The Malaysian Insider :: Bahasa |
Jumpa rakyat dalam kunjungan mesra di bandar Muar Posted: 25 Mar 2011 11:32 PM PDT MUAR, 26 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dalam lawatan kerja ke bandar ini, hari ini mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga di pusat bandar Muar. Perdana Menteri dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba pada pukul 9.35 pagi, untuk beramah mesra dengan rakyat di bandar Maharani. Turut serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam dan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek. Sejurus tiba di Jalan Meriam dan Jalan Sayang, Perdana Menteri dan rombongan disambut mesra oleh rata-rata peniaga yang tidak putus-putus menghulurkan salam kepada beliau dan isteri. Najib turut melihat carta proses bagi mengatasi banjir kilat serta menaiktaraf sistem perparitan dalam kawasan bandar Muar. Dalam kunjungan mesra itu, Perdana Menteri turut berkunjung ke gerai perniagaan dan pinggir bandar di Jalan Sisi dan Jalan Abdullah sebelum melawat pondok kawalan polis yang disediakan di situ. Cuaca panas membuatkan Perdana Menteri dan rombongannya tidak melepaskan peluang untuk menikmati cendol di sebuah gerai berdekatan sebelum beredar ke Pasar Awam Maharani dan Terminal Bas dan Perhentian Teksi Bentayan, untuk berjumpa peniaga di kawasan berkenaan. Bagi peniaga cendol, Shamsu Bibi Hassan, 55, kunjungan Perdana Menteri dan rombongan ke gerai cendol miliknya adalah sesuatu yang tidak diduga. "Siapa sangka Perdana Menteri dan isteri sanggup mencuba cendol di sini. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri. Saya sangat gembira hari ini," katanya yang berniaga di gerai berkenaan bersama suaminya Abdul Nasir Miras, sejak 30 tahun lepas. Seorang pekerja kedai cat yang hanya mahu dikenali sebagai Bala, 56, berkata kunjungan Perdana Menteri di kawasan pusat bandar diharap membawa kebaikan terutamanya bagi menyelesaikan isu perparitan. "Ini pertama kali saya lihat Datuk Seri Najib dari dekat. Tentang masalah longkang, memang ada bau busuk, kita harap ianya dapat diatasi," katanya yang bekerja di kedai tersebut sejak lima tahun lepas. Bagi seorang wanita, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 36, kunjungan Perdana Menteri ke Muar adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk melihat pemimpin nombor satu negara dengan lebih dekat. Lim yang tinggal di Jalan Haji Jaib di sini berkata dia bersama suami yang mahu dikenali sebagai Soo, 40, dan dua anak perempuan mereka Soo Jia Ling, 8, dan Soo Jia Yi, 3, sanggup ke menunggu ketibaan Perdana Menteri sejak pukul 8 pagi. "Kita jarang dapat peluang macam ini. Anak-anak saya pun sangat gembira dapat bersalam dengan Perdana Menteri, isteri dan beberapa orang kenamaan lain," katanya. — Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
MPP gesa UM tarik balik gantung wakil pelajar, bekas calon Posted: 25 Mar 2011 09:30 PM PDT KUALA LUMPUR, 26 Mac — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia (UM) mendesak pengurusan pusat pengajian tinggi menarik balik keputusan menggantung dua penuntut satu semester atas alasan memalsukan sijil sakit. Ini kerana jelas Yang Dipertua MPPUM Mohd Syahid Mohd Zaini, kedua-dua penuntut itu tidak sewajar dikenakan hukuman sedemikian kerana tidak mendapat keadilan. "Kita nak UM menarik balik keputusan itu sebab keputusan yang dibuat tidak telus, UM tidak meminta penjelasan daripada penuntut dan penuntut juga tidak dibenarkan membela diri dan membawa saksi. "Kita mahu keputusan itu dibuat secara adil, biar kedua-dua penuntut ini membela diri masing-masing, bawa saksi dan bukti mereka baru nampak adil," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Kedua-dua penuntut itu dikatakan berbuat demikian ketika pemilihan kampus bulan lalu. Kedua-dua pelajar terbabit adalah penuntut tahun kedua dengan masing-masing menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera. Kata Mohd Syahid, langkah pengurusan UM menggantung kedua-dua penuntut itu tanpa bukti yang sah adalah satu tindakan yang "zalim." "Macam mana kata palsukan surat sijil sakit? Apa bukti yang kata ia adalah palsu? Mereka berdua ada resit dan surat sijil sakit, macam mana kata ia palsu? "Ini adalah hukuman yang agak zalim... tiga hukuman dijatuhkan serentak, selain digantung mereka juga perlu membayar denda dan telah diberikan amaran... sedangkan tidak bukti mengatakan mereka menipu. "Sebab itu kita nak UM tarik balik keputusan ini, kenapa baru sekarang buat keputusan? Kenapa tidak ketika penamaan dan kempen pemilihan dulu?" katanya. Semalam, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM Prof Dr Rohana Yusof mengesahkan dua penuntut pusat pengajian tinggi digantung pengajian selama satu semester atas kesalahan tersebut. Jelas beliau, salah seorang penuntut tersebut telah ke klinik swasta untuk mendapatkan sijil sakit tetapi pada 15 Februari iaitu tiga hari selepas kursus penerangan itu diadakan. "Kursus penerangan ini kita buat pada 12 Februari tapi penuntut ini berikan sijil sakit bertarikh 15 Februari selepas saya meminta surat tunjuk sebab kenapa tidak hadir. "Yang seorang lagi tidak berjumpa doktor tapi dapat surat sijil sakit, yang saya percaya ia mungkin dibeli dari klinik swasta itu," katanya. Kata Rohana, bagi penuntut yang memenangi kerusi umum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM selain digantung satu semester dia juga digugurkan daripada menganggotai badan tersebut. MPPUM adalah antara pemilihan kampus dikuasai oleh kumpulan pelajar Pro Mahasiswa pada pilihan raya kali ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan