Utusan Online - Timur |
Posted: 324 mangsa dipindahOleh SITI AIRUNNISA ALAUI
KUALA TERENGGANU 25 Mac - Seramai 324 orang daripada 74 keluarga di sekitar Gong Badak dan Tok Jembal dekat sini berpindah ke tiga pusat pemindahan setelah rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi. Menurut Majlis Keselamatan Negeri (MKN), 263 mangsa daripada 60 keluarga dari Taman Uda Murni dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal. Sementara itu, jurucakapnya memberitahu, 52 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Pak Tuyu pula ke SK Tanjung Gelam serta sembilan mangsa daripada dua keluarga dari Taman Jati dipindahkan ke Dewan Sivik Gong Badak. Katanya, hujan lebat sejak pukul 8 malam hingga pukul 4 pagi tadi menyebabkan kawasan perumahan di kampung berkenaan dinaiki air antara 0.5 meter sehingga 1 meter. Bagaimanapun, katanya, tiada laluan ditutup dan kenderaan masih boleh menggunakan jalan terbabit. "Kebanyakan mangsa mula berpindah bermula 12 malam hingga 2 pagi tadi ekoran bimbang rumah ditenggelami air, namun jika keadaan kembali pulih mereka dibenarkan pulang ke rumah pada bila-bila masa sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi negeri, taburan hujan luar biasa iaitu 260 mililiter dalam tempoh lapan jam menyebabkan kawasan berkenaan dilanda banjir kilat. Jurucakapnya memaklumkan, taburan hujan berkenaan adalah sangat luar biasa. "Kita menjangkakan taburan hujan 260 mililiter untuk tempoh sebulan bagaimanapun ia berlaku dalam tempoh lapan jam sahaja," katanya. | ||
Posted: Premis niaga dipenuhi selutKUALA TERENGGANU 25 Mac - Hujan lebat yang turun selama lapan jam bermula 8 malam semalam menyebabkan beberapa buah kedai di hadapan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat sini ditenggelami air sedalam 0.5 meter. Difahamkan, banjir kilat itu berlaku ekoran masalah sistem saliran dan perparitan yang tidak diselenggara. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, pekerja beberapa buah premis sedang giat membersihkan kedai mereka yang dipenuhi selut dan sampah-sarap. Menurut seorang pemilik kedai gambar, Eyong Hang, 26, masalah tersebut berlarutan sejak hampir 20 tahun lalu. Katanya, walaupun perkara itu beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa tempatan namun ia masih tidak dapat diatasi. "Setiap kali hujan lebat berterusan selama satu jam, kami terpaksa bersiap sedia untuk berniaga dalam air kerana setiap kali itulah kedai ini akan ditenggelami air," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurutnya, dia dan beberapa lagi peniaga sekitar kawasan itu tidak menafikan punca utama banjir kilat di situ disebabkan oleh longkang yang sempit dan tidak berfungsi dengan baik. Katanya, banjir kilat berkenaan turut menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk selain dipenuhi sampah selepas air surut sehingga mengakibatkan bau busuk dan mencemarkan pemandangan. Katanya, walaupun kejadian itu hanya menyebabkan sedikit sahaja kerugian namun ia menjejaskan operasi perniagaan. "Kami bersedia dari awal dengan mengalihkan barangan dan peralatan elektronik ke tempat lebih tinggi, namun jika perkara ini sering berlaku akan menjejaskan imej kedai kami dan pastinya bandar raya ini," katanya. | ||
Posted: Norbayah - Ibu Pulanglah |
|
Mek Wok Mohamed memegang gambar anaknya, Siti Norbayah. |
KOTA BHARU 25 Mac - "Pulanglah Norbayah. Mak sakit, mak rindukan kamu sangat-sangat. Mak tak marah," demikian rayu seorang warga emas, Mek Wok Mohamed, 69, ketika meminta anak bongsunya kembali ke pangkuannya selepas 13 tahun menghilangkan diri.
Mek Wok ketika ditemui di rumahnya di Kampung Puteh, Telipot di sini dalam nada sebak memberitahu, anaknya itu, Siti Norbayah Harun menghilangkan diri sejak 1998 ketika berumur 15 tahun.
Katanya, Norbayah merupakan seorang pelajar pintar apabila mendapat 7A 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 1998, tetapi terlalu ikutkan perasaan dan dia mungkin telah memilih jalan yang salah.
Jelasnya, pada waktu itu, anak bongsu daripada 10 beradik itu mempunyai ramai kawan di kalangan orang berada menyebabkan hatinya memberontak untuk menjadi seperti rakan-rakannya.
"Dia mahu duduk asrama dengan kawan-kawan yang kaya tapi saya tidak mampu tunaikan, begitu juga soal keperluan seperti pakaian dia mahu yang mahal.
"Sebab itulah dia selalu memberontak dan setiap kali ditegur oleh kakaknya dia melawan sehinggalah bertindak menghilangkan diri," katanya sebak.
Menurut Mek Wok lagi, dia bagaimanapun sudah memaafkan kesilapan anaknya itu dan setiap hari berdoa agar mereka diberi peluang berjumpa terutama memikirkan usianya yang semakin tua dan pernah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) baru-baru ini kerana masalah kesihatan.
Jelasnya, sebelum menghilangkan diri, Siti Norbayah memberi alasan mahu keluar rumah dan mengambil ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan