Ahad, 27 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Jati diri dalam karangan seni

Posted:

Jati diri dalam karangan seni

Jati diri dalam karangan seni

Oleh BASIR ABU BAKAR



SEBAHAGIAN besar generasi muda di negara ini masih tidak mengetahui tentang puisi apatah lagi mengenal lebih mendalam mengenai konsep dan pengisian maksudnya.

Seperkara yang terdetik dalam fikiran mereka tentang puisi adalah karangan seumpama lirik lagu dan patah-patah perkataan yang dibaca oleh pendeklamasi sempena sambutan acara tertentu. Lebih malang, mereka menganggap acara deklamasi puisi sesuatu yang membosankan.

Mungkin itu stigma yang bersarang dalam diri sebahagian besar anak muda negara ini yang rata-ratanya lebih meminati budaya popular dari Barat berbanding resam bangsa sendiri.

Secara umumnya, makna puisi menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, bermaksud karangan yang berbentuk sajak termasuk syair, pantun dan lain-lain.

Pemuisi pula bermaksud orang mencipta iaitu mengarang, menulis atau mendeklamasikan puisi ataupun penyajak.

Bagaimanapun, generasi muda tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Arus modenisasi hari ini kadang-kala membuatkan generasi baru anak muda alpa dan terkeliru antara puisi dan seni.

Keadaan yang berlaku itu turut menyebabkan mereka tidak mempedulikan budaya kesusasteraan tanah air kita yang sebenarnya merupakan satu perkara yang sangat indah untuk dihayati dan hebat kelihatan di peringkat antarabangsa.

Mungkinkah juga mereka menganggap puisi tidak setaraf dengan pemikiran mereka yang moden dan hanya layak untuk dinikmati oleh mereka yang berumur?

Kalau ada yang beranggapan begitu, ia ternyata silap dan pandangan skeptikal itu seharusnya diubah kerana puisi merupakan medium seni yang begitu indah dan puitis seandainya dihalusi serta diselami.

Puisi hakikatnya merupakan warisan bangsa turun-temurun daripada nenek moyang kita yang sewajarnya diangkat dan terus dipelihara agar ia tidak akan lenyap di muka bumi ini.

Untuk terus memelihara pusaka bangsa ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan semua pihak untuk mengkomersialkan puisi agar ia mampu menarik perhatian golongan muda untuk menghayatinya.


MALAYSIA tidak pernah ketandusan buku-buku bacaan sastera dan puisi, cuma yang dibimbangkan adalah bilangan pembaca serta pengikutnya.


Selamatkan karya puisi

Pemuisi terkenal negara, Ramli Selamat, 54, menjelaskan bahawa usaha mempromosi seni sastera bangsa perlu dilakukan secara berterusan bagi menyelamatkan idea dan karya puisi negara agar ia tidak terus terkubur.

Menurutnya, penerbitan dalam bentuk buku dan media-media lain perlu dipertingkatkan. Segala penerbitan itu perlu disebarluas ke tengah masyarakat.

"Usaha memasyarakat dan merakyatkan puisi dan penyair perlu diberi sokongan dari segi kewangan dan kemudahan untuk berkarya.

"Selain itu, pendedahan terhadap puisi yang sejati perlu diberikan kepada generasi muda sejak di bangku sekolah atau sewajarnya bermula dari tadika," kata Ramli yang bekerja sebagai seorang kerani dan berasal dari Kuantan, Pahang.

Sememangnya puisi masih mempunyai peminat dan penulis dalam kalangan generasi muda namun jumlah mereka boleh dibilang dengan jari jika dibandingkan dengan jumlah golongan muda yang berminat dengan program realiti berbentuk hiburan kontemporari.

Sesungguhnya keadaan tersebut tidak dapat diabaikan kerana ia menjadi fenomena di mana-mana negara di dunia ini dan ia dianggap sebagai sesuatu yang normal.

Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Amiruddin Md. Ali Hanafiah menjelaskan bahawa keadaan suram sambutan yang kurang diterima golongan muda kini mungkin disebabkan kesilapan pemuisi itu sendiri.

Menurutnya, cara seseorang pemuisi itu menyampaikan persembahan mereka perlu mempunyai elemen tambahan dan tidak hanya bergantung kepada lontaran suara semata-mata.

"Pemuisi mungkin boleh memasukkan elemen muzikal, lakonan dan persembahan pancaran layar Powerpoint dalam setiap persembahan mereka.

"Dengan kepelbagaian elemen itu saya percaya ia dapat menarik lebih ramai peminat puisi di kalangan generasi muda," kata penulis buku kumpulan puisi remaja Anak Warisan itu.

Pada masa yang sama katanya, setiap peminat puisi pasti akan ternanti gimik persembahan seseorang pemuisi setiap kali mereka melakukan persembahan di atas pentas puisi.


SASTERA dan puisi Cina terus hidup kerana antara lain ia dikomersialkan melalui lukisan, terjemahan dan cenderamata.


Walaupun bilangan peminat puisi dalam kalangan generasi muda kurang tapi jumlah mereka masih tetap ada di mana-mana kerana manusia secara lumrahnya memerlukan satu seni yang tulen dan bererti untuk dihayati.

Masih mentah

Seorang pemuisi kritis terkenal negara, Daeng Ramli Mat Akil memberitahu, dunia puisi masa kini dari segi pengisiannya masih mentah dan hampir kebanyakan penyair pada 1990-an hingga kini tiada jati diri.

"Isi kandungan puisi yang disiar dalam akhbar, majalah dan dideklamasi oleh pemuisi di program puisi amat mentah ideanya dan tiada jati diri.

"Selain itu isi kandungan pembelajaran Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) yang diajar di sekolah kini dipilih oleh panel pemilih yang tiada ilmu pendidikan bahasa," katanya.

Daeng Ramli berkata, puisi Melayu yang bagus terbentuk pada dekad 1960-an, antara tokohnya ialah AS Amin, Noor SI, Noor SM, Latiff Mohiddin, Kassim Ahmad dan lain-lain yang seangkatan dengannya ketika itu.

Generasi kini masih gagal mendisiplinkan diri untuk menghayati puisi kerana beberapa sebab iaitu kebanyakan guru malas dan kekurangan ilmu bahasa, sastera, pendidikan dan agama.

Selain itu, sikap ibu bapa yang kurang prihatin, menteri yang sambil lewa mengangkat darjat bahasa Melayu dan sastera Melayu selain peranan media, akhbar dan Internet yang bersikap seperti melepaskan batuk di tangga.

Daeng Ramli menambah, dakwaan puisi akan terkubur pada masa akan datang mustahil berlaku selagi akhbar dan majalah masih diterbitkan.

Puisi Melayu masih diberi ruang kerana rata-rata pembaca wanita lebih cenderung meminati puisi berbanding pembaca lelaki, jelas Ramli yang turut mencadangkan agar Kosmo! mengadakan ruangan untuk puisi.

"Generasi kini kenali puisi menerusi ujian Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia selain di kolej dan universiti," katanya.

Kemajuan sastera China


SETIAP bait puisi mempunyai mesej untuk dicerna oleh pembaca. - Gambar hiasan


Daeng Ramli menjelaskan bahawa puisi Melayu jauh berbeza dengan puisi bahasa lain. Puisi Cina lebih maju, lebih banyak antologi sejak dahulu. Silibus sastera China di Malaysia amat kaya kerana orang di belakangnya amat prihatin.

Puisi India pula mengalami nasib yang sama seperti puisi Melayu, lemah dan hampir tiada fokus ilmu. Kita wajar tiru cara China dan Jepun majukan puisi mereka.

Bangsa China dan Jepun memajukan puisi mereka dengan menulis karya puisi indah mereka pada barangan cenderamata, kalendar, baju, tekstil dan lain-lain.

"Jangan jadi seperti orang Amerika Syarikat dan Arab yang kurang aktif memajukan puisi mereka. Banyak akhbar dan majalah mereka tidak siarkan puisi seperti Times, Newsweek, Economist, Los Angeles Times dan lain-lain," ujar Daeng Ramli.

Justeru, beberapa langkah perlu diambil bagi memelihara khazanah bangsa dan negara ini iaitu dengan mengubah silibus pendidikan negara yang ada sekarang dengan mengajar pelajar mencipta puisi atau cerpen.

Selain itu satu kajian mengenai kelemahan perkembangan puisi sejak tahun 2000 perlu dilakukan dan menyediakan tenaga pengajar yang terdiri dari penyair jemputan.

Penerbitan puisi dalam akhbar, majalah, media elektronik dan buku perlu lebih banyak dilakukan. Ini termasuk melakukan kunjungan ke negara-negara asing melibatkan menteri, belia dan pelabur bagi menyaksikan persembahan puisi dengan gaya muzik tersendiri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan