Selasa, 1 Mac 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Pakej tukar suami isteri

Posted: 28 Feb 2011 10:48 PM PST

JOHOR BAHRU: Pakej pelancongan sambil bertukar-tukar suami dan isteri. Begitu aktiviti seks bebas hujung minggu dikenali sebagai 'swinger' anjuran segelintir pelancong dari negara jiran yang kini cuba menjerat pasangan di bandar raya ini untuk menyertainya.

Pelancong terbabit yang dinaungi lebih 10 kelab maksiat di negara itu serta kelab antarabangsa cuba mempengaruhi pasangan suami isteri berpendapatan sederhana di bandar raya ini dengan apa yang dianggap gaya hidup moden itu, kononnya boleh meningkatkan keseronokan masing-masing.

Malah, pelancong terbabit sanggup mengumpan ganjaran tertentu termasuk membiayai percutian selain menyediakan kemewahan jika pasangan suami isteri tempatan sanggup memenuhi permintaan mereka.


Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan seorang ejen insurans di Taman Indahpura, dekat Kulaijaya, Arshad Mohd Ali, 27, yang mendakwa hampir terjebak selepas dipelawa sepasang suami isteri golongan profesional dari negara jiran berusia 30-an.

Arshad berkata, dia mengenali pasangan terbabit ketika membeli-belah bersama isterinya yang sebaya di sebuah pasar raya di bandar raya ini, akhir Oktober tahun lalu selepas tertarik sikap mesra mereka sebelum bertukar nombor telefon.


Katanya, dia tidak sangka hasrat murninya menjalin persahabatan dengan pasangan terbabit mendatangkan masalah apabila pasangan itu sendiri mendedahkan niat buruk mereka.


"Pasangan suami isteri dikenali sebagai Nin dan Sue yang masing-masing bekerja sebagai jurutera itu beria-ia berkunjung ke rumah kami pada pertengahan November tahun lalu hampir setiap hujung minggu selain tidak ketinggalan menghubungi dan mengajak kami beriadah.

"Mulanya, tindakan itu menyebabkan hubungan kami suami isteri dengan pasangan terbabit semakin akrab dan bagi menghargai persahabatan, kami memenuhi permintaan mereka dengan berkunjung ke rumah mereka di negara itu," katanya.


Arshad berkata, tembelang pasangan yang belum mempunyai anak itu mula terdedah selepas mereka menghantar SMS menghasut yang memintanya dan isteri mencuba aktiviti songsang itu.

Menurutnya, lebih mengejutkan, pasangan itu tanpa segan-silu mendedahkan identiti sebenar mereka yang turut menjadi ahli sebuah kelab seks di negara asal yang mahu menarik keanggotaan baru dalam kalangan penduduk negeri ini.


"Saya terkejut apabila menerima SMS daripada Nin dan pasangannya yang memberitahu mahu mengajak saya dan isteri ke Melaka untuk berseronok bersama-sama pada 6 Disember lalu.


"Mereka memberitahu mahu membiayai kos penginapan kami di hotel selain makan minum sepanjang percutian itu.


"Mereka yang mendakwa sudah bosan melayan nafsu pasangan masing-masing juga meminta kami mendaftar sebagai ahli kelab maksiat di negara mereka secepat mungkin bagi memulakan kehidupan baru yang konon menjanjikan keseronokan," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Arshad berkata, Nin memberitahunya pakej pelancongan yang mempromosi seks bebas itu bergerak melalui kelab maksiat konon bertujuan menyemarakkan semula hubungan seks yang suram dalam kalangan pasangan suami isteri dan setiap peserta akan bertukar pasangan masing-masing suka sama suka.


Katanya, ketika dia menghubungi lelaki itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai SMS berkenaan, jurutera itu cuba meracuni pemikirannya dengan menyatakan amalan itu sudah menjadi trend masyarakat moden seluruh dunia.


"Saya dan isteri bimbang dengan perlakuan sumbang pasangan itu dan dan lebih rela memutuskan persahabatan songsang yang terjalin daripada terus hanyut dalam dunia maksiat.


"Kami berharap dengan pendedahan ini pasangan suami isteri lain lebih berhati-hati dengan taktik pasangan warga asing itu kerana boleh menghancurkan kebahagiaan rumah tangga selain merosakkan akidah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dipenjara 3 tahun, denda RM4,000

Posted: 28 Feb 2011 11:29 AM PST

MELAKA: Seorang suri rumah, Noorlaili Mahat, 39, yang mendera anak tirinya dihukum penjara tiga tahun dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Muzila Mohamed Arsad ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, walau apapun pendirian diambil oleh ibu bapa dalam mendidik anak, mereka tidak patut memperlakukan kanak-kanak hingga mendatangkan kecederaan.


"Meskipun tertuduh mengatakan mangsa kanak-kanak hiperaktif, tidak patut dia dilakukan sebegitu. Mahkamah mendapati tiga kesan kecederaan baru dan dua kecederaan dialami mangsa adalah konsisten dengan keterangan doktor pakar menjurus kepada akibat penderaan," katanya.

Beliau membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan semalam dan mensabitkan tertuduh yang didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat manakala Noorlaili diwakili peguam Ng Aik Beng.


Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai ibu tiri kepada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun didapati menganiayai kanak-kanak itu hingga mengalami kecederaan fizikal di seluruh badan.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 22 Februari hingga 1 Mac 2009 di rumah No 150, Batu 4 3/4, Jalan Aman Lorong Alai, dekat sini.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Aik Beng merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan mengemukakan beberapa alasan termasuk ia kesalahan pertama, tertuduh tiada rekod jenayah lampau, selain ada dua anak masih kecil berusia tujuh tahun dan satu setengah tahun.


Beliau juga berkata, mangsa dalam kes itu hanya mengalami kecederaan biasa dan tidak kekal.


Sementara itu, Mahadi memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan itu pada masa depan.


Katanya, sepanjang tiga bulan kes dibicarakan sejak 8 November 2010, sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan sementara pembelaan memanggil lima saksi.


"Kesalahan dilakukan tertuduh serius dan saya mohon hukuman berat dikenakan memandangkan kes sebegini kerap berlaku.


"Lima jenis kecederaan dialami mangsa mengikut keterangan sudah lama berlaku menyebabkan kanak-kanak terbabit takut balik ke rumah dan kini gembira berada di rumah kebajikan," katanya.


Pihak pendakwaan juga berhujah biarpun kanak-kanak itu hiperaktif, ia bukan alasan untuk dipukul dengan teruk dan memohon hukuman setimpal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan