Utusan Online - Rencana |
Posted: Cabaran BN di SarawakOleh PEKAN RAMLI NAMPAKNYA tidak putus-putus negara terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi menghadapi beberapa pilihan raya. Setakat ini sudah 15 pilihan raya kecil diadakan. Sedangkan perjalanan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 masih lagi jauh. Kalau kerajaan bercadang membubarkannya lebih awal sekalipun, realitinya hasrat itu bakal terbantut. Ini kerana kerajaan pakatan pembangkang di beberapa negeri yang kelihatannya masih belum puas memerintah hampir pasti tidak akan mengikut jejak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Apa pun suasana di Sarawak kini sudah jelas. Dewan Undangan Negeri sudah dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah memperkemaskan operasinya. Kira-kira RM50 juta telah diperuntukkan bagi menguruskan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10. Apakah 67 kerusi DUN yang dimenangi oleh Barisan Nasional pada 2006 mampu dikekalkan? Atau jumlah kerusi yang menang semakin bertambah? Paling merisaukan sekiranya ia semakin mengurang. Lebih menakutkan dan pasti menjadi igauan buruk ialah kalau Sarawak terlepas ke tangan pembangkang. Di Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) sebenarnya rapat dengan masyarakat. Pemimpin tertinggi negara dan negeri kerap mudik ke hulu untuk bersama rakyat di pedalaman. Namun jangan pula lupa kepada mereka di hilir dan di muara. Mereka di hulu diakui sememangnya masih dahagakan kemajuan dan pembangunan. Namun di hilir dan di muara Sarawak, plot ceritanya mudah benar berubah atau diubah. Bagaikan seiring dengan pasang surutnya air. Segala kemajuan dan pembangunan kini sudah mereka rasai. Mereka sudah terlalu matang untuk menyisihkan segala rupa bentuk aliran yang mengalir ke daerah mereka. Baik yang secara semula jadinya datang dari hulu atau dari mana-mana daratan mahupun yang dihanyutkan hujan atau diterbangkan angin, atau datangnya sememang dijemput manakala pulangnya tidak pernah diusir. Hakikatnya mereka di hilir dan di muara bukan lagi 'survival' untuk hidup tetapi mereka ingin terus hidup untuk 'survival'. Soal siapakah yang menerajui kerajaan negeri bukan lagi persoalan penting buat mereka di hilir dan muara. Tetapi yang penting siapakah yang boleh menjanjikan kegembiraan buat mereka. Kalimat 'mengenang jasa' bagi mereka di hilir dan muara sudah tidak wujud lagi. Yang ada cuma kalimat 'orang memberi, kita merasa' tanpa perlu membalasnya. Gambaran akan petanda kurang baik ini sudah diberikan rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak 2006. Begitu juga beberapa keputusan di beberapa buah kawasan Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Kebetulan saya sebenarnya amat mengikuti senario politik negeri Sarawak kerana terbabit bertugas pada dua pilihan raya umum dan satu pilihan raya negeri. Pengalaman ini cukup menginsafkan betapa sukarnya untuk mentadbir sebuah negeri sebesar Sarawak. Saya pernah ke beberapa rumah panjang yang mengambil masa beberapa jam menaiki kenderaan kemudian beberapa jam lagi menaiki 'bot panjang' dan beberapa jam lagi terpaksa berjalan kaki merentasi hutan rimba kerana air sungai ke hulu yang cetek dan setelah seharian perjalanan baru sampai ke rumah panjang terbabit. Bayangkan pula bagaimana anak-anak rumah panjang ke pra-sekolah yang terpaksa berjalan kaki hampir dua jam pergi dan balik. Ibu-ibunya pula turut sama-sama berjalan kaki menghantar anak mereka untuk menimba ilmu. Bangun tidur pukul 5 pagi dan selepas menghantar anak langsung pulang semula ke rumah panjang. Pada sebelah tengah harinya pula kembali berjalan kaki untuk menjemput anak-anak mereka pulang dari sekolah. Soalnya bukan kerana perancangan untuk memperbaiki taraf hidup mereka di pedalaman khususnya rumah panjang ini tidak dilakukan oleh kerajaan, tetapi ia tidak dapat dilakukan secara mendadak dan memerlukan perancangan strategik membabitkan pelbagai faktor lain yang lebih mendesak. Apa pun itu bukan isu utama yang boleh menjadi titik-tolak yang boleh merubah keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak. Pemerhatian di beberapa kawasan pedalaman Sarawak membuktikan hanya pemimpin-pemimpin kerajaan dan agensi-agensinya sahaja yang mampu sampai ke kawasan itu dan berbakti serta berbudi kepada masyarakatnya. Sebab itu hingga saat ini, BN kekal utuh di hati mereka masyarakat luar bandar. Namun beberapa isu ditimbulkan di Sarawak menjelang pilihan raya negeri kali ini boleh memberi kesan kepada sokongan rakyat kepada BN jika tidak ditangani dengan baik. Antaranya soal pemimpin yang sudah terlalu lama, bersifat kronisme dan masalah parti-parti komponen BN Sarawak seperti SUPP, PRS dan SPDP. Isu-isu ini perlu diberi perhatian berbanding isu kenaikan harga minyak, isu tanah dan lain-lain yang seringkali dimanipulasi parti pembangkang. Ini kerana isu-isu sejagat itu mampu ditangani oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan. Tetapi isu kepimpinan boleh diibaratkan api dalam sekam. Sukar dilihat, tidak disedari, diam-diam ia boleh membakar dan meleburkan segala impian. Hakikat ini sememangnya disedari kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dan juga Ketua Menteri Sarawak. Pengumuman Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa beliau akan berundur selepas pilihan raya negeri kali ini selepas 30 tahun memerintah dilihat satu langkah paling tepat dan bijak. Siapa pengganti beliau? Persoalan ini tidak perlu dirisaukan oleh rakyat Sarawak kerana Abdul Taib sudah pasti telah mengenal pasti calon yang layak. Yang penting Langkah Abdul Taib itu perlu diikuti oleh pemimpin-pemimpin BN negeri yang lain terutama yang berada dalam kategori 3R - tidak lagi relevan, referred dan respected. Ini antara perkara yang perlu dilihat bagi memastikan kemenangan mutlak memihak kepada BN. Beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini seperti di Galas Kelantan; Tenang di Johor; Merlimau, Melaka dan Kerdau di Pahang telah menunjukkan aspek positif kepada BN. Namun kejayaan itu bukan petunjuk bahawa BN akan menang mudah di Sarawak. Pada pilihan raya kecil segala kekuatan BN tertumpu ke sana. Tetapi senario pada pilihan raya negeri Sarawak ini sudah tentu berlainan dan memerlukan pendekatan berbeza. Lagi pula, isu-isu tempatan di Sarawak seperti hal berkaitan tanah adat memerlukan pendekatan berbeza untuk diselesaikan. Sebab itu pendekatan kempennya juga perlu berbeza dan perlu peka dengan keperluan sensitiviti penduduknya. Ini merupakan cabaran yang perlu diharungi BN dalam memastikan kejayaan lebih besar pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Urus sebuah yayasan pun tak pandai! Posted: Urus sebuah yayasan pun tak pandai!Oleh AZIM AZMAN YAYASAN Selangor mengalami kerugian hampir RM7.41 juta sehingga November 2010. Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Mohd Saifulruddin Sulaiman dipecat apabila diberi notis 24 jam pada mesyuarat khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor pada 17 Februari lalu. Walaupun demikian Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki masih diberi kepercayaan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Walhal laporan audit pada 18 Mac lalu turut mencadangkan supaya Pengurus Besar Yayasan Selangor sekarang ditamatkan kontrak perkhidmatannya kerana kerugian berlaku semasa di bawah pimpinannya . Kerajaan PKR negeri mencanangkan slogan "Merakyatkan Ekonomi Selangor" tetapi satu demi satu masalah melanda negeri maju ini. Malah sebuah yayasan juga turut mengalami kerugian. Apabila kepincangan pengurusan Yayasan Selangor ini ditanya kepada Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar, dengan mudah beliau menyatakan pihak yang sepatutnya meletakkan jawatan ialah Menteri Besar Selangor. "Sebab yang pertama, Menteri Besar ialah Pengerusi Lembaga Pengarah yayasan itu. Bila dia memerintah, dia sudah masukkan unsur politik. "Mana-mana orang UMNO termasuk Pengurus Besar yang lalu, dan pihak yang dilihat menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan ditukar atau diberhentikan. Itu hak dia," kata Noh. Tetapi yang dipertikaikan Noh ialah cara pemilihan Pengurus Besar Yayasan Selangor. Menteri Besar ingin menunjuk dia telus, dan mengikut peraturan untuk melantik pengurus besar di mana dia tubuh panel temu duga yang turut dianggotai Exco kerajaan negeri, Dr. Halimah Ali. Pada mula panel ini telus dengan menyenarai 41 calon untuk ditemu duga. Selepas ditapis tinggal 8 calon. Menurut Ahli Parlimen Tanjung Karang itu lagi, dalam senarai calon itu nama Ilham antara yang terpilih untuk ditemu duga. Bagaimanapun panel temu duga telah mencalonkan nama orang lain sebagai Pengurus Besar dan ada nama calon simpanan. "Jika Menteri Besar telus, dia kena menghormati pemilihan panel temu duga. Mengapa Khalid tidak melantik calon yang sudah ditemu duga dan dipilih oleh jawatankuasa itu? "Tetapi sebaliknya MB menukar keputusan yang dibuat dengan melantik Ilham sebagai Pengurus Besar. Di mana ketelusannya? Dia melantik kroni sedangkan dahulu dia menuduh BN mengamalkan kronisme tetapi sekarang siapa yang terang-terang melakukan salah guna kuasa itu? Kedua-dua Pengurus dan Timbalan Pengurus ialah kroni Menteri Besar," kata beliau. Sebagai Pengerusi Yayasan Selangor, Khalid lebih percaya kepada kroninya. Sebab itu berlaku tadbir urus yang tidak ikut peraturan. Dan mengurus perbelanjaan seperti wang sendiri. Badan yang ditubuh untuk menjaga kebajikan pendidikan anak negeri itu mengalami kerugian akibat perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah. Pengurusan tidak berhemah, antara lain kos sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu mencecah hampir RM1 juta, dengan syarikat pengurus sambutan itu dibayar upahnya walaupun aktiviti belum dilaksanakan. Dahulu Noh sudah mendedahkan bahawa perbelanjaan untuk menyambut ulang tahun Yayasan Selangor itu ialah hampir RM800,000 bukan RM300,000. "Pada ketika itu Menteri Besar cabar saya, dan beliau nafikan. Tetapi kini apabila laporan audit didedahkan ternyata dakwaan saya adalah benar. "Terdapat pula pihak Pejabat Menteri Besar mendakwa berlaku kesilapan kerana perkara itu berlaku semasa pentadbiran BN," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu. Tetapi bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor mendedahkan bahawa semasa diserahkan kepada pengurusan baru pada 2008, dalam akaun badan itu ada RM80 juta. Bagaimana dalam tempoh tiga tahun berlaku defisit. Hasil laporan audit itu turut mengesan banyak perbelanjaan yang tidak mengikut prosedur dan tanpa perancangan sehingga Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta. Antaranya salah laku pemberian elaun-elaun yang tidak patut dibayar kepada Ahli Mesyuarat. Malah antara tindakan yang menunjukkan tadbir urus korporat yang tidak baik pula ialah seramai 18 warga kerja berhenti kerja dan 50 lagi ditukar antara Mac hingga November 2010. Jika Menteri Besar mengikut keputusan panel temu duga dahulu mungkin perkara kerugian ini tidak berlaku. Jadi penubuhan panel temu duga itu hanya semata-mata untuk 'main wayang' sahaja. Lebih baik Menteri Besar guna kuasanya sahaja untuk melantik kroni. Tertanya-tanya apa tujuan dan kenapa Khalid tubuh panel temu duga itu? "Hakikatnya, kalau kerajaan PKR Selangor hendak mengurus sebuah yayasan pun tak pandai bagaimana pula mentadbir sebuah negeri?" kata Noh. Sebab itu dapat dilihat di Selangor tidak nampak apa-apa pembangunan dilaksanakan kerajaan campuran pembangkang. Sebaliknya mereka senang-senang hendak menyalahkan Kerajaan Persekutuan pula kononnya tidak memberi peruntukan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan