Khamis, 3 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Tiada penderaan fizikal - Anwar

Posted:

Tiada penderaan fizikal - Anwar

Tiada penderaan fizikal - Anwar

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa tiada penderaan fizikal dilakukan terhadapnya sejak beliau mula ditahan oleh pihak polis sehingga dibebaskan pada 17 Julai 2008.

Ketua Pembangkang itu juga menyatakan, anggota polis yang menangkapnya pada 16 Julai 2008 bersikap sopan terhadapnya meskipun tidak diberitahu penangkapan itu atas kesalahan apa.

''Tiada penderaan fizikal (walaupun) saya telah dilayan sama seperti Botak Chin (penjenayah tahun 80-an). Tidak diberitahu kesalahannya dan diheret seperti Al-Qaeda,'' kata Anwar yang kemudian turut mengakui dia dilayan dengan hormat sepanjang ditahan.

Anwar berkata demikian sewaktu menjawab soalan balas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden pada prosiding bicara dalam perbicaraan dalam kes liwat antara beliau dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding itu dilakukan bagi menentukan sama ada beberapa barang kes yang dirampas dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada 17 Julai 2008 boleh diterima sebagai barang bukti atau sebaliknya.

Dalam keterangannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan, pada 14 Julai 2008, beliau diberitahu oleh peguamnya, Sankara Nair bahawa beliau perlu pergi ke IPK untuk memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat, Deputi Supritendan Judy Blacious Pereira.

''Atas kesalahan apa tidak dinyatakan, sama ada antinasional, pengkhianat atau seribu satu tuduhan termasuk tidak memakai baju batik Malaysia,'' katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui mengetahui terdapat laporan polis dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari di samping beberapa laporan yang berunsurkan politik.

Ahli politik itu menyatakan, sewaktu di IPK, kenyataannya akan direkodkan oleh Judy di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu semasa pemeriksaan utama oleh peguam Karpal Singh, Anwar memberitahu, pada 16 Julai 2008, kira-kira pukul 1 petang, kereta yang dinaiki ketika hendak pulang ke rumahnya di Bukit Segambut telah dipintas oleh beberapa kenderaan polis.

Turut berada di kawasan terbabit antara 10 hingga 15 anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

Menurutnya, anggota-anggota polis itu memakai baraclava (topeng muka) dan sebahagiannya bersenjatakan sub-mesingan menyebabkan kenderaan yang dinaiki oleh beliau terpaksa berhenti.

Melihat keadaan tersebut, beliau telah diminta oleh Nair untuk duduk di dalam kereta sementara peguam itu yang duduk di tempat duduk hadapan keluar menemui seorang pegawai polis berpakaian seragam yang menghampiri mereka.

''Sankara telah bertanya kenapa kami ditahan dan dia (pegawai polis) berulang kali menyatakan 'arahan untuk menangkap Datuk Seri Anwar,'' kata beliau.

Menurutnya, beliau juga bertanya sendiri kepada pegawai polis terbabit kenapa beliau dilayan sedemikian rupa kerana Nair telah memaklumkan kepada Judy bahawa beliau akan pergi menemuinya pada pukul 2 petang hari tersebut.

Setibanya di IPK, beliau dibawa ke bilik mesyuarat IPK dan ditinggalkan dengan beberapa pegawai polis sebelum Nair dan peguam R. Sivarasa tiba, jelasnya.

Menurut beliau, kenyataannya kemudian dirakamkan oleh Judy mulai pukul 2.30 petang dan selesai pada pukul 5.30 petang.

''Selepas lengkap, Judy menyatakan telah selesai dan saya ingat saya ada bertanya kepadanya adakah dia pasti dan dia jawab ya. Rakaman kenyataan itu selesai pada pukul 5.30 petang dan ditunjukkan kepada saya dan saya tandatangan,'' katanya.

Selepas itu, beliau dibawa semula ke bilik mesyuarat dan diminta untuk menunggu seketika dan kira-kira pukul 8 malam, Judy menyatakan akan membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Di hospital tersebut, beliau yang ditemani oleh Sivarasa selain Judy dibawa menemui dua doktor pakar iaitu, Dr. Ee Boon Leong dan Dr. Jayaindran Sinnadorai untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, dia telah diberi satu borang dan kedua-dua doktor itu memberitahunya bahawa mereka diminta untuk mengambil sampel darah dan rambut untuk ujian asid deoksiribonukelik (DNA).

Bagaimanapun, atas nasihat peguam, beliau hanya membenarkan dirinya diperiksa tetapi tidak memberikan sebarang sampel ekoran pengalamannya pada 1998.

Tanpa kehadiran peguam, pegawai penyiasat dan jururawat, katanya, beliau diminta membuka pakaian dan pemeriksaan dilakukan terhadap kemaluan dan duburnya termasuk diukur zakar dan bulu kemaluan.

Sambil menyifatkan pemeriksaan itu sebagai menjatuhkan maruahnya dan memalukan, Anwar menyatakan, walaupun doktor-doktor terbabit menggunakan putik kapas sewaktu memeriksa alat sulitnya, beliau tidak bersetuju sebarang peralatan dimasukkan ke dalam duburnya.

Selepas pemeriksaan, menurut Anwar, kedua-dua doktor itu ada bertanyakan tentang dakwaan liwat terbabit sebelum beliau dibawa semula ke IPK pada pukul 11 malam dan ditahan di lokap.

Di lokap, menurutnya, Supritendan Yahya Abdul Rahman kemudian membekalkannya dengan satu botol air minuman, tuala, berus gigi, ubat gigi dan sabun selain diberikan dua tuala yang dibawa oleh isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

''Saya tidak mengharapkan layanan VIP tapi keadaannya (lokap) amat teruk dengan tandasnya yang kotor,'' katanya yang turut menyatakan beliau telah memberitahu Yahya bahawa beliau tidak boleh tidur di atas simen kerana sakit belakang.

Selepas dibebaskan pada pukul 12.30 tengah hari keesokan harinya, Anwar memberitahu, beliau mendapatkan rawatan kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat dan diberi suntikan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada habeas corpus dibuat

Posted:

Tiada habeas corpus dibuat

Tiada habeas corpus dibuat

KUALA LUMPUR 3 Mac - Tiada permohonan habeas corpus dibuat dari mula Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan pada 16 Julai 2008 sehingga dibebaskan keesokan harinya kerana pihak polis telah memaklumkan kepada peguam Ketua Pembangkang itu bahawa beliau diperlukan untuk memberi keterangan berhubung dakwaan liwat.

Menurut peguam, Sankara Nair, pihaknya akan memfailkan permohonan tersebut sekiranya tidak dimaklumkan sedemikian malah tidak akan meninggalkan Anwar di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

Habeas corpus merupakan satu permohonan yang sering difailkan oleh seseorang individu yang mendakwa dirinya telah ditahan secara salah.

Sewaktu disoal balas, Nair menyatakan, berdasarkan pengalaman sebagai seorang pegawai polis dan pernah menganggotai Unit Khas (SB), seseorang individu dianggap sebagai suspek apabila dia diperlukan untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, ketika disoal oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden adakah Anwar seorang suspek dalam kes liwat itu, peguam terbabit tidak memberikan jawapan yang jelas sebaliknya menyatakan:

''Tidak semestinya. Tiada definisi khusus dalam undang-undang mengenai suspek. Itu tanggapan awak.''

MOHD. YUSOF (MY): Tetapi berdasarkan jawapan awak sebelum ini, Anwar adalah suspek.

Nair memberi keterangan sewaktu disoal balas oleh Mohd. Yusof pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) dalam kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

TWT tersebut diadakan selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan pasukan pembelaan bahawa wujud pertikaian berhubung beberapa barang kes yang dikemukakan dalam kes liwat berkenaan.

Barang-barang kes tersebut adalah sehelai tuala kecil 'Good Morning', sebatang berus gigi kecil warna putih, satu botol plastik jenama 'Cactus' dan dua helai bulu (termasuk sehelai bulu yang dijumpai oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon pada tuala kecil tersebut).

Kesemua barang dirampas dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.

Dalam TWT, peranan pihak pendakwaan dan pembelaan akan berubah dengan peguam bela akan memulakan sesi soal balas bagi membolehkan mereka membuktikan dakwaan yang dibuat.

Terdahulu, ketika disoal oleh peguam bela, Karpal Singh, Nair memberitahu, beliau mengekori kenderaan yang membawa Anwar ke IPK selepas anak guamnya itu ditahan di Bukit Segambut di sini, kira-kira 50 meter dari rumah Ketua Pembangkang itu.

Setibanya di Tingkat 7 bangunan tersebut, mereka dibawa ke satu bilik menyerupai bilik mesyuarat di bahagian D9 itu.

Beliau kemudian dimaklumkan oleh seorang pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Asisten Komisioner (ACP) Razali bahawa Anwar diperlukan bagi memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari.

Selepas dimaklumkan sedemikian, hanya peguam R. Sivarasa tinggal di bilik berkenaan bagi menemani Anwar sewaktu memberi keterangan bersumpah manakala dia dan beberapa peguam lain meninggalkan IPK.

Dia bagaimanapun mendakwa tiada alasan atau waran tangkap diberikan kepadanya.

Pada 16 Julai 2008, kira-kira pukul 1 petang, Anwar ditahan ketika berada di dalam kenderaannya di Bukit Segambut di sini, kira-kira 50 meter dari rumahnya iaitu sejam lebih awal dari tempoh beliau sepatutnya menyerah diri ke IPK Kuala Lumpur.

Pada pukul 8.35 malam, Anwar yang disoal siasat di Tingkat 7 IPK tersebut telah dibawa oleh polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi beliau menolak untuk diambil sampel darahnya dan hanya bersetuju dilakukan pemeriksaan biasa.

Beliau dibebaskan keesokan harinya dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.45 pagi selepas ditahan hampir 21 jam di IPK tersebut.

Perbicaraan bersambung esok dengan Sivarasa dijangka memberi keterangan dalam prosiding tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan