Khamis, 31 Mac 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


DAP, PKR tukar kerusi Padungan, Batu Lintang

Posted: 31 Mar 2011 08:00 AM PDT

Dalam satu langkah yang mengejutkan, DAP dan PKR bersetuju bertukar dua kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihan raya Sarawak pada 2006.

Dalam satu sidang akhbar di Kuching malam ini, kepimpinan PKR Sarawak berkata, parti itu akan menyerahkan kerusi Padungan kepada DAP manakala DAP pula akan menyerahkan kerusi Batu Lintang kepada PKR.

Ekoran itu, Dominique Ng (Padungan) dan Voon Li Shan (Batu Lintang) mungkin tidak ada kerusi lagi untuk bertanding. Kedua-duanya dianggap 'duri dalam daging' dalam parti masing-masing.

Sidang akhbar itu dihadiri pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, ketua PKR Sabah Baru Bian dan pesuruhjaya PAS negeri, Adam Ahid.

Pertukaran kerusi tersebut merupakan satu kejutan besar kerana Padungan adalah kerusi pertama dan satu-satunya kerusi yang diwakili PKR di Malaysia Timur.

azlanTambahan pula, Ng yang merupakan bekas pemimpin DAP yang tidak sehaluan dengan parti itu pada 1990-an, mempunyai pengaruh kuat di Padungan.

Langkah itu berpotensi membawa risiko kepada DAP kerana Ng juga mempunyai sejarah bertanding sebagai calon Bebas dalam pertarungan tiga penjuru.

Voon, sebaliknya, dipercayai menjadi duri dalam daging kepada kepimpinan DAP sekarang.

Beberapa pihaknya melihat langkah tersebut sebagai usaha DAP dan PKR untuk menyekat kerjaya politik Ng dan Voon.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini melalui pesanan teks, Ng berkata: "Saya merasa dikhianati."

Voon, ketika dihubungi berkata: "Saya tak tahu apa-apa. Saya sedang menonton perlawanan bolasepak."

Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri pada 16 April ini walaupun tidak dicalonkan oleh partinya, beliau berkata: "Anda sepatutnya tanya kepada pemimpin apa mereka nak buat dengan saya."

Ditanya sama ada beliau akan menimbang bertanding sebagai calon Bebas, Voon berkata: "Pada masa ini saya tak tahu apa-apa... biarlah mereka putuskan. Biarlah ia begitu.

"Saya tidak penting, rakyat lebih penting. Rakyat dan negara lebih penting daripada parti. Biarlah rakyat buat keputusan, kerana mereka akan tahu apa yang patut dibuat."

Tiga pemimpin Pakatan Sarawak itu juga mengesahkan PKR akan bertanding di sekurang-kurangnya 24 kerusi manakala DAP dan PAS masing-masing akan bertanding 15 dan lima kerusi.

Rundingan antara PKR dengan Parti Nasional Sarawak (SNAP) masih berterusan.

Senarai penuh calon Pakatan belum dipastikan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Ramli diarah usir pengawal istana upahan'

Posted: 31 Mar 2011 06:32 AM PDT

Mahkamah Koroner di Tumpat, hari ini diberitahu berlaku insiden "tarik menarik" antara pengawal Istana Kelantan terdiri daripada anggota polis dengan beberapa pengawal upahan ketika Sultan Ismail Petra menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura awal tahun lalu.

Saksi ke-35, Koperal Mohamad Mat Seman, 40, berkata bahawa pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, memberitahunya bahawa selepas peristiwa itu beliau (Ramli) dianggap taat dan setia kepada Pemangku Raja pada ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan bagi menyiasat kematian Ramli dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi 1 Mei 2010.

Inkues itu didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Bagaimanapun, Mohamad tidak mengingati tarikh insiden "tarik menarik" itu yang berlaku selepas Ramli dan pegawai Istana yang lain diarah oleh Pemangku Raja Kelantan agar menghalau pengawal istana upahan.

Beliau berkata Ramli merupakan seorang kakitangan Istana yang sangat komited dengan tugasnya dan suka berterus terang dalam apa jua perkara.

"Selepas Sultan kembali pulang ke Istana, saya tidak lagi bertemu Ramli kerana kami bertugas secara syif," katanya.

Sementara itu saksi ke-34, Wan Ismail Wan Hashim, 34, berkata beliau bersama seorang yang dikenali sebagai "Rosli" atau "Abang Long" telah mengambil sebuah motosikal yang dipinjam Rosli milik lelaki dikenali "Emi Azmi" di sebuah stesen minyak Caltex di sini pada 2 Mei tahun lalu itu.

Wan Ismail yang juga merupakan bekas pengawal Istana Mahkota di Tumpat berkata motosikal itu dipinjam Rosli sejak 28 April iaitu beberapa hari sebelum Ramli ditembak mati.

"Saya tidak ingat nombornya tetapi ia motosikal Honda EX5 dan pada 2 Mei itu, Rosli telah mengajak saya mengambil motosikal tersebut. Sampai di stesen minyak itu ada seorang lelaki lain menghantar motosikal tersebut dan saya tidak mengenalinya," katanya.

Ketika ditanya sama ada lelaki yang menghantar motosikal itu adalah tukang masak Istana Mahkota iaitu "Chef Dee", Wan Ismail menafikan ia adalah lelaki tersebut dan tidak mengetahui dialek perbualan antara Rosli dan lelaki tersebut.

"Saya bawa motosikal Emi Azmi sehingga ke Istana Mahkota dan menyerahkan sendiri kepada Emi Azmi," katanya.

Prosiding inkues bersambung pada 20 April depan.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan