Selasa, 8 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Di mana kekuatan Pas sebenarnya?

Posted:

Di mana kekuatan Pas sebenarnya?

Di mana kekuatan Pas sebenarnya?

POST mortem keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau mungkin boleh menyentuh tajuk "Di Manakah Kekuatan Pas Yang Sebenarnya? Apakah Masih Mengharapkan Undi Protes?"

Kekalahan Pas di DUN Merlimau dan Kerdau sudah diramalkan sejak hari pertama kempen pilihan raya.

Pemilihan Hassanuddin Salim di DUN Kerdau dilihat sebagai 'bermain-main' oleh pemerhati politik memandangkan beliau adalah calon 'reused & recycle' setelah kalah dalam dua pilihan raya sebelum ini. Dengan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Kerdau, beliau telah memecahkan rekod kalah tiga kali berturut-turut. Ia satu percaturan yang tidak praktikal di dalam politik.

Ada ura-ura mengatakan Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, takut untuk bertanding kerana takut kalah di DUN Kerdau. Maka, mahu tak mahu, Hassanuddin Salim terpaksa dijadikan 'kambing hitam' untuk sekadar memenuhi kuota calon di DUN Kerdau.

Realitinya, pemilihan Ustaz Syed Ibrahim dan aura yang ditonjolkan oleh beliau telah mematikan gerak jentera pilihan raya Pas. Serangan awal yang ditujukan terhadap kesahihan sijil beliau berakhir dengan jentera Pas terpaksa menjilat kembali ludah mereka sendiri.

Malah, kemunculan isu Tuan Ibrahim yang bertindak sebagai Ah Long untuk membeli tanah Felda sedikit sebanyak telah menggoncang jentera parti Pas di saat-saat akhir kempen PRK DUN Kerdau.

Begitu juga di DUN Merlimau. Pemilihan Yuzaihad Abdullah sebagai calon Pas di sana telah diwarnai dengan pelbagai pendedahan demi pendedahan yang tidak enak serta menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang calon.

Aksi calon Pas yang berlakon di depan kamera tatkala mengangkat keranda jenazah penduduk di DUN Merlimau telah memburukkan lagi keadaan. Sikap beliau yang meninggalkan penduduk yang sibuk menguruskan jenazah, tidak dapat dimaafkan. Sekurang-kurangnya, Roslan Ahmad, calon BN Merlimau telah berada di sisi jenazah sehingga selesai.

Kemenangan berganda parti BN di Merlimau dan Kerdau dengan penambahan majoriti undi dilihat sebagai satu peningkatan sokongan kepada parti BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekarang kita sedang menunggu alasan parti Pas tentang kekalahan berganda mereka ini. Isu 'pengundi hantu' tidak kedengaran, cuaca baik tidak seperti di DUN Tenang, atmosfera pilihan raya tenang dan berjalan lancar. Jadi, apakah alasan Pas?

Mereka tidak boleh menggunakan alasan BN memberi 'gula-gula' kepada penduduk Kerdau dan Merlimau kerana Pas sendiri bertindak demikian di kedua-dua DUN dan paling nyata ialah semasa DUN Galas. Pas bukan parti yang walk their talk.

Selain daripada itu, pihak pembangkang mungkin akan bergolak lagi dengan kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Pas. Yang difikirkan sekarang ialah apakah Pas hanya sekadar menumpang kekuatan parti DAP tanpa membawa sebarang added value kepada pakatan parti-parti tersebut.

Satu perkara yang kita perlu tahu tentang kedua-dua PRK ialah Pas masih mengharapkan undi protes untuk menang tanpa sebenarnya menonjolkan kekuatan parti itu sendiri.

Dan sudah tentu DAP akan 'merungut dalam diam' kerana Pas gagal menonjolkan diri sebagai parti yang benar-benar kuat dan dapat berdiri di kaki sendiri tanpa undi penyokong DAP dan undi protes.'

Dr. Novandri Hasan Basri

Gelugor, Pulau Pinang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Baik sangatkah Pas ketika pilihan raya?

Posted:

Baik sangatkah Pas ketika pilihan raya?

Baik sangatkah Pas ketika pilihan raya?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata kecewa dengan kekalahan empat kali berturut-turut parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sejak November lalu. Selepas gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan, Pas terus tersungkur di DUN Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Namun begitu, ia belum mencukupi bagi memberikan keinsafan kepada pemimpin Pas seperti Nik Abdul Aziz yang terus menuding jari menyalahkan orang lain terhadap kekalahan parti tersebut.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu ketika mengulas kekalahan di Merlimau dan Kerdau mendakwa, Barisan Nasional (BN) menggunakan jentera kerajaan. Dakwanya, kekalahan itu disebabkan Pas berdepan dengan Kerajaan Pusat dan bukannya UMNO atau BN.

Nik Abdul Aziz terus membebel mengatakan BN mencabul sistem demokrasi di negara ini bagi 'mencipta kemenangan'.

''Kita sebut pilihan raya, tetapi sebenarnya di Malaysia tidak ada pilihan raya. Pas sebagai sebuah parti sepatutnya lawan dengan UMNO, tetapi yang berlawan sekarang parti dan kerajaan, televisyen, radio dan projek semua berpihak kepada sebelah pihak.''

Itu hujah Nik Abdul Aziz, tetapi sebelum kita menelan bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh Mursyidul Am Pas itu, cubalah kita menilai apa yang dilakukan oleh kerajaan Pas Kelantan ketika PRK DUN Galas pada 4 November tahun lalu.

Apakah Pas 'tidak menyalah gunakan kuasa' atau jentera kerajaan negeri apabila mengumumkan 'cuti peristiwa' bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada PRK berkenaan. Galas hanya mempunyai 11,553 pengundi, tetapi kenapa perlu seluruh rakyat Kelantan diberi cuti? Tidakkah pemberian cuti itu lebih bersifat politik?

Nik Abdul Aziz juga berhujah bahawa BN memberi projek setiap kali pilihan raya, tetapi di Galas Kerajaan Pas Kelantan dipercayai menggunakan Ladang Rakyat dan pembahagian tanah untuk menarik sokongan kira-kira 2,000 pengundi Orang Asli sempena PRK itu.

Ini belum lagi mengambil kira projek-projek yang diberikan bagi memancing undi ketika Pilihan Raya Umum 2008. Kita juga perlu bertanya kepada Nik Abdul Aziz, apakah tawaran wang RM200 hingga RM250 kepada 1,557 pengundi Galas yang berada di luar Kelantan untuk pulang mengundi tidak boleh dianggap rasuah?

Bagaimana kalau BN yang membuat tawaran berkenaan? Sudah tentulah Pas akan membuat pelbagai tuduhan. Begitu juga apabila Kerajaan Pas Kelantan secara tiba-tiba mengadakan ekspo pertanian di bandar Gua Musang semasa kempen berlangsung, tidakkah itu menggunakan jentera kerajaan negeri?

Apa yang paling hebat ialah tindakan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat di Pos Sandrop, Lojing, Gua Musang dua hari sebelum hari pengundian. Tidakkah itu boleh dianggap sebagai politik wang bagi memancing undi?

Apa pula hujah Nik Abdul Aziz mengenai pemberian 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat berkenaan pada hari yang sama, tidakkah itu 'penyalahgunaan' kedudukan sebagai kerajaan negeri?

Berdasarkan beberapa contoh tersebut, maka tidak perlulah Nik Abdul Aziz hendak menggambarkan seolah-olah kerajaan Pas Kelantan atau Pas sendiri paling bersih dan suci apabila menghadapi pilihan raya.

Kalau beliau berhujah bahawa BN menggunakan jentera kerajaan, maka di Kelantan apa yang berlaku dalam PRK DUN Galas sudah menjadi bukti. Janganlah melihat kerajaan Pas Kelantan atau Pas itu terlalu baik ketika berhadapan dengan pilihan raya.

Nik Abdul Aziz perlu bermuhasabah dan membiarkan pemimpin-pemimpin Pas yang berfikiran terbuka mengkaji apakah faktor yang menyumbang kekalahan parti berkenaan. Sebagai ahli politik veteran, Nik Abdul Aziz sepatutnya belajar menghormati kebijaksanaan para pengundi membuat keputusan. Janganlah apabila menang anggap BN ditolak oleh rakyat, apabila Pas kalah BN dituduh merasuah rakyat.

Selain itu, Nik Abdul Aziz juga sebagai ulama sudah pasti mengerti ketentuan Allah SWT. Dalam soal apa pun dalam kehidupan di dunia ini, manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Nik Abdul Aziz mungkin boleh mempengaruhi penyokong-penyokong tegar Pas dengan hujahnya, tetapi dalam kalangan rakyat biasa, mereka semakin memahami kenapa Pas tidak harus diberikan kemenangan dalam pilihan raya.

Justeru, tidak payah lagi Nik Abdul Aziz terus bersilat lidah bagi menutup kelemahan Pas, sebaliknya berusahalah memperkukuhkan kembali parti itu yang dilihat tidak lebih daripada 'pak turut' dalam kerjasama dalam kalangan parti pembangkang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan