Utusan Online - Jenayah |
Wang tidak boleh beli segala-galanya Posted: Wang tidak boleh beli segala-galanya
BAGI sesetengah orang, wang berkuasa menyelesaikan banyak masalah malah boleh melancarkan urusan dan jaminan untuk mencapai sesuatu matlamat. Namun ramai tidak menyedari kuasa wang jugalah menyebabkan ramai tersungkur dan musnah kerananya. Wang juga menyebabkan kita silap membuat pilihan sehingga menjejaskan reputasi dan masa depan. Satu kisah benar yang dipaparkan Jejak Rasuah minggu ini memberi iktibar bahawa wang tidak boleh membeli segala-galanya. Seorang pengurus syarikat swasta yang dikenali sebagai Lim juga termasuk dalam golongan yang mempercayai wang boleh membantunya daripada disaman dalam satu operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Operasi yang dijalankan di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Melaka bertujuan untuk mengesan pengguna cermin gelap melebihi had dan tanpa surat kebenaran. Lim yang memandu kereta Mercedes-Benz berwarna hitam tidak menyangka keretanya ditahan kerana menggunakan cermin tingkap terlalu gelap. Dia bagaimanapun dengan angkuh mendakwa merupakan orang kenamaan (VIP) dan memperlekehkan tindakan seorang anggota penguat kuasa JPJ yang dikenali sebagai Daud. Daud dengan tenang meminta Lim menunjukkan sebarang surat kebenaran untuk menggunakan cermin gelap namun lelaki itu gagal berbuat demikian. Berikutan itu, Daud mengeluarkan buku notis untuk dicatat maklumat peribadi Lim dan kesalahan yang dilakukannya, tetapi tidak semena-mena Lim merayu agar dia tidak disaman. Lim yang ketika itu dalam perjalanan ke satu mesyuarat untuk menandatangani satu tender penting, mula terfikir untuk memberi rasuah kepada penguat kuasa tersebut agar urusannya tidak tergendala. Tiba-tiba Lim menghulurkan wang berjumlah RM400 kepada Daud tetapi anggota JPJ itu enggan menerimanya. Tanpa Lim sedari, tindakannya itu sedang diperhatikan oleh seorang pegawai SPRM, dikenali sebagai Ismail yang berada tidak jauh daripada mereka. Ismail memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SPRM kepada Lim dan menahannya kerana telah cuba menyogok Daud ketika menjalankan tugas supaya tidak disaman atas kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan