Sabtu, 5 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Terengganu Hanelang buru kejayaan

Posted:

Terengganu Hanelang buru kejayaan

Terengganu Hanelang buru kejayaan

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my


Barisan atlet bergambar kenangan pada pelancaran Kontinjen Sukma Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 4 Mac - Ada yang berpendapat bahawa garis memisahkan antara kemenangan dengan kekalahan adalah ukuran semangat.

Semangat itulah yang kini menjarakkan Terengganu dengan pencapaian negeri lain dalam bidang sukan sejak tahun 2008 setelah muncul sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma).

Ia disusuli sekali lagi tahun lalu yang menepis anggapan ia bukan sekadar jaguh kampung malah jaguh-jaguhnya dalam beberapa bidang telah mula mengharumkan nama negara dan menjadi kebanggaan.

Semangat itu masih terus membara dan diperlihatkan dalam perhimpunan pelancaran kontinjen Terengganu dengan tekad mengulangi kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukma ke-14 di Kuala Lumpur Jun nanti.

Tag 'Terengganu Hanelang' (handalan) sebagai slogan mengukuhkan semangat dengan maskot penyu belimbing yang menceriakan sebagai simbol negeri turut dilancarkan di sini baru-baru ini.

Kontinjen itu akan diterajui oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda yang selama ini memberi perhatian pembangunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri yang terletak di bawah kawalan beliau.

Malah, beliau adalah antara pengasas kepada penubuhan pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang mula beraksi di persada dunia.

Bagi membuktikan mereka benar-benar handal, Terengganu menyasarkan 24 pingat emas daripada 20 acara yang dipertandingkan pada temasya itu nanti dengan tumpuan kepada acara kanu dan berbasikal.

Kedua-duanya membekalkan atlet yang telah beraksi cemerlang di peringkat negara dan antarabangsa dengan kanu disasarkan mengagihkan 10 emas manakala berbasikal empat emas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran pungutan pingat emas itu berdasarkan jumlah acara yang dipertandingkan.

Katanya, pencapaian atlet Terengganu sewaktu beraksi di luar negeri ini termasuk kejayaan pada Sukma di Melaka tahun lalu menjadi penanda aras kepada misi memburu kejuaraan kali ketiga.

Terengganu yang disertai 246 atlet serta pegawai akan bersaing dalam 16 daripada 20 acara pada temasya selama 10 hari itu termasuk bina badan, bola jaring, bola baling, futsal, judo, kabaddi, kanu, lawan pedang, ping pong, ragbi, tenis dan sofbol.

Daripada sebuah pasukan yang kerap dilihat sekadar melengkapkan jumlah penyertaan, pencapaian dalam dua temasya dahulu meletakkannya sebagai sebagai kuasa baru sukan negara.

Pencapaian ini bertitik tolak daripada landasan awal yang disediakan sejak 2006 oleh kerajaan negeri bagi merangka dan menterjemahkan pendekatan berpadu dengan kewangan bagi menjayakannya bukan lagi suatu kekangan.

Sukan bukan lagi dilihat sebagai kegiatan riadah mengisi waktu luang atau kecergasan tetapi memburu kemenangan yang membanggakan, melonjakkan pencapaian diri sendiri dalam kehidupan dan kerjaya.

Jumlah simbol jati diri, kecintaan kepada negeri, suatu jasa yang dinilai penuh penghormatan apabila mengharumkan nama negeri dan negara.

Terengganu merangka gerak tersusun termasuk menyediakan pelan perodiasasi latihan masing-masing yang dirangka bersama pakar daripada Majlis Sukan Negara dan universiti tempatan.

Program pengukuhan semangat, latihan dan pendedahan melalui pertandingan luar negeri diberi perhatian manakala pelantikan pengurus pasukan dilakukan lebih awal bagi membantu memperkemaskan persiapan pasukan.

Peranan jawatankuasa antara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan persatuan sukan melalui jawatankuasa kerja yang telah menyelesaikan banyak masalah berkaitan birokrasi.

Selain itu, penambahbaikan struktur MSNT dengan penekanan kepada teras dan caretaker, iaitu peranan pegawai perhubungan sukan di setiap jenis sukan serta program pemantapan kerohanian yang diadakan dari semasa ke semasa.

Program penyediaan atlet terus dirangka bersama usaha menambah baik yang mana perlu seperti memperkemaskan mekanisme pemantauan latihan saban tahun.

Bagi merangsangkan lagi tekad ke arah kecemerlangan, Terengganu satu-satunya negeri yang menyediakan peruntukan paling besar setiap tahun sebagai ganjaran kepada anak negeri yang berjaya dalam pelbagai acara sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terbaru, hampir RM100,000 diperuntukkan untuk Insentif Skim Kemenangan (Shake) dan Insentif Skim Wakil Negara (Swara) kepada 18 atlet dalam acara lumba basikal, skuasy, hoki lelaki, hoki wanita, sepak takraw, ragbi dan angkat berat.

Ini termasuklah ikon sukan berbasikal, Mohd. Azizulhasni Awang penerima ganjaran tertinggi yang berjumlah RM15,000 dengan pencapaian pingat gangsa di Sukan Komanwel (RM5,000) dan RM10,000 untuk emas yang dimenangi di peringkat Asia.

Sementara itu, Mohd. Nafiizwan Adnan, atlet skuasy memperoleh RM6,500 bagi insentif mewakili negara dalam Sukan Komanwel (RM1,500) dan RM5,000 lagi kerana memenangi perak dalam Sukan Asia.

''Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghargai jasa dan pengorbanan atlet dengan menyediakan insentif yang setimpal dengan kejayaan yang sudah dihasilkan.

''Malah, ia terbukti melalui pelbagai skim dan pengiktirafan yang disediakan kepada atlet sebaik sahaja mereka melakarkan kejayaan," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penerima bantuan mesti jujur

Posted:

Penerima bantuan mesti jujur

Penerima bantuan mesti jujur

MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 4 Mac - Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM7.7 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan bagi membantu golongan miskin di negeri ini pada tahun lalu.

Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik berkata, bantuan itu membabitkan 31,232 penerima pelbagai kategori termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Kita mengharapkan bantuan itu dapat dimanfaatkan secara jujur oleh penerima, dengan rasa penuh keinsafan, bertanggungjawab serta amanah, bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

"JKM sedaya upaya ingin membantu semua golongan miskin mengikut kadar yang mampu, tapi sikap tidak amanah itu telah menyekat usaha JKM membantu golongan miskin lain yang lebih layak," katanya di sini malam tadi.

Md. Noor turut kecewa dengan sikap segelintir golongan miskin yang enggan mendedahkan status terkini mereka bagi mengelak bantuan ditarik balik.

"Setakat ini belum ada penerima bantuan yang tampil memaklumkan status terkini mereka.

"Mungkin bimbang bantuan akan disekat kalau bertindak demikian, sedangkan status terkini mereka telah berubah di mana kebanyakannya sudah bekerja dan memiliki pendapatan mencukupi serta tidak layak menerima bantuan lagi.

"Pihak JKM sedar ada yang tidak lagi layak menerima bantuan, tetapi tidak memaklumkannya kepada kami," katanya kesal.

Md. Noor berkata, rasa tanggungjawab untuk memaklumkan status terkini mereka sepatutnya ada dalam diri setiap penerima bantuan.

Beliau berkata, penerima bantuan JKM perlu menyedari perkara itu penting untuk semua pihak terutama individu yang lebih memerlukan pertolongan.

Ditanya sama ada JKM akan menarik balik bantuan individu yang menyembunyikan status sebenarnya, Md. Noor berkata, jabatan mempunyai mekanisme tertentu sebelum tindakan selanjutnya dibuat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

420 pelajar sertai majlis khatam al-Quran anjuran Penawar

Posted:

420 pelajar sertai majlis khatam al-Quran anjuran Penawar

420 pelajar sertai majlis khatam al-Quran anjuran Penawar


Fauziah Abdul Latiff (tengah) menyampaikan hadiah kepada pelajar yang khatam al-Quran di Madrasah Tok Ayah Omar, Rantau Panjang, semalam.


RANTAU PANJANG 4 Mac - Seramai 420 pelajar perempuan di negeri ini menyertai Majlis Khatam al-Quran anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kelantan (Penawar).

Pengerusi Biro Agama Penawar, Fauziah Abdul Latiff berkata, majlis khatam itu diadakan secara berperingkat mengikut kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bermula hari ini.

Beliau berkata, seramai 30 pelajar menengah dan rendah akan terlibat pada setiap majlis khatam itu yang diadakan dalam usaha menyemarakkan penghayatan al-Quran di kalangan generasi muda.

"Kita berharap, selepas khatam, pelajar terbabit akan terus meningkatkan ilmu mereka dan menyampaikannya pula kepada rakan-rakan atau kaum keluarga yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatam al-Quran Peringkat Parlimen Rantau Panjang di Madrasah Tok Ayah Omar di sini hari ini.

Seramai 30 pelajar perempuan mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Meranti dan Bukit Tuku menyertai majlis itu. Majlis itu turut meraikan ibu dan guru al-Quran pelajar terbabit.

Fauziah turut memberitahu, majlis khatam al-Quran itu diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul bagi memberi peluang kepada pelajar berkenaan khatam beramai-ramai dan mendapat restu daripada guru dan ibu mereka.

"Pembacaan al-Quran akan membentuk peribadi pelajar terbabit untuk menjadi anggota masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara," katanya.

Sementara itu, guru al-Quran, Hamidah Daud, 53, berkata, majlis itu memberi peluang kepada pelajar untuk khatam al-Quran secara beramai-ramai dalam satu majlis formal.

Dia yang mengajar al-Quran lebih 20 tahun, berkata, tidak ramai ibu bapa mampu membuat majlis khatam al-Quran yang suatu ketika dahulu menjadi tradisi masyarakat tempatan.

"Inisiatif Penawar ini setidak-tidaknya memberi kepuasan kepada ibu-ibu dan anak-anak mereka yang telah khatam al-Quran," katanya yang mempunyai 30 orang pelajar.

Suri rumah, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, pula berkata, dia berpuas hati dapat menjalankan tanggungjawab iaitu mengajar anak-anaknya membaca al-Quran sehingga khatam.

Katanya, dia akan menyerahkan pula anak-anaknya itu kepada guru al-Quran bagi membolehkan mereka mendalami lagi bacaan dan ilmu tersebut.

"Di harap, mereka akan menjadikan membaca al-Quran amalan sehingga akhir hayat kerana ia sangat dituntut oleh agama," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan