Utusan Online - Rencana |
Posted: Rakyat masih perlu perubahan
PERTEMUAN dengan TUN DAIM ZAINUDDIN berlangsung Rabu lalu. Banyak isu dan kontroversi dibangkitkan sepanjang 'perbualan'. Ada yang boleh ditulis, banyak juga yang perlu disimpan. Seperti kebiasaan Daim tenang menjawab setiap soalan. Tumpuan kepada setiap butir percakapannya mestilah seratus peratus lantaran nada suaranya tidak berubah - sama ada teruja, tegas mahu pun ketika detik mencuit hati. Yang pasti bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas itu tetap segak biar pun mencecah usia 73 tahun. Penampilan juga ringkas - berbaju batik dan berselipar dengan gaya amat santai. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, Zin Mahmud, Mowardi Mahmud, Noraini Abd. Razak, Ainul Asniera Ahsan dan Hafizahril Hamid, dan jurugambar ISMAIL KAMADIN, Daim memberitahu, beliau sentiasa mencatatkan perkara-perkara penting sepanjang dalam Kabinet dan juga dunia politiknya. Adakah itu bermakna akan lahir memoir Daim tidak lama lagi, beliau hanya tersenyum sambil berkata: ''Ramai yang bertanya dan menunggu memoir saya.'' MINGGUAN: Apa perkembangan terbaru Tun sekarang memandangkan sudah agak lama menyepi dari arena politik negara? TUN DAIM: Sibuk macam biasa juga. Walaupun tidak bertugas dengan kerajaan, saya masih sering bertemu para pelabur asing baik yang datang ke sini atau yang di luar negara, membantu mereka di mana perlu supaya negara kita tetap kelihatan dalam radar pelaburan mereka. Sejak berlaku krisis kewangan dunia saya banyak meluangkan masa di negara Teluk. Krisis kewangan itu menyebabkan mereka yang tidak menjadi mangsa mencari tempat pelaburan yang lebih stabil dan selamat seperti negara kita. Pelabur kita pula cari peluang baru di Afrika. Ramai pelabur dari China dan India di Afrika. Satu ketika dahulu, Malaysia pelabur nombor tiga terbesar di Afrika. Apa komen mengenai pandangan oleh Tun Dr. Mahathir mengenai Tun dalam bukunya A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad? TUN DAIM: Soalan ini paling susah hendak dijawab. Patut minta orang lain beri pandangan. Secara jujur dan terus terang, saya berasa totally embarrassed dan humbled dalam erti terharu, terpegun, tersentuh hati dan amat rendah diri. Saya tak pernah jangka Tun Dr. Mahathir sanggup berterus terang begini. Saya juga sangat berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana memberi penjelasan yang terang dan candid mengenai tindakan-tindakan saya yang pernah menjadi tanda tanya sewaktu saya menjadi Menteri. Saya berasa sangat bertuah kerana dapat peluang bekerja dengan seorang negarawan yang terbilang. Bagaimana pandangan Tun mengenai perkembangan politik tanah air? TUN DAIM: Keadaan politik kita secara keseluruhannya, bertambah tenang. Rakyat nampaknya semakin matang dalam hal-hal politik. Kebijaksanaan rakyat dalam membuat penilaian politik semakin jelas dan ini bermakna harapan dan aspirasi kita untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi Malaysia bukanlah satu impian kosong. Usaha Dauk Seri Najib, sejak menjadi Perdana Menteri, untuk membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah faktor utama yang menenangkan keadaan itu. Saya lihat Datuk Seri Najib sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf keselesaan hidup rakyat terutama bagi golongan rendah pendapatan dan miskin. Setiap warga kita berhak hidup dalam keadaan aman, selesa, bebas dan makmur. Mereka mahu kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab. Dan bagi majoriti rakyat, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan kemudahan-kemudahan asas, peluang ekonomi yang adil, keamanan, keselamatan dan kebebasan. Contohnya, baru-baru ini pun Perdana Menteri melancarkan program bantuan memiliki rumah pertama bagi golongan yang belum mempunyai rumah. Ini satu skim yang wajar dan penting. Memang setiap keluarga ingin mempunyai rumah sendiri. Dan kerajaan patut membantu setiap keluarga tanpa rumah memiliki rumah. Rumah adalah harta dan aset ekonomi bagi setiap keluarga. Kerana ia skim baru, pasti ada beberapa kekurangan. Misalnya, bantuan kerajaan dari segi kewangan itu akan jadi tak bermakna jika harga rumah terus melipatganda lebih cepat dari peningkatan gaji para pekerja. Jadi bagaimana kerajaan hendak halang atau mitigate supaya perkara itu tidak jadi begitu? Dan jika berlaku juga bagaimana kita hendak alas supaya impak ke atas golongan sasar tidak terlalu perit? Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Anwar Ibrahim, masa depan pembangkang dan politik Timur Tengah Posted: Anwar Ibrahim, masa depan pembangkang dan politik Timur TengahBagaimana Tun melihat Datuk Seri Anwar sejak beliau menyertai politik dan masa depan sebagai pemimpin pembangkang serta kes liwat yang dihadapinya? TUN DAIM: Tun Dr. Mahathir membawa Anwar masuk UMNO di awal tahun 1982, sebaik saja beliau menjadi Perdana Menteri. Sejak itu saya kenal Anwar. Ini kerana Tun Dr. Mahathir menyokong Anwar di semua segi, Anwar naik dengan mendadak dalam kerajaan, dari Timbalan Menteri hingga Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dalam jangka kira-kira 10 tahun saja. Dalam UMNO pula dia naik dari Ketua Pemuda UMNO hingga ke Timbalan Presiden pada jangka masa yang sama. Semua ini termungkin kerana Tun Dr. Mahathir melihat Anwar sebagai calon utama untuk ganti beliau bila tiba waktunya. Jadi ketika itu seluruh jentera di belakang Presiden UMNO juga bergerak serentak menyokong Anwar. Tanpa Tun Dr. Mahathir dan jentera UMNO di belakangnya, Anwar tak mungkin menjadi Timbalan Presiden parti. Apa yang berlaku sehingga beliau dipecat daripada UMNO bukan satu konspirasi politik. Teori konspirasi politik itu sengaja dicipta Anwar kerana mahu dirinya dilihat sebagai 'The Fall Guy, iaitu insan yang dianiayai guna meraih simpati serta sokongan bagi menutup hakikat kecacatan peribadi sendiri. Pada pengamatan ramai, Anwar tak menunjukkan kebolehan luar biasa sebagai pentadbir. Tidak nampak sebarang 'reformasi' di mana-mana kementerian yang dipegangnya ketika menjadi Menteri. Kehebatannya lebih kepada seorang, yang pintar berpidato bagi membakar semangat dan emosi khalayak walaupun isi ucapan cuma igauan politik saja. Berdasarkan ini, sekarang ini rakyat tak yakin Anwar boleh jadi pemimpin yang berkesan, meskipun setelah kesnya di mahkamah selesai. Apakah pakatan pembangkang masih lagi relevan atau semakin kehilangan arah? TUN DAIM: Pakatan Rakyat, saya pernah berkata, hanyalah satu konspirasi politik. Saya lihat kumpulan ini tak akan dapat capai kata sepakat dalam hal penting mengenai kebaikan negara kerana masing-masing parti taksub kepada pendirian dan prinsip sendiri. DAP itu parti chauvinis kecinaan, PAS pula perguna Islam, bukan sebagai ad-Din tapi sebagai topeng politik untuk mengabui mata orang-orang Melayu di kampung. PKR hidup kerana Anwar dan untuk Anwar. Tanya kawan Anwar, mereka kata Anwar pakai macam-macam topeng sejak masih di universiti. Waktu dia jadi pelampau bahasa Melayu, bahasa Inggeris diketepikan hingga ramai anak kita yang lahir selepas tahun 1969 hilang kompetensi dalam bahasa Inggeris. Dalam dunia globalisasi, Internet dan teknologi komunikasi sekarang, kekurang fasihan warga kita dalam bahasa Inggeris adalah satu kemunduran. Tapi sekarang ini Anwar menjadi pejuang multi-culturalism dan 'liberalisme utopia' pula, sehingga ada di kalangan mereka mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu. Sikap dan tindakan politik begini yang menggadai segala harga diri, maruah, martabat dan prinsip untuk mendapat sokongan tertentu mengingatkan kita kepada watak utama drama Christopher Marlowe, Dr Faustus. Bukan saja Pakatan Pembangkang tak mempunyai asas politik yang kukuh, dalam parti pun PKR terus bergelumang masalah. Bolehkah PKR menjadi teras kepada kumpulan ini dan bolehkah pakatan begini meyakinkan rakyat yang ia boleh menjamin masa depan bangsa dan negara lebih baik daripada UMNO dan BN yang sudah membina negara seadanya selama lebih 50 tahun? Dalam setiap demokrasi berparlimen, perlu ada parti pembangkang. Jadi dari segi relevansi, ya, pembangkang itu relevan setiap masa. Bukan pembangkang yang bangkang-bangkangan semata, yang menolak semua usaha kerajaan walaupun usaha itu jelas memberi faedah kepada rakyat. Pembangkang yang relevan ialah yang menjadi check and balance kepada kerajaan, yang tidak chauvinistic dan tidak berpandangan sempit (tunnel vision), yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Jika kita perhati kepada keadaan parti pembangkang sekarang, jelas mereka tidak hilang arah. Cuma, masing-masing ada arah sendiri. Mereka mengamalkan prinsip kahwin monyet (marriage of convenience). Mereka juga mencedok format BN tapi secara setengah jalan saja, bukan sepenuhnya. Ini bukan satu alternatif yang unggul bagi rakyat. Parti pembangkang di luar yang ingin mengambil alih kerajaan ada "shadow cabinet. Mana shadow cabinet Pakatan Rakyat? Jika mereka benar-benar jujur ingin menjadi parti alternatif, mengapa tidak bubar semua parti dalam pakatan dan tubuh satu parti saja yang dianggotai rakyat semua kaum? Berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku di negara timur tengah, bagaimana Tun melihat kesannya dari segi geopolitik, kebebasan dan hak asasi serta mungkin sebagai kuasa baru kebangkitan ekonomi? TUN DAIM: Saya rasa masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai situasi di Timur Tengah ini. Bagi negara-negara yang bergolak seperti Tunisia, Mesir, Yemen, Bahrain dan Maghribi, proses perubahan dan peralihan masih berterusan. Tapi setakat yang dapat kita baca sekarang, lanskap politik di sana akan berubah. Bagaimana bertukarnya tergantung kepada siapa atau pihak mana akhirnya yang akan menguasai kerajaan di negara-negara itu. Apabila semua keadaan di sana tenang semula, saya jangka persoalan negara bebas untuk Palestin akan menjadi agenda utama. Kita harap persoalan itu dapat diselesaikan segera supaya sebuah negara Palestin yang berdaulat dapat dilahirkan. Dan jika salah satu punca utama keresahan rakyat di Timur Tengah iaitu Palestin jadi reda, potensi negara-negara Teluk dan lingkungan Arab itu, baik dari segi politik ataupun ekonomi, akan lebih terserlah. Soal kebebasan dan hak asasi manusia, saya kira bukan penyebab utama kepada pergolakan di Timur Tengah. Yang lebih penting ialah soal kelembapan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan serta kurangnya infrastruktur yang asas dan moden. Revolusi bermula dari Tunisia. Sebelum krisis kewangan, Tunisia tidak menghadapi apa-apa masalah. Rakyat sanggup mengorbankan kebebasan, hak asasi manusia, dan sebagainya. Selagi ekonomi kukuh. Apabila ekonomi menurun, kebanyakan rakyat kehilangan pekerjaan. Sebelum ini, mereka boleh berlari ke Eropah tetapi sekarang pintu itu sudah tertutup. Mereka harus hidup untuk mengisi perut yang kosong. Tetapi apabila mereka melihat pemimpin, isteri dan keluarga mereka hidup dengan penuh mewahnya dengan mengguna jet persendirian untuk membawa makanan dari Eropah dihidangkan kepada sahabat handai, mereka tidak dapat menerima pembaziran dan juga kemewahan di hadapan mereka. Pemimpin dan keluarga tidak peduli kesengsaraan disekeliling mereka dan tidak membantu sehingga rakyat membangun memberontak. Sama juga dengan Mesir dan Libya. Negara telah menjadi hak peribadi di mana pertukaran kuasa pemimpin-pemimpin hendak serahkan kepada anak-anak mereka. Kita ingin melihat Timur Tengah bertukar menjadi lebih baik dan pemimpin-pemimpin berkhidmat kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan Amerika Syarikat. Diktator-diktator ini hidup dengan bantuan dari Amerika yang telah memberi rasuah supaya Israel selamat di atas kesengsaraan rakyat Palestin. Tetapi bagi Malaysia, kita kena melihat dari sudut ekonomi. Harga minyak akan naik buat masa terdekat. Inflasi akan berlaku. Kita harus bersiap sedia kerana ini akan melembapkan pertumbuhan ekonomi. Ini lebih mustahak kepada kita. Kerajaan harus merancang supaya rakyat tidak merana. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan