerbau liar selama dua hari berturut sejak kelmarin.

Mereka mendakwa, haiwan tersebut memusnah dan memakan tanaman para petani terlibat yang kini mula mengeluarkan hasil yang dijangka dapat dijual pertengahan bulan depan.

Seorang mangsa, Sidek Harun Mamat, 53, yang kerugian RM25,000 berkata, anggaran kerugian itu berdasarkan kemusnahan kesemua 5,800 pokok tembikai yang ditanam di kawasan seluas dua hektar sejak 15 Februari lalu setelah dimakan serta dipijak oleh haiwan tersebut pada waktu malam.

Sidek yang tinggal di Kampung Che Mohid dekat sini berkata, sekiranya tembikai yang berusia 40 hari itu tidak musnah, dia menjangkakan memperoleh pendapatan mencecah RM25,000 memandangkan harga buah itu yang semakin mahal.

"Nasib saya agak malang tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, kerana bukan saja kerugian akibat tanaman rosak kerana kerbau, tetapi tembikai yang saya tanam di kawasan lain seluas 1.5 hektar turut musnah akibat ditenggelami air berikutan hujan lebat baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ekoran kejadian itu, bapa kepada 10 orang anak termasuk empat yang masih bersekolah itu terpaksa menanggung kerugian atas modal melebihi RM10,000 disebabkan kemusnahan tanaman tembikai di dua kawasan itu.

Seorang lagi petani, Abg. Ghafar Hassan, 52, memberitahu, dia mengalami kerugian lebih RM12,000 setelah tanaman tembikai seluas satu hektar dimusnahkan olrh kumpulan kerbau itu selama dua malam berturut-turut.

Menurutnya, walaupun kebunnya itu berpagar, tetapi ia gagal menghalang haiwan berkenaan merempuh pagar sebelum menceroboh dan merosakkan tanamannya.

"Kerbau-kerbau itu hanya berkeliaran dan memusnahkan tembikai kami waktu malam, manakala di sebelah siang ia dipercayai bersembunyi dalam hutan tidak jauh dari kawasan ini," katanya yang telah mengusahakan projek berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Bagi Mohd. Zain Isa, 48, dari Kampung Saujana pula, dia mengalami kerugian kira-kira RM3,000 setelah sebahagian tanamannya dimusnahkan haiwan tersebut.

Katanya, kejadian seumpama itu mungkin dapat dielakkan jika para pemilik kerbau tersebut lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran.

Seorang lagi mangsa, Jazmi Ismail, 38, berkata, ancaman haiwan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian wang ringgit kepada petani, malah juga daripada segi tenaga serta titik peluh mereka mengusahakan tanaman berkenaan.

"Kami tak terkilan sangat jika tanaman kami rosak akibat banjir atau bencana alam, tetapi lebih menyedihkan apabila tembikai ini musnah disebabkan haiwan yang sepatutnya dikawal oleh para pemiliknya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mahasiswa mesti jauhi hedonisme

Posted:

Mahasiswa mesti jauhi hedonisme

Mahasiswa mesti jauhi hedonisme

KUALA TERENGGANU 20 Mac - Golongan mahasiswa perlu menjauhi budaya hedonisme kerana ia dikhuatiri akan membantut hasrat negara melahirkan barisan kepimpinan yang hebat dan terbilang.

Naib Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, hedonisme yang mencerminkan amalan untuk menikmati keseronokan melampau tanpa mengambil kira larangan agama wajar dikikis sama sekali.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang memandangkan pada masa kini terdapat kalangan penuntut universiti yang mengamalkan budaya seumpama itu sehingga memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka.

"Kita dapati ada siswa dan siswi hari ini yang mengamalkan budaya hedonisme atau hidup untuk seronok melampau walaupun ia ditegah agama Islam.

"Mereka ini bukan sahaja gagal menjadi pemimpin hebat dan cemerlang, malah turut dipandang serong oleh masyarakat," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Kepimpinan Mahasiswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad dan penceramah jemputan dari Majlis Tindakan Pemikir (Mantap), Kamarazzaman Yunus yang membentangkan kertas kerja bertajuk Ketuanan Melayu vs Ketuanan Islam.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran Mara dengan kerjasama Gagasan dan Bahagian Hal Ehwal dan Alumni UniSZA itu disertai oleh para penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Politeknik Kota Kuala Terengganu dan UniSZA.

Mohd. Nasir yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, mahasiswa perlu sentiasa menggilap bakat kepimpinan semasa di kampus, selain menimba sebanyak mana ilmu dalam usaha mengisi serta mewarnai kepimpinan negara.

Menurutnya, mahasiswa yang mempunyai nilai karismatik, berintelektual serta sarat dengan idea-idea baru yang luar biasa, mampu meyakinkan masyarakat untuk bergelar seorang pemimpin yang dihormati pada masa akan datang.

"Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, selain mengamalkan budaya 'pak turut' dan suka mengampu, ia akan memberi impak besar kepada mereka sekali gus merosakkan masyarakat dan masa depan negara," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan