Selasa, 1 Mac 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Skandal PKFZ: Kong Choy pula didakwa

Posted:

Skandal PKFZ: Kong Choy pula didakwa

Skandal PKFZ: Kong Choy pula didakwa

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my


CHAN Kong Choy ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Putrajaya, semalam bagi menghadapi tuduhan menipu Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


PUTRAJAYA 28 Feb. – Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menipu Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan kos pembangunan hampir RM1.9 bilion, kira-kira tujuh tahun lalu.

Kong Choy, 55, didakwa menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) selaku pemaju siap guna (turn-key developer).

Fakta-fakta yang disembunyikan ialah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui tiga syarikat berlainan dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan.

Abdullah selaku Perdana Menteri (ketika itu) tidak akan memberikan persetujuan jika fakta-fakta tersebut dimaklumkan kepada beliau.

Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan kes disebut pada 31 Mac ini.

Kong Choy merupakan bekas menteri Kabinet kedua diheret ke mahkamah berhubung skandal PKFZ di Pelabuhan Klang (dahulu dikenali sebagai Mega Distribution Hub) selepas Tun Dr. Ling Liong Sik serta beberapa individu lain didakwa.

Liong Sik kini menunggu dibicarakan kerana dakwaan menipu Jemaah Menteri melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.

Kong Choy yang diiringi pegawai-pegawai polis tanpa digari dilihat memeluk isteri, Puan Sri Ann Chan serta seorang anak perempuannya ketika tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 2.05 petang.

Bekas menteri kanan itu dibawa keluar dari pekarangan mahkamah oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas dibebaskan dengan jaminan RM1 juta kira-kira pukul 4.35 petang.

''Saya terkejut dengan pendakwaan ini namun yakin dengan sistem kehakiman negara. Saya akan melaluinya (perbicaraan) demi membersihkan nama,'' ujarnya ringkas kepada pemberita sebaik sahaja diikat jamin.

Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju agar jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dikenakan terhadapnya.

Beliau yang hadir bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup memohon tarikh sebutan bagi membolehkan beberapa perkara berbangkit dikenal pasti demi mengelakkan isu-isu yang tidak berkaitan ditimbulkan ketika perbicaraan.

Bekas Menteri Pengangkutan itu diwakili peguam-peguam Arthur Wang, Azad Bashir dan Badrul Munir Bukhari.

Bagi tuduhan pertama, Kong Choy didakwa menipu Abdullah sehingga bekas Perdana Menteri itu bersetuju agar kelulusan diberikan bagi projek pembangunan Transshipment Hub di Pulau Indah Free Zone.

Ia meliputi kawasan seluas 404.7 hektar dan dibangunkan dalam fasa berasingan dengan anggaran kos kira-kira RM1 bilion.

Fakta yang didakwa disembunyikan ialah kos pembangunan akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui syarikat Transshipment Megahub Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 24 Februari dan 25 Februari 2004 di Pejabat Perdana Menteri.

Tuduhan kedua, Kong Choy didakwa memperdayakan Abdullah sehingga bekas Perdana Menteri bersetuju agar kelulusan diberi kepada KDSB untuk melaksanakan kerja- kerja pembangunan tambahan bagi projek PKFZ iaitu:

* Menaik taraf simpang masuk ke PKFZ berjumlah RM285.38 juta.

* Kerja-kerja infrastruktur elektrik berjumlah RM135 juta.

* Pembangunan hotel kelas perniagaan berjumlah RM90 juta.

Fakta yang didakwa disembunyikan ialah kos pembangunan akan dibiayai menerusi terbitan bon oleh KDSB melalui syarikat Valid Ventures Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 11 Oktober dan 28 Oktober 2005 di tempat yang sama.

Tuduhan ketiga, Kong Choy didakwa memperdayakan Abdullah sehingga beliau bersetuju agar kelulusan diberi kepada KDSB untuk melaksanakan lima fasa pembangunan tambahan bagi projek PKFZ iaitu:

* Kerja-kerja membina parit konkrit (concrete trenching) untuk kabel elektrik berjumlah RM140.2 juta.

* Kerja-kerja elektrikal untuk bekalan 33 kv ke Presint 2 dan Presint 8 berjumlah RM80 juta.

* Kerja-kerja infrastruktur PMU untuk PKFZ berjumlah RM30 juta.

* Pembinaan jalan menghubungkan PKFZ ke Pelabuhan Barat berjumlah RM28.1 juta.

* Pembinaan jalan menghubungkan laluan masuk utama ke PKFZ dengan CT4 Pelabuhan Barat berjumlah RM57.5 juta.

Fakta yang didakwa disembunyikan bahawa kos pembangunan akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB menerusi syarikat Free Zone Capital Bhd.

Kesalahan didakwa dilakukan di antara 28 Mac dan 29 Mac 2006 di tempat serupa.

Bekas menteri Kabinet itu didakwa bagi ketiga-tiga tuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Projek PKFZ yang dibina di atas kawasan seluas 400 hektar sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Berikutan itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang mengadakan siasatan telah memperakukan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis melakukan siasatan selepas mendapati beberapa perkara yang dibuat tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hari terakhir bayar saman kelam-kabut

Posted:

Hari terakhir bayar saman kelam-kabut

Hari terakhir bayar saman kelam-kabut


ORANG ramai berebut-rebut untuk mendapatkan angka giliran bagi membayar saman trafik potongan 50 peratus di Pejabat Pos Malaysia, Jalan Merdeka, Kuching, Sarawak, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Hari terakhir bayaran saman trafik di seluruh negara hari ini bertukar kelam-kabut apabila sistem dalam talian yang digunakan untuk urusan itu tergendala, ekoran penggunaan yang melebihi kapasiti.

Situasi itu menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu serta beratur panjang berjam-jam lamanya untuk menyelesaikan urusan pembayaran tersebut sama ada di kaunter trafik di balai dan ibu pejabat polis daerah mahupun di pejabat-pejabat pos di seluruh negara.

Bagaimanapun, Ketua Trafik Pasukan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof (gambar) ketika dihubungi memaklumkan, sistem bayaran itu tidak lumpuh mahupun mengalami kerosakan, cuma ia menjadi perlahan berikutan penggunaannya yang terlalu tinggi hari ini.

"Berikutan masalah yang dihadapi itu, pihak polis membuat keputusan melanjutkan waktu pembayaran saman yang sepatutnya berakhir pukul 5 petang hari ini kepada pukul 12 tengah malam ini.

"Orang ramai boleh membayar saman di semua kaunter trafik di ibu pejabat polis daerah. Kita tetap menerima bayaran walaupun nombor giliran telah habis sejak petang ini," katanya di sini hari ini.

Namun begitu, Utusan Malaysia difahamkan, sistem yang tergendala itu menyebabkan pihak polis terpaksa mengutip bayaran saman secara manual iaitu menerima bayaran terlebih dahulu hari ini dan proses dilakukan kemudian.

Kesemua saman yang dijelaskan hari ini dianggap telah dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz turut memberitahu, pihaknya telah mengutip sejumlah 875,836 saman di seluruh negara dalam tempoh enam hari dari Isnin lalu sehingga kelmarin.

"Jumlah saman itu adalah kutipan sepanjang enam hari sehingga Sabtu lalu. Ia tidak termasuk jumlah kutipan dua hari terakhir ini.

"Kutipan saman dijangka meningkat kerana ia belum termasuk kutipan semalam (Ahad) dan sehingga pukul 12 tengah malam ini," ujarnya.

Tempoh bayaran saman yang berakhir hari ini mungkin tidak dilanjutkan lagi oleh kerajaan memandangkan Kabinet telah memberi kelonggaran masa selama enam bulan untuk orang ramai berbuat demikian.

Namun, sehingga hari ini, masih ramai pengguna jalan raya menunggu saat-saat akhir untuk melunaskan bayaran saman dan langkah itu ternyata menyusahkan mereka apabila sebilangan besar pesalah trafik turut membuat tindakan demikian.

Itu menyebabkan keseluruhan cawangan trafik setiap balai polis serta pejabat pos sesak dengan kehadiran mereka yang menunggu seawal 7 pagi lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kaunter bayar saman trafik sesak di seluruh negara

Posted:

Kaunter bayar saman trafik sesak di seluruh negara

Kaunter bayar saman trafik sesak di seluruh negara


Seorang pembayar saman menunjukkan nombor giliran untuk menjelaskan bayaran saman trafik di kaunter pembayaran saman Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Sikap menunggu sehingga saat-saat akhir pengguna jalan raya bagi melunaskan bayaran saman sememangnya telah dijangkakan meskipun ramai yang sedia maklum akan berlaku kesesakan di setiap kaunter bayaran.

Pengguna kenderaan yang mempunyai saman sanggup menunggu di kaunter trafik dan pejabat-pejabat pos seawal pukul 7 pagi sedangkan mereka boleh melakukan perkara sama tanpa perlu beratur panjang sebelum ini.

Sikap ini menyebabkan mereka bukan sahaja terpaksa beratur panjang, malah perlu menunggu berjam-jam lamanya untuk membayar saman, ditambah lagi sistem perkhidmatan atas talian di kaunter-kaunter bayaran itu tergendala.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa cawangan trafik termasuk di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) serta kaunter Pos Malaysia mendapati suasana sama sahaja iaitu kesemuanya menanti nombor giliran mereka dipanggil.

Salah seorang pembayar saman, Azman Anuar, 40, memberitahu, dia hadir pada saat akhir membayar saman memandangkan gaji bulanan baru diterimanya hari ini.

"Hari ini kebetulan adalah hari gaji dan pada bulan ini sahaja, sumber pendapatan saya boleh digunakan untuk melangsaikan saman ini," katanya.

Bagi Najib Zulkifly, 39, pula, dia telah ke lima cawangan trafik sekitar ibu negara termasuk pejabat pos hari ini, namun kesemuanya dipenuhi oleh pengguna kenderaan yang mahu membayar saman.

"Nasib baik nombor giliran di kaunter Bukit Aman masih belum habis, kalau tidak, saya terpaksa membayar saman dengan kadar baru nanti," ujarnya.

Tinjauan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pula mendapati, mesin tiket nombor giliran terpaksa diberhentikan kira-kira pukul 11.30 pagi sekali gus membuatkan orang ramai tidak berpuas hati.

Salah seorang pembayar saman, R. Shree, 65, berkata, dia kesal dengan keadaan itu dan berharap pihak bertanggungjawab lebih bersedia dalam menghadapi situasi kelam-kabut yang sememangnya dijangka akan berlaku.

"Keadaan sesak seperti ini memang sudah dijangkakan namun pihak polis sepatutnya sudah bersedia lebih awal," katanya.

Wan Shari Ariffin, 45, pula berkata, polis sepatutnya menyediakan kemudahan yang khusus dan selesa kepada pembayar saman sementara menunggu nombor giliran mereka.

"Suasana sesak ini memang telah dijangka dan saya ingatkan polis menyediakan kaunter yang lebih banyak tetapi tidak," jelasnya.

Di Pejabat Pos Wangsa Maju turut kecoh apabila nombor giliran tidak berganjak sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Malah ada di antara mereka merayu agar kerajaan melanjutkan kembali tempoh pembayaran kerana masalah sistem yang didakwa tergendala.

"Saya berharap tempoh bayaran saman ini dapat dilanjutkan bagi memudahkan proses bayaran saman kerana sistem komputer tergendala dan itu bukan salah kami," kata pekerja swasta, Shaharudin Mohd Salleh, 45.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan