Selasa, 8 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Tidak diterima jadi barang bukti

Posted:

Tidak diterima jadi barang bukti

Tidak diterima jadi barang bukti

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarng@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Mac - Sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap menempatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai 2008 tidak diterima masuk sebagai barang bukti dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian hari ini selepas mendapati barang-barang berkenaan yang diambil bagi tujuan mendapatkan profil asid deoksiribonukleik (DNA), diperoleh dengan cara yang tidak sah.

''Saya mendapati sampel DNA yang diperoleh dari tuala kecil Good Morning, berus gigi dan botol plastik tersebut dibuat melalui cara yang tidak adil. Dengan itu, ketiga-tiga barang berkenaan dan segala keterangan berkaitan analisis DNA tersebut tidak diterima masuk sebagai sebahagian bahan bukti,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman ringkasnya selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) sejak semalam.

Hakim Mohamad Zabidin sebelum itu menyatakan, penghakiman penuh mengenai keputusan tersebut akan dikeluarkan kemudian.

Selepas keputusan tersebut dibacakan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya belum bersedia dengan saksi-saksi pada hari ini.

Mohd. Yusof turut memberitahu, pihaknya akan memanggil tiga orang saksi lagi sebelum hakim tersebut membenarkan perbicaraan bersambung esok.

Tiga saksi yang akan dipanggil ialah seorang lagi doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Razuin Rahimi yang mengisi butiran dalam borang protokol perubatan (proforma) semasa pemeriksaan ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan; Ketua Staf di pejabat Anwar, Ibrahim Yakob dan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Prosiding TWT diadakan selepas pasukan pembelaan mempertikaikan tindakan pihak pendakwaan yang ingin mengemukakan beberapa barang kes untuk dijadikan bahan bukti dalam kes berkenaan kerana mendakwa barang-barang itu diperoleh secara tidak sah.

Barang-barang kes tersebut adalah sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi kecil warna putih dan satu botol plastik jenama 'Cactus'.

Mengikut keterangan bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Amidon Anan pada 1 Mac lalu, beliau merampas ketiga-tiga barang tersebut dan sehelai bulu dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada 17 Julai 2008 selepas didiami oleh Anwar semalaman.

Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon dalam keterangannya di mahkamah pada 23 Februari lalu pula menyatakan bahawa ujian analisis DNA terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman tersebut menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Enam hari sebelum itu, seorang lagi ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong mengesahkan bahawa ujian analisis DNA pada empat calitan putik kapas menunjukkan kehadiran profil DNA Lelaki Y di dalam rektum (salur dubur) dan permukaan dubur (perianal) Mohd. Saiful Bukhari.

Dengan keputusan hari ini, mahkamah boleh untuk tidak mempertimbangkan segala keterangan daripada Nor Aidora dan Amidon berkaitan tuala kecil, berus gigi dan botol minuman terbabit.

Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Terdahulu, semasa menjawab hujah pihak pendakwaan, peguam Karpal Singh sekali lagi mendakwa bahawa barang-barang tersebut telah diperoleh dengan cara tipu helah dan muslihat selepas Anwar enggan memberi sampel DNA kepada doktor di HKL.

Menurutnya, keterangan saksi dalam perbicaraan kes tersebut juga menunjukkan bahawa Judy telah mengarahkan anggota polis yang mengawal lokap berkenaan tidak menyentuh barang-barang terbabit.

''Mengapa perlu arahan sedemikian kecuali ia adalah helah pihak polis untuk memastikan sampel DNA diperoleh dari barang-barang terbabit sungguhpun Anwar sebelum itu enggan memberi sampel darah untuk profil DNA di HKL dan perkara ini jelas dalam pengetahuan Judy yang menemani Anwar ke HKL,'' katanya.

Karpal juga menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Goi Ching Ang berhubung bahan bukti yang diperoleh melalui cara tekanan, bukannya bersandarkan nas undang-undang dari Amerika, Britain mahupun negara-negara asing.

Semalam, Mohd. Yusof mengemukakan hujahan melibatkan nas undang-undang dari Amerika Syarikat selain Britain dan negara-negara Komanwel yang menyatakan bahawa barang-barang kes yang relevan meskipun diambil melalui cara yang dipertikaikan, boleh diterima sebagai bahan bukti.

Beliau turut menghujahkan bahawa adalah tidak wajar untuk mahkamah menggunakan budi bicara bagi mengetepikan barang-barang kes terbabit kerana tiada sebarang unsur yang salah digunakan oleh pihak berkuasa dalam memperoleh barang-barang tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Suruhanjaya hairan saksi 'lepas tangan'

Posted:

Suruhanjaya hairan saksi 'lepas tangan'

Suruhanjaya hairan saksi 'lepas tangan'

KUALA LUMPUR 8 Mac - Ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock hari ini melahirkan rasa hairan terhadap sikap seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dianggap 'lepas tangan' selepas menyoal siasat lelaki itu pada malam sebelum dia ditemui mati.

Mereka silih berganti mempersoalkan tindakan Penolong Penguasa Mohd. Asyraf Mohd. Yunus, 27, yang menyuruh Setiausaha Politik Exco Selangor itu menunggu di ruang tamu pejabat Bahagian Pendidikan Masyarakat (Pen Mas) manakala dia menghilangkan diri untuk menyelesaikan tugas-tugas lain.

Begitu juga sikap spontan Mohd. Asyraf yang langsung tidak bertanya kepada Beng Hock semasa melihat beliau masih berada di pejabat SPRM dan meminta air minum daripadanya pada pukul 4.40 pagi.

Datuk T. Selventhiranathan bertanya sama ada saksi terfikir untuk bertanya mengapa Beng Hock masih berada di pejabat SPRM dan berbaring di sofa ruang tamu semasa memberikan lelaki itu air minuman sebagaimana yang diminta.

Seorang lagi ahli suruhanjaya, Dr. Mohamed Hatta Shaharom juga bertanya sama ada Mohd. Asyraf tidak berasa bersalah meninggalkan Beng Hock begitu sahaja tanpa sebarang arahan lanjut dan apa yang difikirkan apabila melihat lelaki itu masih belum pulang pada awal pagi.

Sementara bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman pula meminta Mohd. Asyraf meletakkan dirinya di tempat Beng Hock dan membayangkan perasaan apabila berada di tempat asing tanpa sesiapa ambil peduli.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen pula menimbulkan soalan adakah semua saksi SPRM dilayan sebegitu manakala pegawai SPRM pula bersikap sebagaimana Mohd. Asyraf.

''Awak beritahu Beng Hock supaya tunggu dan awak tinggalkan dia di situ. Lepas itu awak balik buat kerja awak. Macam itu ke awak layan saksi-saksi awak? Adakah adil untuk suruh saksi tunggu, lepas itu awak hilangkan diri. Si mati bukan suspek, tapi saksi untuk bantu SPRM.

''Adakah semua sikap pegawai SPRM begini? Saksi tunggu atau tidak bukan masalah mereka. Tidak ada cara yang elokkah untuk beritahu saksi apa tindakan selanjutnya.

''Saya hendak tahu prosedur SPRM, saya bukan marah awak. Kami perlu bertanya sebab antara terma rujukan suruhanjaya ialah untuk siasat sama ada prosedur siasatan terhadap si mati dilakukan SPRM dengan adil, betul atau sebaliknya,'' kata beliau.

Menghadapi soalan bertalu-talu itu, Mohd. Asyraf menjelaskan bahawa tugasnya telah selesai selepas semakan dokumen dibuat dan arahan lanjut akan diberikan oleh pegawai atasan iaitu seorang pegawai lain akan merakamkan kenyataan daripada Beng Hock selepas itu.

Dia juga tidak berasa hairan atau bertanya apabila melihat Beng Hock masih berada di pejabat SPRM pada pukul 4.40 pagi kerana beranggapan mungkin lelaki itu sedang berehat selain menjadi kebiasaan untuk saksi tidur di situ.

''Apabila sudah selesai, saya tidak fikir pasal Beng Hock sebab pegawai atasan beritahu bahawa tugas saya sudah selesai dan saya boleh buat kerja-kerja saya semula. Saya juga tidak dapat bayangkan perasaan Beng Hock pada ketika itu sebab saya tidak pernah mengalami situasi seperti itu,'' jelasnya.

Jawapan tersebut menyebabkan Cheng Yuen bertanya apa perasaan Mohd. Asyraf apabila mengetahui Beng Hock ditemui mati dan dia sendiri menjadi suspek dalam kes itu.

Apabila Mohd. Asyraf mengakui tertekan, beliau menempelak bahawa saksi telah pun mengalami apa yang dirasakan oleh Beng Hock pada malam dia disoal siasat oleh SPRM.

Dalam keterangan sebelum itu, Mohd. Asyraf memberitahu bahawa dia diarah oleh Ketua Bahagian Siasatan, Hairul Ilham Hamzah untuk membantu pegawai penyiasat, Arman Alies bagi menyoal Beng Hock dan membuat semakan terhadap dokumen-dokumen yang mencurigakan pada pukul 10.30 malam, 15 Julai 2009.

Selepas selesai pada pukul 12.30 tengah malam, dia menyuruh Beng Hock pergi ke ruang tamu Pen Mas sementara dia dan Arman memberitahu bahawa terdapat dokumen yang ditandatangani oleh Beng Hock bagi pihak Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah kepada Hairul Ilham.

Dia kemudian membuat persiapan untuk perbicaraan di mahkamah di biliknya dan turun selepas ke tingkat bawah untuk mengambil akbar dan membacanya sebelum tertidur.

Mohd. Asyraf memberitahu, dia hanya melihat Beng Hock berbaring di atas sofa di ruang tamu pejabat SPRM apabila lelaki itu meminta air minuman dan terus pulang ke rumah selepas itu.

Sebelum itu, Mohd. Asyraf turut ditegur apabila kerap memberikan jawapan tidak ingat tentang apa yang ditanya kepada Beng Hock pada malam tersebut semasa disoal oleh pegawai pengendali, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Selventhiranathan menyifatkan saksi mengalami masalah memori terpilih manakala Abdul Kadir yang dilihat kesal dengan jawapan Mohd. Ashraf menegaskan bahawa ia akan mengugat tugas suruhanjaya untuk mendapatkan fakta dan kebenaran.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 lalu selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.

Mahkamah Koroner pada 5 Januari lalu memutuskan hasil inkues menyiasat kematian lelaki itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan