Utusan Online - Muka Hadapan |
- Sukan dijadikan bidang penting
- Program Antara Dua Garisan erat hubungan Malaysia-Indonesia
- Sultan Kelantan murka
Sukan dijadikan bidang penting Posted: Sukan dijadikan bidang pentingOleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan AIZAWATI AHMAD
KUALA LUMPUR 20 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan amat komited dalam memastikan sukan menjadi bidang penting dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia. Perdana Menteri berkata, ini kerana sebagai sebuah negara yang masih muda, bidang sukan memainkan peranan yang utama dan istimewa dalam proses membangunkan Malaysia. "Sukan menjadi penghubung kepada pelbagai budaya, kaum dan agama berbeza yang membentuk satu masyarakat Malaysia yang bersatu-padu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Antarabangsa Perubatan Sukan dan Latihan anjuran Persekutuan Antarabangsa Perubatan Sukan dan Latihan (FIMS) dan Persatuan Perubatan Sukan dan Latihan Malaysia (SSEMM) di sini hari ini. Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden FIMS, Dr. Fabio Pigozzi dan Presien SSEMM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Mydin Mohd. Musa. Najib berkata, hasil komitmen kerajaan dalam bidang sukan, negara yang masih muda ini kini sudah menerima 'dividennya' apabila lebih ramai jaguh sukan berjaya dilahirkan seperti ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei serta kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan negara yang memenangi kejohanan besar di luar negara baru-baru ini. Najib berkata, di peringkat peribadi, beliau sendiri sebenarnya sangat mempercayai kuasa sukan sejak kali pertama dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1986. "Sejak itu dan sehingga kini, saya tetap komited dalam membina budaya sukan di negara ini yang melangkaui semua golongan dan pelbagai peringkat kehidupan masyarakat. "Tetapi sudah pasti segala usaha dalam perkembangan sukan di negara ini dan atlet kita mesti selari dengan banyak usaha pembangunan dalam bidang ini terutamanya dari aspek perubatan, nutrisi dan sokongan sains," katanya. Katanya, Malaysia amat bertuah dengan kewujudan Institut Sukan Negara (ISN) yang dilengkapi dengan teknologi perubatan dan peralatan sukan terkini bagi usaha membina budaya sukan yang terbaik. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Program Antara Dua Garisan erat hubungan Malaysia-Indonesia Posted: Program Antara Dua Garisan erat hubungan Malaysia-Indonesia
KUALA LUMPUR 20 Mac - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini melancarkan Antara Dua Garisan yang merupakan program penerbitan televisyen hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, program yang akan ditayangkan Jun ini itu akan mengupas secara terperinci tentang dasar-dasar negara melibatkan pembangunan ekonomi sejagat. "Stesen televisyen TVRI dan Metro TV Indonesia telah bersetuju melaksanakan program Antara Dua Garisan INI. "Sehingga kini, lapan timbalan menteri Malaysia dan Indonesia serta enam menteri dan tokoh negara Malaysia-Indonesia telah memberi komitmen untuk rancangan ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di sini malam ini. Program selama 30 minit yang akan memulakan penggambaran bermula esok itu dijayakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia-Indonesia dan bakal disiarkan selama 12 bulan di stesen televisyen yang terpilih di kedua-dua belah negara. Siri pertama program Antara Dua Garisan akan menyiarkan wawancara membabitkan menteri dan ketua menteri dari Malaysia serta temu bual rakyat kedua-dua negara mengenai sesuatu isu. Azwanddin berkata, diharap program itu dapat memberi penjelasan yang lebih tepat mengenai sesuatu perkara khususnya isu sensitif yang sebelum ini rakyat disogok dengan maklumat negatif oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Sakhyan Asmara berkata, Indonesia menyambut baik program itu kerana ia bertujuan mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara Malaysia-Indonesia. Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab bersama kepada rakyat kedua-dua negara untuk mengeratkan hubungan Malaysia-Indonesia yang diibaratkan sebagai abang dan adik. "Kita mempunyai banyak persamaan budaya dan masalah yang dihadapi itu boleh diselesaikan supaya kita dapat terus berdampingan untuk selamanya," katanya. | ||
Posted: Sultan Kelantan murkaOleh AZRAN FITRI RAHIM
KOTA BHARU 20 Mac - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V amat dukacita dengan tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai seorang lelaki yang mendakwa berketurunan Long Yunus kerana mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran 'Datuk kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu. Kekecewaan baginda itu diumumkan oleh Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini hari ini. Sukri berkata, pihaknya telah membuat tiga laporan polis terhadap NGO terbabit sejak tahun lalu kerana tindakan tersebut menyalahi undang-undang. Katanya, ada di antara penerima terbabit sanggup membayar ratusan ribu ringgit kepada NGO tersebut bagi mendapatkan gelaran 'Datuk' kurniaan darjah kebesaran. "Untuk mendapatkan gelaran "datuk" ada penerima yang sanggup membayar RM150,000. Terbaru pertubuhan itu telah mengadakan majlis penganugerahan di sebuah hotel di sini pada minggu lalu. "Mengikut Perkara 43 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Sultan Kelantan adalah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam negeri ini dan baginda sahaja yang boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan. "Berikutan itu mana-mana pihak selain Sultan Kelantan tidak boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran dan tidak boleh mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan," katanya. Tambahnya, semua pihak terutama rakyat dari luar Kelantan harus menyedari tiada sesiapa dari negeri selain daripada Sultan Muhammad Ke-V yang layak mengurniakan darjah kebesaran bagi mengelakkan terus ditipu. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada mereka yang terlibat di dalam majlis penganugerah darjah oleh pertubuhan berkenaan. "Ia masih dalam siasatan namun tiada sebarang tangkapan dibuat dan kita sedang merekod kenyataan daripada mereka yang terlibat," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan